Sunday, March 4, 2012

Ikan tapah pantang keturunan Pak Kadok


WALAUPUN enak, ikan tapah akan mendatangkan mudarat jika dimakan oleh keturunan Pak Kadok.


KISAH keturunan Pak Kadok tidak boleh menyentuh ikan tapah apatah lagi memakannya bukanlah perkara baharu. Pak Kadok yang terkenal dengan pepatah menang sorak kampung tergadai dikatakan membuat larangan itu selepas dia menemui seekor ikan tapah yang perutnya penuh dengan emas di Sungai Perak pada lebih 450 tahun lalu.

Pak Kadok pada masa itu baru sahaja kalah pertandingan sabung ayam menyebabkan ahli keluarga dan kampungnya tergadai kepada sultan. Emas yang diperoleh daripada ikan tapah itulah yang digunakan untuk menebus semula kampungnya itu.

Keturunan Pak Kadok yang dianggarkan seramai berpuluh ribu orang pada hari ini kebanyakannya berasal dari Kampung Tua di Lambor Kanan, Perak.

Berikutan peristiwa ikan tapah itu, keturunan Pak Kadok langsung tidak boleh menjamah ikan sungai itu sampai sekarang.

Jika dimakan juga, tubuh mereka bagaikan melecur, kulit melepuh seperti dicurah air panas bahkan ada yang sakit sehingga hampir maut. Untuk mendapatkan penawarnya, mereka akan kembali ke kampung berkenaan dan mengunjungi sebuah rumah yang dikenali Rumah Tua di situ.

Penjaga

Rumah Tua itu milik saudagar emas, Pandak Logam, iaitu salah seorang keturunan Pak Kadok yang menyimpan Emas Kancing Tapah, iaitu saki-baki emas yang didakwa ditemui Pak Kadok di dalam perut ikan tapah terbabit.

Air rendaman emas berbentuk kerongsang empat segi itu dikatakan berupaya mengubati penyakit yang dipercayai berpunca daripada perbuatan melanggar sumpah Pak Kadok.

Rumah itu kini diwarisi anak Pandak Logam, Hasmah. Bagaimanapun akibat sakit tua, Hasmah tidak lagi menetap di rumah berusia lebih 100 tahun itu sebaliknya tinggal bersama anak saudaranya di Selayang, Selangor.

Tugas menjaga Rumah Tua itu kini dibantu oleh Pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Tua, Zenal Ngah Haleb, 63.

“Kebetulan rumah saya terletak bersebelahan dengan Rumah Tua. Jadi, Hasmah meminta bantuan saya untuk membuka kediaman ini jika ada waris Pak Kadok yang memerlukan air penawar,” katanya kepada Jurnal.

Ujarnya lagi, air penawar yang disediakan sekali dalam setahun itu akan diminum atau disapu pada kulit yang melepuh.

“Setiap tahun sebelum bulan Ramadan, Hasmah akan pulang ke sini. Pada masa itu sahajalah orang ramai boleh melihat Emas Kancing Tapah itu kerana pada hari biasa ia disimpan di dalam sebuah peti besi di Rumah Tua ini.


INILAH rupa Emas Kancing Tapah.


“Emas itu akan direndam ke dalam air yang disimpan di dalam sebuah bekas khas. Tugas saya adalah menokok air tersebut dan memastikan ia tidak kering,” terang Zenal.

Menurut Zenal, dua kejadian pelik berkaitan sumpahan itu berlaku baru-baru ini.

“Ada seorang wanita keturunan Pak Kadok terjamah hidangan ikan tapah semasa berkursus di Langkawi. Sekembalinya ke rumah, dia mengalami penyakit kulit yang kritikal.

“Doktor pakar di Hospital Taiping segera merujuknya ke Hospital Kuala Lumpur namun berkat air penawar ini, wanita itu pulih semula,” kata Zenal.

Tambahnya, hal yang sama berlaku ke atas seorang budak lelaki berusia enam tahun yang seperti sudah tiada harapan lagi untuk hidup.

“Bapanya datang memangku anak kecil itu dan menangis minta dibantu. Jadi, saya suruh dia ratakan air itu ke badan anaknya dan diminum sedikit kerana saya percaya budak itu pernah termakan ikan tapah,” katanya.

Dengan izin Allah, ujarnya, keluarga budak itu datang menziarahi Zenal selepas genap 100 hari air penawar itu digunakan.

“Saya terkejut melihat anak kecil itu yang dahulu sangat lembik sudah boleh berlari-lari keliling rumah di sini,” katanya.

3 comments:

  1. tentang pak kaduk ni keturunan aku , 1 keturunan aku ni di sumpah sebab moyang aku dulu2 dia susah dia amik ikan tapah ni , dia ckp dia bersumpah dalam keturuan dari cucu cicit dan zaman seterusnya tak bleh memakan ikan tapah ni . aku tak sangka keluarga aku ada sumpahan macam ni .

    ReplyDelete
  2. Sy pown dari kturnan yg sma..
    Xleh mkn ikn tpah..

    ReplyDelete
  3. kisah sebenar nya ialah pak kadok sedang tidor di sebuah pondok lama , kemudian ada seekor kucing hitam menjilat jari kaki pak kadok menyuruh pak kadok bangun , tidak cukup hanya sekali kucing hitam berbuat begitu , tetapi tiga kali kucing hitam itu menjilat jari kaki pak kadok , akhirnya pak kadok bangun dari tidur dan mengikut kucing hitam itu sehingga terjumpa nya ikan tapah , kemudian pak kadok melihat perut ikan tapah tersebut kembung seperti punyai sesuatu , lalu beliau belah perut ikan itu lalu terjumpa emas yg banyak , selepas itu , pak kadok mengambil emas itu lalu dijahit semula perut ikan tapah lalu pak kadok pun melepaskan semula ikan tapah itu , sesudah menjahit semula perut ikan itu pak kadok pun melepaskan ikan tapah itu ke dalam air . Pak kadok telah bersumpah keturunan nya tidak akan makan engkau kerana engkau telah menyelamatkan aku . inilah kisah dari atok aku . atok aku ade bagitahu keturunan kita tidak boleh menyiksa kucing hitam . :D

    ReplyDelete

Tinggalkan Komen Anda Sini: