Hilang

SHAH ALAM - “Pulanglah Along, mama merindui kamu”. Demikian rayuan seorang ibu, Fouziah Dollah kepada anak sulungnya, Nursyafikah Shamsul Bahrin, 20 tahun, yang hilang sejak 7 Mac lalu.

Kehilangan remaja perempuan yang mesra disapa Along itu disedari keluarganya jam 3.30 pagi, selepas tidak pulang ke rumah dipercayai keluar bersama kawannya.

Fouziah berkata, dia memberi wang sebanyak RM100 kepada anaknya itu sehari sebelum dia keluar dari rumah.

“Saya cuba menghubunginya, tetapi dia hanya membalas melalui sistem pesanan ringkas memberitahu berada di sebuah pusat membeli belah di Kuala Lumpur. Selepas itu, saya gagal menghubunginya,” katanya.

Menurutnya, dia bersama suaminya mencari anaknya itu di pusat membeli belah berkenaan dan di rumah kawannya, namun tidak berjumpa.

“Along baru sebulan bekerja di sebuah pusat spa dan kecantikan di ibu kota, majikannya juga turut menghubungi saya berhubung kejadian ini,” katanya.

Fouziah berkata, sepanjang pengetahuannya dia dan anaknya tidak menghadapi masalah keluarga atau perselisihan faham.

“Along jenis pendiam, rendah diri, perahsia dan kurang bergaul menjadikan dia tidak mempunyai teman istimewa,” katanya.

Katanya, bimbang sesuatu kejadian tidak dingini berlaku kepada anaknya, dia bertindak membuat laporan polis di Balai Polis Semenyih.

“Saya merayu kepada orang ramai yang terlihat kelibat anak saya ini, supaya dapat menghubungi saya segera atau mana-mana balai polis berdekatan,” katanya.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan remaja ini diminta untuk menghubungi Fouziah di ta­lian 014-3266825.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Abdul Rashid Abdul Wahab mengesahkan kejadian berkenaan dan berharap orang ramai membantu mengesan remaja itu.