Fama giat promosi 1Malaysia Best

SHAH ALAM - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama) mahu menjadikan produk ‘1Malaysia Best’ mampu menandingi produk antarabangsa menerusi pemasaran yang strategik termasuk melalui Program Jualan Transformasi Produk Industri Kecil dan Sederhana (IKS) 1Malaysia 2012.

Pengarah Fama Selangor dan Wilayah, Mansor Omar berkata, program yang berlangsung dari 22 Mac hingga hari ini, berjaya mempromosi produk 33 usahawan IKS dari seluruh negara.

Menurutnya, program ini mendapat sambutan menggalakkan berdasarkan sasaran jualan berjaya dicapai iaitu RM150,000 walaupun masih belum memasuki hari terakhir.

“Dalam masa dua hari sahaja, jumlah jualan secara keseluruhan telah mencecah RM60,000 ini menunjukkan dengan strategi pemasaran yang betul, usahawan kita juga boleh menjana pendapatan lumayan.

“Fama mahu usahawan IKS dapat keuntungan kerana mereka juga adalah peniaga, oleh yang demikian menerusi program seumpama ini, diharap dapat memberi peluang kepada mereka mengembangkan perniagaan,” katanya ketika ditemui media, semalam.

Beliau sebelum itu, melancarkan Program Jualan Transformasi Produk IKS 1Malaysia 2012 yang bertempat di Plaza Alam Sentral, di sini, semalam.

Menurutnya, program julung kali diadakan ini akan diteruskan berdasarkan sambutan menggalakkan daripada orang ramai terhadap usahawan IKS.

“Lokasi seterusnya kita belum putuskan lagi, namun ia dijangka berlangsung di Selangor,” katanya.

Program ini adalah hasil usaha sama dengan Syarikat Awin Trading dan bertujuan untuk mempromosikan produk IKS yang diusahakan usahawan tempatan.

Produk ‘1Malaysia Best’ adalah satu perakuan jenama untuk meningkatkan jualan dan profil produk berasaskan pertanian di pasaran tempatan dan global.

Pada 19 Mac 2010 lalu, Mesyuarat Menteri Kabinet bersetuju untuk mewujudkan jenama terbabit sebagai identiti Malaysia khusus bagi meningkatkan penjualan dan pemasaran di dalam dan luar negara.