MENGGALAS beg berjenama prestij tidak dinafikan sedikit sebanyak menyuntik keyakinan pada si pemakainya apatah lagi jika melangkah ke majlis-majlis rasmi.
Bukan sekadar memenuhi fungsinya sebagai ruang menyimpan barang sama ada beg bagasi untuk perjalanan jauh mahupun sekadar tas tangan, beg-beg Tumi merupakan luahan fesyen dan gaya.
Sempena koleksi musim bunga 2012 , jenama terkenal dari Amerika Syarikat itu menggoda penggemarnya dengan warna dan rekaan yang lebih bergaya.
Tidak kira sama ada koleksi untuk lelaki mahupun wanita, koleksi terbaru ini diterjemahkan dengan begitu teliti bagi keselesaan pemakainya tanpa berkompromi dengan penampilan sedia ada.
Pilihan untuk mereka yang ingin membuat perjalanan jauh musim ini tumpuan pada aspek penggunaan bahan-bahan yang sangat ringan dan tahan lasak.
Diinspirasikan daripada individu yang sentiasa bergerak, pilihan beg direka seiring dengan kepelbagaian keperluan bagi membuatkan peralihan dari suasana pejabat ke rumah berjalan lancar.
Ini termasuk ruang-ruang penyimpanan dokumen, pakaian, iPad dan pelbagai gajet lain yang tersusun.
Untuk lelaki, Tumi tampil dengan rangkaian Bedford yang klasik dan sofistikated; Bravo, koleksi kasual dengan warna-warna semula jadi; Alpha yang merupakan koleksi signature Tumi Vapor, koleksi anugerah; Ducati, dengan gaya lebih sporty, dan Beacon Hill, yang diperkenalkan buat pertama kali.
Dalam pada itu, pilihan untuk beg-beg wanita sempena keceriaan musim bunga ini ditampilkan dalam pilihan warna-warna yang lebih terang.
Rangkaian beg tote Boulevard misalnya, tampak elegan dengan warna oren lobak merah, putih gading dan biru laut.
Paling ketara potongannya yang licin, klasik dengan bentuk yang ringkas serta mudah untuk digunakan.
Turut ditampilkan rangkaian Villa yang elegan; Sloane, dengan dua warna metallic linen dan quartz, yang cukup bergaya bagi peralihan dari tempat kerja ke suasana hujung minggu yang meriangkan; Moorland, koleksi beg untuk siang hari; Georgetown, untuk wanita bergelar ahli perniagaan; Bellevue, yang menggabungkan urusan rasmi seharian dengan gaya sofistikated; dan akhir sekali Voyageur, rekaan semula yang lebih lengkap untuk beg nilon yang ringkas hinggalah ke beg yang lebih penting dan bergaya dengan sentuhan moden seperti zip tarik, cermin yang dibaluti kulit dan sebagainya.
Semua koleksi terbaru ini boleh didapati di semua butik Tumi di pusat-pusat beli-belah utama.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: