Monday, March 5, 2012

Fesyen ibu mengandung pilihan Dynas


MEMASTIKAN kelancaran butiknya Dynas akan mengambil bahagian di dalam setiap rangka promosi.


BERCAKAP tentang fesyen kita akan dihujani dengan pelbagai pendapat yang berbeza, senang kata pandangan fesyen seseorang itu sukar diramalkan. Namun lain pula buat selebriti tinggi lampai yang kini sedang sarat mengandung lima bulan, Dynas Mohtar atau nama sebenarnya Wan Intan Edrinas Wan Mokhtar.

Pengalaman sebagai ibu serta pengetahuannya dalam bidang fesyen membuka peluang buat ibu muda berusia 29 tahun ini untuk membantu para ibu hamil mendapat fesyen pakaian yang mesra menyusu.

Bagi Dynas walaupun perkara itu dianggap remeh oleh sesetengah pihak, ia mampu memberi kesan kepada tumbesaran kanak-kanak.

Menurut Dynas, dengan keadaan tempat awam yang kebanyakannya masih belum mampu menyediakan kawasan khas untuk para ibu menyusukan bayi, dia kini berusaha untuk membantu golongan tersebut.

Ini dilakukan melalui rekaan pakaian yang sesuai dan memudahkan golongan ibu menyusukan bayi masing-masing tidak kira di mana tanpa ada perasaan malu dan kurang senang.

“Kadang-kadang keadaan di tempat awam tidak mengizinkan seorang ibu itu menyusukan anaknya dengan selesa dan sempurna. Ini sekali gus melemahkan semangat ibu-ibu ini untuk terus memberikan susu badan kepada anak masing-masing.

“Seharusnya perkara ini tidak berlaku memandangkan susu merupakan makanan penting buat bayi khususnya yang masih belum mencapai umur enam bulan,” katanya ketika di temui di butik miliknya di The Curve, Damansara, Selangor.

Menurut Dynas, sebagai seorang artis dan usahawan yang sibuk, dia sentiasa berada di kawasan awam dan dia sendiri melalui pengalaman yang sama.

Jika dahulu dia agak sukar untuk menyusukan anak namun dengan rekaan baju miliknya, dia kini lebih mudah menjalankan tanggungjawab tersebut.

Malah dia berharap, melalui rekaan pakaian itu akan dapat membantu para ibu di luar sana terus memberikan susu badan kepada anak mereka khususnya di khalayak.

“Saya faham akan perasaan yang dilalui ibu-ibu di luar sana itu setiap kali berada di kawasan awam.

“Saya mahu melalui rekaan baju yang saya hasilkan ini dapat memberi kelebihan untuk ibu-ibu memberikan susu badan kepada anak-anak walau di mana jua mereka berada,” katanya dalam nada lembut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: