Friday, March 9, 2012

Forum untuk ibu bekerja


Wanita bekerjaya memerlukan kumpulan sokongan untuk mereka berkongsi masalah, isu dan pengalaman. - Gambar hiasan


MEMEGANG tiga 'jawatan' serentak iaitu sebagai wanita bekerja, isteri dan ibu bukanlah sesuatu yang mudah. Ia menuntut pengorbanan dan yang paling utama kekuatan mental dan fizikal.

Bagi wanita yang telah dan sedang melalui proses tersebut pasti mempunyai luahan hati tersendiri. Ada positif dan tak kurang juga luahan sedih.

Namun ada kalanya mereka tidak tahu atau tiada ruang untuk meluahkan apa yang terpendam.

Tambah merumitkan apabila ibu bekerja menjadi buntu dan mula tidak tahu apa sebenarnya yang mereka lakukan dan telah lakukan dalam kehidupan ini.

Atas alasan itu maka di wujudkan satu forum khas untuk isteri, ibu dan wanita bekerjaya meluahkan apa yang mereka alami, menerusi kecanggihan dunia Internet.

"Kebanyakan wanita dari kategori ini sering merasakan bahawa mereka bersalah kerana tidak dapat memberikan yang terbaik terutamanya untuk anak-anak.

"Peruntukan masa yang terlalu sedikit untuk anak-anak menyebabkan kebanyakan ibu 'menghukum' diri sendiri. Akhirnya mereka menjadi begitu tertekan dengan perkara tersebut sehinggakan ada yang lebih parah apabila memberikan kesan terhadap perkara lain pula," ujar Pengarah Eksekutif Malaysian Working Mothers Forum, Parveen Yassin.

Parveen yang ditemui di Petaling Jaya, Selangor, baru-baru ini berkata, forum itu sebenarnya mengambil ilham daripada sebuah forum di Singapura yang mana ketika itu Parveen berkhidmat di sana sebagai pegawai khidmat pelanggan.

"Saya juga menghadapi cabaran yang tersendiri apabila hendak mewujudkan keseimbangan antara tuntutan kerja, dan keluarga. Agenda balik lambat memang selalu terjadi terutama apabila berhadapan dengan deadline.

"Memang semua kita mahu lakukan, melayan anak dan suami. Penat badan belum ditambah dengan emosi lagi. Untuk mendapatkan keseimbangan tersebut bukanlah satu perkara yang mudah, terutama apabila hendak menenangkan diri sendiri atas rasa bersalah tersebut," cerita ibu kepada dua cahaya mata berusia lima dan tiga tahun ini.

Forum ibu bekerja di Malaysia

Forum ini diwujudkan pada hujung Mac lalu dan juga bersempena dengan pengumuman cuti bersalin selama 90 hari di Malaysia.

"Saya mendapati tiada badan yang menyokong ibu-ibu bekerjaya. Kita memiliki satu tempat sokongan untuk ibu-ibu tunggal namun tidak bagi ibu-ibu bekerjaya sedangkan mereka juga mempunyai dilema mereka tersendiri," kata Parveen yang turut menegaskan penubuhan forum ini bukan untuk memperjuangkan hak kesaksamaan gender sama sekali.

Menurut Parveen, 31, matlamat utama penubuhan forum ini adalah untuk ibu bapa meluahkan perasaan sambil diberi pendapat oleh pakar dalam bidang yang berkenaan.

"Sebagai contoh daripada aspek nutrisi, kami mempunyai pakar dari Dutch Lady yang akan menerangkan khasiat dan pengambilan menu yang baik untuk perkembangan anak-anak.

"Selain itu terdapat juga nasihat daripada pakar perundangan untuk konflik berkaitan ibu bekerjaya.

"Pernah sebelum ini seorang ibu mempersoalkan kenapa majikan tidak menerima pekerja wanita baru yang mengandung. Sebagai pengelola forum, masalah wanita ini telah dirujuk pada kaunselor undang-undang dan akhirnya dia mengetahui hak yang sepatutnya dia dapat," cerita Parveen lagi.

Semenjak wujudnya forum ini, ia telah berjaya mengumpulkan seramai lebih 2,500 ahli di laman Facebook mereka.

Jelas Parveen lagi, dia akan turut mengadakan satu konvensyen yang bagi membolehkan semua ahli bersemuka dan sekali gus dapat membincangkan beberapa topik penting yang sesuai dengan keperluan semasa setiap ibu bekerjaya di zaman ini.

"Beberapa pakar dalam bidang berkaitan topik tertentu akan dijemput dan serentak dengan konvensyen tersebut, kami juga akan melancarkan satu kaji selidik untuk mendapatkan data, statistik berkaitan wanita bekerjaya di Malaysia.

"Yang pastinya hasil kajian tersebut akan membantu ibu-ibu bekerjaya dan memberikan manfaat buat mereka kelak," ujar Parveen.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: