Monday, March 5, 2012

DOMINASI NUANSA PALET UNGU


GAUN polos warna ungu cair sesuai buat gadis yang ingin tampil sederhana pada majlis makan malam.


DI negara empat musim setiap helaian pakaian dihasilkan mengikut kesesuaian musim bunga, panas, luruh mahupun sejuk. Bagaimanapun terbaharu, persada fesyen antarabangsa menampilkan koleksi fesyen musim percutian atau resort. Ini disebabkan trend masyarakat tempatan yang cenderung dan selesa bergaya mengikut cuaca.

Misalnya, pada musim bunga dan panas kebanyakan pakaian di pasaran hadir dalam palet warna ceria serta terang. Selain warna merah dan kuning, warna jingga serta hijau turut menjadi pilihan.

Sementara itu, palet rona gelap seperti coklat, hitam, biru, merah hati, kelabu dan ungu pula kerap mewarnai koleksi busana pada musim sejuk dan luruh.

Buktinya, enam tahun lalu warna ungu merupakan warna pakaian paling popular bagi koleksi musim luruh, manakala pada tahun 2007 warna itu digunakan secara meluas dalam himpunan musim sejuk.

Berbicara soal warna mengikut musim ruangan Busana minggu ini memaparkan seleksi gaun koktel, makan malam dan acara karpet merah berasaskan nuansa ungu. Pemilik dan pereka jenama Shawn Sinar Sutera, Shawn, menyifatkan wanita Malaysia bertuah kerana bebas bergaya tanpa perlu mengikut musim memandangkan di sini cuaca panas dan lembap sepanjang tahun.

“Fesyen wanita tempatan tidak terhad pada musim-musim tertentu. Mereka bebas memilih rekaan dan warna mengikut cita rasa dan kesesuaian acara.

Busana Ungu

“Jika di luar negara palet ungu terkenal pada musim sejuk tetapi, di sini pula sebaliknya. Pada bila-bila masa wanita boleh menyarungkan pakaian berasaskan warna ungu untuk ke pejabat, kuliah, acara formal atau menghadiri parti,” tutur Shawn atau nama sebenarnya Abu Hassan Mohd. Nordin, 33, yang kini ligat mempromosi busana warna ungu.

Bicara pereka muda berkenaan rona ungu membantu menyuntik penampilan ceria, anggun dan menawan. Bagi wanita yang berani dan aktif, lazimnya warna ungu tona terang menjadi pilihan. Sebaliknya, wanita yang dikuasai sifat pemalu, warna ungu gelap ala buah manggis sudah memadai.

Menyentuh mengenai seleksi busana ungu rekaannya Shawn menyatakan, dia gemar memberi perhatian di bahagian dada dan leher baju.

“Saya suka menerapkan perincian manik dan batu berwarna-warni serta ideal dengan rona ungu. Pada masa yang sama, menampilkan lilitan bunga di bahu dan ikatan reben di bahagian pinggang. Teknik ini bagi mengelakkan pakaian tampak terlalu polos.

“Sementara itu, sebahagian gaun sengaja saya biarkan polos kerana memahami keberanian segelintir wanita yang ingin memadankan bersama aksesori warna kontra,” tutur Shawn yang menggunakan fabrik sifon, satin dan likra bagi mendapatkan siluet badan yang ideal.

Selain gaun, butik Shawn Sinar Sutera turut menawarkan dres meleret untuk digayakan pada hari persandingan. Ini termasuklah kaftan dan jubah Muslimah nuansa ungu.

Secara ringkasnya, warna ungu sering dikaitkan sebagai palet warna mewah. Pada masa yang sama, ia diangkat sebagai simbolik kerohanian, misteri dan perdamaian.

Apa yang pasti pemakainya pasti kelihatan cantik dan anggun dalam apa jua situasi dan lokasi.

Namun si pemakai perlu bijak mempraktikkan konsep suai dan padan bagi mengelakkan busana nuansa ungu yang membaluti tubuh tampak pelik dan jelik. Selamat mencuba!

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: