Monday, March 5, 2012

Kebun sayur celah Jakarta

BERKEBUN secara moden merupakan satu cara terbaik yang orang muda di Indonesia boleh sumbangkan untuk kebaikan negara.


SEKUMPULAN anak muda profesional yang dikenali dengan nama Gardening Indonesia telah menyertai pergerakan berkebun global bandar.

Kumpulan tersebut berusaha menukar beberapa kawasan kosong di celahan bangunan pencakar langit di Jakarta menjadi taman-taman sayuran hijau yang subur.

"Konkrit ada di mana-mana. Namun, jika kita lihat dengan lebih mendalam terdapat sebahagian tanah yang kita boleh usahakan dengan tanaman hijau," kata seorang ahli kumpulan itu, Sigit Kusumawijaya, 30, sambil menyiram pokok tomato yang subur.

Di atas satu hektar tanah lot di antara kawasan perumahan mewah di pinggir utara Jakarta yang pernah menjadi tempat pembuangan sampah, Kusumawijaya dan beberapa pekebun telah menanam pokok tomato, timun, jagung dan cili.

Matlamat kumpulan itu ialah untuk membina sebuah masyarakat yang sihat dan sebuah bandar hijau sambil dapat berjimat cermat dalam perbelanjaan harian.

Penduduk di Jakarta telah mengkritik kerajaan selama empat tahun kerana membenarkan terlalu banyak bangunan pasar raya besar dan apartmen tinggi dibina hinggakan kawasan hijau semakin 'pupus' dan mengecil.

Tangan sendiri

Seorang arkitek, Syahnaz, 26, yang kelihatan memakai kasut bot bercorak harimau bintang sambil berjalan melintasi kawasan kebunnya yang berlumpur berkata: "Berkebun moden merupakan satu cara terbaik yang orang muda di Indonesia boleh lakukan dengan tangan sendiri.

"Kerajaan tidak lakukan banyak untuk kita. Jadi kita kena ambil inisiatif sendiri untuk menjaga bandar kita."

Syahnaz telah menukar kehidupan kebiasaannya sebagai orang yang sering berpeleseran di pasar raya kepada pekebun urban.

"Penggunaan pendingin hawa yang meluas di pasar raya sebenarnya memusnahkan planet kita dan ia merupakan suatu yang kejam," tegasnya.

Kusumawijaya dan beberapa rakannya yang lain menubuhkan kumpulan Pekebun Indonesia pada awal tahun ini dan telah melatih beribu-ribu pengikut di laman sosial Facebook dan Twitter.

Kumpulan itu membincangkan mengenai trend berkebun, mengurus projek dan berkongsi maklumat mengenai konsep kebun organik manakala beratus-ratus orang lagi menghabiskan masa pada hujung minggu untuk bekerja dalam kumpulan pekebun di 14 buah perbandaran sekitar Jakarta.

Kumpulan itu telahpun menuai hasil kebun mereka sebanyak dua kali seterusnya menikmati sayuran itu bersama keluarga dan rakan-rakan serta jiran di sekitar rumah mereka.

Membekal sayur

Kini, mereka dan beberapa pekebun di pinggir bandar Tangerang telah menandatangani perjanjian untuk membekalkan 10 kilogram sayur bayam sehari kepada sebuah restoran di Jakarta.

Kumpulan itu juga mengendalikan beberapa bengkel dan lawatan ke ladang agar peserta yang ada juga dapat belajar untuk berkebun tanpa melibatkan racun perosak selain menggunakan baja yang tidak merbahaya.

"Nampak macam kerja mudah. Namun, untuk mendapat hasil tuaian yang berjaya, kami perlu mengetahui jenis-jenis tanah yang sesuai untuk setiap jenis tanaman dan memahami jenis benih anggur yang berbeza," ujar Kusumawijaya.

Seorang ahli agronomi, Adhie Widiharto, yang pernah dijemput memberi syarahan mengenai penanaman jagung organik memuji usaha kumpulan tersebut untuk memanfaatkan alam sekitar sekali gus mendidik isi rumah agar menjadi lebih cermat.

"Harga cili naik mendadak dan ia menjadi sebab terbaik untuk menunjukkan manfaat menanam sayuran sendiri di rumah," ulasnya.

Keadaan cuaca yang teruk pada awal tahun ini telah memusnahkan tanaman cili sekali gus melonjakkan harga cili lima kali ganda sehingga mencecah 100,000 Rupiah (RM33) sekilogram.

Cili merupakan ramuan turun-temurun di kebanyakan dapur penduduk di Indonesia.

"Jika semua bandar mampu menghasilkan lebih banyak pokok cili sendiri, kita tidak lagi perlu mengimport lebih banyak cili dari bandar lain. Kita akan menjimatkan minyak dan mengurangkan pencemaran," kata Widiharto.

Tambahnya, hasil usaha penduduk setempat juga segar dan menyihatkan berbanding makanan yang datang jauh beratus kilometer dari kampung.

Bagi Syahnaz pertanian urban juga menjadi satu aktiviti sosial. Trend itu juga telah 'menghadiahkan' dirinya dengan suatu hadiah yang tidak disangka-sangka, iaitu seorang teman lelaki yang sehaluan.

"Ibarat serampang dua mata, saya menanam pokok cili dan saya juga menanam benih cinta," katanya tergelak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: