MASAKAN asam pedas Johor memang menjadi kegemaran penulis kerana kepekatan kuah dan rasanya yang begitu menambat selera.
Bagaimanapun sejak berpindah ke Selangor, amat sukar untuk merasai masakan asam pedas Johor yang benar-benar menepati cita rasa sehinggalah penulis berpeluang singgah makan tengah hari di Restoran Le Lac di Seksyen 13, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.
Bukan mahu memuji, tetapi hidangan asam pedas di restoran milik Aima Manaf, 37, memang menepati selera penulis dan mungkin juga peminat masakan asam pedas yang lain.
Penulis turut terpikat dengan keenakan lebih daripada 30 jenis lauk-pauk kampung yang dihidangkan bersama nasi campur antaranya gulai rusa, masak lemak siput sedut, masak lemak nanas ikan masin, ulam-ulaman dan lain-lain.
Bertepatan dengan tagline 'Mencari makanan bermutu empat bintang di kaki lima' dan 'Harga semurah masakan di rumah', harga yang ditawarkan di restoran ini sememangnya berpatutan.
Aima ketika ditemui S2 berkata, restorannya turut menyajikan lebih daripada 100 pilihan masakan 'ala carte' termasuk asam pedas claypot serta aneka kuih-muih.
Menurutnya, restoran itu dibuka setiap hari bermula pukul 7 pagi hingga lewat malam.
Ujarnya, pelanggan juga boleh memilih set makanan yang ditawarkan antaranya set nasi ayam lemon dan air kedondong asam boi berharga RM8.90, set asam pedas claypot dengan pilihan ikan pari, kembung, tenggiri atau bawal bersama pilihan air dengan harga bermula RM7.50 hingga RM8.90.
"Kami turut menawarkan set menu untuk sarapan, tengah hari dan makan malam kepada pengunjung," katanya.
Menurutnya, semasa makan malam, pengunjung turut disajikan dengan persembahan muzik akustik daripada kugiran anak muda pada setiap hari Ahad, Isnin dan Rabu bermula pukul 8 malam hingga 12 tengah malam.
Selain itu, Aima memberitahu, restorannya turut menerima tempahan katering, majlis perkahwinan dan makan tengah hari mengikut pakej ditawarkan dengan lebih daripada 40 aneka lauk pada harga serendah RM15.90 bagi satu kepala.
"Saya bercadang mengembangkan perniagaan dengan membuka cawangan di Puchong pada masa hadapan.
"Pada masa yang sama, selebriti terkenal seperti Diana Rafar dan penjaga gol kebangsaan, Khairul Fahmi Che Mat atau lebih dikenali sebagai Apek, antara pelanggan yang sering mengunjungi restoran ini," tambahnya.
Bagi pelanggan yang berminat untuk menempah atau mencuba kelainan masakan di Restoran Le Lac, boleh menghubungi talian 012-3791995 dan 012-2674452 atau datang sendiri ke alamat 45, Jalan Badminton, Seksyen 13 Shah Alam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: