CINTA selalunya menjadi topik yang cukup dekat dengan hati setiap insan. Ia tidak semestinya merujuk kepada seseorang yang bernama kekasih sahaja.
Penulis buku Cinta Motivasi Berfikir, Syaidatun Nazirah Abu Zahrin mengakui cinta itu wujud di semua fasa hidup bermula dengan ibu bapa, adik-beradik, rakan-rakan, suami isteri, anak hinggalah kepada Tuhan.
Pencarian cinta yang sebenar mampu memberi kemampuan untuk seseorang berfikir secara rasional, jelas dan kritis dalam membentuk diri, membuat keputusan atau membuat pilihan hidup.
“Mereka yang gagal mencari erti cinta sebenar, akhirnya terjebak dengan pelbagai masalah sosial yang semakin menjadi-jadi sekarang ini seperti zina, anak luar nikah dan pembuangan bayi yang tidak berdosa,” kata Syaidatun yang berkongsi pengalaman serta pengetahuan tentang cinta sebenar dalam bukunya.
Pensyarah Pusat Pengajian Umum, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang juga pelajar kedoktoran falsafah dalam bidang psikologi itu berkata, buku tersebut asalnya merupakan kerja tesis beliau di universiti.
Oleh kerana tidak mahu menyimpan ilmu yang dikumpul hanya sekadar bahan rujukan di perpustakaan universiti, Syaidatun memilih untuk membukukan kandungan tesis untuk dikongsi kepada lebih ramai orang.
“Ia adalah hasil terjemahan daripada tesis bertajuk Motivating Thinking Through The Concept of Love for Allah: Implication for Education. Namun, saya dan rakan penulis yang lain telah menambah lebih banyak input untuk memudahkan pembacaan umum seterusnya berharap agar pembaca mendapat maksud cinta yang sebenarnya sangat luas,” ujar Syaidatun, ibu kepada lima orang anak.
|
|
Buku Cinta Motivasi Berfikir yang turut ditulis oleh Abidah Abd. Rahim dan Nurul Aida Abd. Ghani mengupas pelbagai psikologi cinta yang bukan sahaja membawa kesejahteraan, tetapi pelbagai isu sosial apabila disalah tafsir.
Katanya lagi, manusia perlu sedar bahawa cinta adalah satu bentuk anugerah indah daripada Tuhan. Ia sepatutnya difahami secara mendalam dan dikongsi bersama untuk tujuan yang murni.
Walaupun konteks penulisan Syaidatun bersifat keislaman, tetapi beliau mengakui, memandangkan Islam itu sendiri agama yang universal, kandungan yang dipaparkan dalam buku itu juga sesuai untuk semua latar agama.
Syaidatun sebelum ini sudah menerbitkan tiga buah buku mengenai psikologi cinta, pemikiran kritis dan petua membantu anak berjaya.
Cinta Motivasi Berfikir merupakan buku keempat yang diterbitkan oleh pihak Utusan Publications and Distributors (UP&D).
“Apabila memilih UP&D, saya bukan sahaja mendekati pihak pembaca umum, tetapi para akademik kerana UP&D mempunyai pembaca daripada latar akademik.
“Ia akan membantu saya melebarkan pengetahuan kepada lebih ramai pembaca,” katanya.
Beliau mengalu-alukan sebarang pertanyaan atau komen mengenai kandungan buku Cinta Motivasi Berfikir melalui e-mel syaidatun@ukm.my.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: