Monday, March 26, 2012

Artistik cetakan kulit ular



APABILA bercakap tentang ular, lazimnya kebanyakan kita akan mempamerkan reaksi yang kurang selesa. Kita berasa geli dengan tekstur kulit reptilia berkenaan yang bersisik dan lembap. Namun, di sebalik 'keburukan' itu ada 'kecantikan' yang tersembunyi.

Kulit ular yang bercorak dan berwarna-warni antara kesempurnaan bagi pandangan mata kelompok pereka fesyen. Mereka melihat tekstur dan warna kulit ular memiliki nilai estetika yang menarik dan unik untuk menghasilkan pakaian.

Menyentuh mengenai fesyen berasaskan kulit ular, jenama antarabangsa Alexander Mcqueen antara perintis yang menaikkan populariti konsep fesyen sedemikian.

Sejak tahun 2010, jenama itu sentiasa melancarkan himpunan pakaian berasaskan fabrik cetakan ular dalam variasi warna terang dan lembut.

Cetakan fabrik kulit dicetuskan untuk memenuhi cita rasa pencinta fesyen tanpa perlu mengorbankan ular-ular hidup.

Melvin Ashley Shah, 45, merupakan salah seorang pereka fesyen tempatan yang menampilkan kelainan busana berasaskan fabrik cetakan kulit ular.

Tutur anak kelahiran Kuala Lumpur tersebut, meskipun segelintir pihak berasa geli untuk menyarungkan pakaian sedemikian, tetapi tidak bagi penggemar fesyen.

Ironinya, bukan sedikit kelompok wanita yang sanggup mengeluarkan sejumlah wang semata-mata untuk memiliki pakaian yang unik dan trendy.

"Situasi hari ini berbeza seiring dengan peredaran fesyen semasa. Wanita semakin bijak bergaya sehingga selera fesyen mereka berubah-ubah mengikut trend.

"Lagipun wanita kini bukan sekadar mementingkan potongan, rekaan dan kualiti, malah turut obses memilih pakaian yang membantu menyuntik penampilan unik.

"Misalnya, konsep fesyen warna blok yang memerlukan mereka menggayakan item fesyen rona terang serta kontra," jelas Melvin yang juga merupakan pemilik butik I Nee Collection by Melson.

Tekstil berbeza

Mengambil kira cita rasa dan faktor sekeliling, graduan Diploma Seni dan Ukiran Tekstil di Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) itu memikirkan idea fesyen berbeza. Jika kebanyakan pereka fesyen cenderung memilih fabrik renda Perancis, net, organza mahupun sifon polos atau bercorak, Melvin pula gemarkan tekstil yang berbeza.

"Sebab itu saya sanggup terbang ke China kerana ia menawarkan variasi fabrik mewah, unik dan berkualiti. Hasil kerja pembuatan kain-kain di sana juga amat teliti dan sempurna. Harga yang ditawarkan berpatutan, asalkan kita bijak tawar-menawar.


KOLEKSI dres I Nee Collection by Melson menggabungkan fabrik cetakan ular dan bulu lembut.


"Ketika sesi membeli-belah saya telah terpikat dengan kehalusan dan tarikan pada fabrik cetakan kulit ular. Bagi saya sudah tiba masanya saya memperkenalkan motif ular memandangkan sebelum ini wanita Malaysia lebih terdedah pada motif abstrak, flora dan polka dot," terang Melvin sambil menunjukkan koleksi gaun pendek rekaannya yang menggunakan fabrik cetakan kulit ular.

Bicara mengenai koleksi busana berkenaan yang pernah diperagakan pada pertunjukan fesyen Malaysian International Fashion Alliance (MIFA) tahun lalu, Melvin menyatakan ia hadir dalam empat rekaan berbeza.

Selain gaun pendek konsep gelembung di bahagian bawah dan gelembung di bahagian bahu, Melvin turut menghasilkan dres pendek yang mempunyai hud dan tidak berlengan.

Menariknya, pereka berdarah kacukan Melayu, Serani dan Baba Nyonya itu tidak membiarkan koleksi dresnya polos tanpa perincian meskipun corak ular itu sudah tampak sarat. Bijak bereksperimen dengan konsep baharu dan moden, Melvin menghiasi pakaiannya dengan bulu-bulu rona terang seperti jingga, biru dan hijau.

"Pakaian saya ini sesuai digayakan ketika menghadiri parti, majlis makan malam mahupun minum petang. Disebabkan cetakan kulit ular ini sudah memenuhi keseluruhan baju, maka si pemakai tidak disarankan memakai aksesori yang berlebihan.

"Tas tangan dan sepatu polos sudah memadai untuk menyerikan penampilan. Ini termasuklah memilih teknik solekan yang sesuai sama ada konsep natural ataupun terang," nasihat Melvin yang pernah berkhidmat sebagai jurusolek jenama Versace selama empat tahun.

Pilihan selebriti antarabangsa

Dalam pada itu, motif kulit ular bukan sahaja popular dijadikan pakaian, malah ia juga untuk menghasilkan aksesori berasaskan motif yang sama. Ia terdiri daripada beg tangan, tali pinggang dan sepatu.

Pelakon genit Hollywood, Eva Longoria antara selebriti yang meminati aksesori yang diperbuat menggunakan material kulit ular. Dia dilihat tidak pernah lekang daripada beg tangan jenama Gerard Darel. Beg tangan bersaiz sederhana itu diinspirasi daripada kulit ular sawa yang menggabungkan warna hitam dan kelabu metalik.

Sementara itu, penyanyi wanita kumpulan Black Eye Peas, Fergie, 37, juga tidak ketinggalan memiliki seluar jean sendat lusuh bermotifkan kulit ular.

Penampilannya kelihatan ranggi apabila menggayakan seluar itu bersama baju-T singlet dan but rona hitam. Bagi pelakon Zoe Saldana pula, dia tampil ceria dalam persalinan gaun merah terang yang dipadankan bersama tas genggam, jenama Doutzen Kroess.


MELVIN ASHLEY SHAH pereka tempatan yang berani mengetengahkan rekaan dan material yang kurang menjadi pilihan pereka lain.


Aktivis haiwan menentang

Fenomena fesyen berasaskan kulit haiwan khususnya kulit ular mengundang reaksi negatif dalam kalangan aktivis haiwan. Memetik artikel www.dailymail.co.uk, pakar dan perunding biologi, Agensi Perlindungan Haiwan, Warwick menyatakan industri fesyen pada hari ini lebih mementingkan gaya dan trend tanpa memikirkan impak pada kehidupan reptilia tersebut.

Lantaran itu, busana yang menggunakan inspirasi kulit ular seperti diilhamkan Melvin dilihat sebagai salah satu cara untuk mengurangkan obsesi pencinta fesyen ke atas kulit ular sebenar.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: