
AMPANG JAYA – Penduduk di Kampung Bukit Sungai Puteh dan Kampung Lembah Jaya Utara di sini menyifatkan banjir yang melanda kawasan tersebut malam kelmarin sebagai yang terburuk sejak 30 tahun lalu.
Penduduk mendakwa, banjir yang turut membawa lumpur itu berlaku ekoran empangan takungan air di Hutan Rekreasi Rimba Ampang tidak mampu menampung lebihan air hujan yang melanda hampir tujuh jam malam kelmarin.
Dalam kejadian bermula kira-kira 7.30 malam itu, hampir 230 buah rumah terjejas menyebabkan sebanyak 425 mangsa terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara di Surau Ehsaniah yang terletak berdekatan kampung berkenaan.
Menurut seorang mangsa, Julia Mohd. Yusoff, 31, semasa kejadian dia bersama 10 ahli keluarganya sedang menikmati makan malam.
“Air naik dengan begitu mendadak, tidak sampai lima minit sudah mencecah paras leher.
“Keadaan itu menyebabkan kami hanya sempat menyelamatkan diri sahaja,” katanya yang memberitahu mengalami kerugian lebih RM25,000 akibat banjir tersebut.
Seorang lagi mangsa, Nur Ainn Burhan Aris, 23, berkata, tembok rumahnya roboh berikutan kediamannya yang terletak bersebelahan dengan sungai.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: