Monday, March 5, 2012

Azlina simpan puntianak


KAIN rentang saiz sebenar Edward Cullen setinggi 1.82 meter antara koleksi Twilight kesayangan Azlina. Adlina.


UMPAMA mengunjungi muzium Twilight, peminat filem puntianak pasti teruja melihat koleksi milik Azlina Mahbob. Daripada poster bersaiz sebenar puntianak idaman ramai, Edward Cullen hinggalah pelbagai replika barang kemas yang dipakai watak filem Twilight seperti cincin pertunangan Bella Swan dan rantai Alice Cullen, semuanya tersimpan rapi di dalam bilik khas.

Lebih 100 barang berunsurkan kisah percintaan puntianak dan manusia biasa nukilan penulis novel Stephenie Meyer ada dalam simpanan Azlina.

"Kebanyakannya saya dapat dari luar negara melalui jualan dalam Internet dan ada yang dihantar oleh rakan di Amerika Syarikat kerana barangan Twilight yang asli sukar diperolehi di sini.

"Nasib baik saya sudah berkahwin, Kalau tidak, pasti saya akan mereka pakaian pengantin seperti dipakai Bella!" ujar Presiden Kelab Twilighters Malaysia berseloroh.

Antara aktiviti kelab tersebut, menganjurkan tayangan istimewa siri filem itu serta memberikan maklumat sebarang perkembangan filem tersebut serta di mana boleh mendapatkan barangan Twilight.

Mengakui meminati Twilight kerana 'jatuh cinta' dengan watak Edward yang kacak dan romantik, mujurlah suaminya memahami kegilaannya itu malah menyokongnya dengan membantu setiap kali Azlina mengadakan majlis berkaitan Twilight.

Barangan lain yang dikumpul Azlina sejak awal 2009 adalah kesemua novel Twilight Saga, VCD, album runut bunyi, payung, barang kemas, bekas air, baju, poster pawagam, majalah, topi, bekas bertih jagung serta bermacam-macam lagi yang jumlahnya dianggarkan beribu-ribu ringgit.

Menurut Azlina, kegilaannya bermula selepas menonton DVD filem Twilight pada awal 2009 dan terus memburu novel-novelnya pula kerana tertarik dengan jalan ceritanya yang berbeza dengan kebanyakan filem puntianak yang lain.

Menghabiskan keempat-empat novel dalam masa seminggu sahaja, cintanya kepada watak-watak Twilight yang menebal menemukan dia dengan peminat tegar lain sehingga mereka sepakat menubuhkan Kelab Twilighters Malaysia.

Malah, Azlina bersama seorang lagi rakannya pernah terbang ke Jepun hanya untuk bersua pemegang watak Edward iaitu Robert Pattinson ketika tayangan perdana New Moon di Shinagawa, Jepun pada November 2009.

Dia yang sarat mengandung merancang ke Los Angeles pada November depan bagi menghadiri Tayangan Perdana The Twilight Saga: Breaking Dawn Part 2 di sana.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: