Monday, March 5, 2012

2 wanita hebat


Wajah tegas Thatcher semasa pemerintahannya.
(kiri) dan Streep (kanan) ketika melakonkan watak Thatcher dalam filem The Iron Lady.


UNTUK membawakan watak biografi memerlukan kemampuan istimewa daripada biasa. Apatah lagi, jika watak yang dibawakan itu cukup popular dan masih lagi hidup. Tetapi bagi kebanyakkan pelakon, membawakan watak biografi menjadi idaman mereka. Selain dapat mencabar kreativiti sebagai seorang anak wayang, ia juga dianggap sebagai laluan mudah untuk merangkul anugerah berprestij.

Antara pelakon yang dilihat berjaya menghidupkan watak biografi ialah pemenang Anugerah Akademi ke-84 atau Oscar 2012 Meryl Streep, 63.

Streep membawakan watak bekas Perdana Menteri Britain, Margaret Thatcher menerusi filem The Iron Lady.

Penonton dapat merasakan aura luar biasa lakonan Streep sebagai Perdana Menteri wanita pertama Britain dalam filem tersebut.

Mereka tidak melihat bayangan Streep di layar lebar tetapi seolah-olah Thatcher muncul kembali dan mendominasi perjalanan filem yang memakan masa selama satu jam 45 minit itu.

Penonton seakan tertarik dengan lakonan Streep yang membawakan watak seorang tokoh politik yang pernah mencetuskan kontroversi sewaktu era kepimpinannya.

Thatcher terkenal kerana memulihkan ekonomi Britain melalui penswastaan dan pembatalan kawal selia yang dilihat sebagai ekonomi separa sosialis.

Namun beliau juga digelar diktator ekoran tindakan keras ketika berdepan dengan mogok oleh pekerja arang batu pada 1984 dan rusuhan pada 1990 berhubung pengenalan cukai.

Thatcher kini berusia 87 tahun menderita penyakit demensia dan tidak berdaya.

VersatilIni bukanlah kali pertama Streep membawakan watak biografi sehingga berjaya tercalon untuk Oscar.

Antara watak yang pernah dibawakannya termasuklah Roberta Guaspari dalam filem Music of the Heart dan Julia Child (Julie & Julia).

Bahkan lakonannya sepanjang tiga dekad ini tidak mengecewakan. Lakonannya tetap menjadi pujaan Hollywood walaupun pelakon baru silih berganti.

Beliau boleh membuat pelbagai aksi dalam dalam filem muzikal komedi, Mamma Mia.

Walaupun secara zahirnya Streep dilihat mampu memegang apa sahaja watak, beliau tidak pernah mengambil mudah dalam kerjayanya.

Untuk membawakan watak seorang pemimpin dalam filem The Iron Lady, Streep melalui pelbagai pengalaman yang cukup memenatkan.

"Penat yang saya alami untuk menzahirkan Margaret bukan kecil kerana ia melibatkan persiapan dalam aspek fizikal dan mental.

"Apatah lagi saya sendiri perlu disolek lebih dua jam setiap hari.

"Tetapi, bagi saya, perkara yang paling mencabar adalah untuk mengubah suara saya mengikut fasa dalam perjalanan karier Margaret," jelasnya.

OptimisDi sebalik kejayaannya membawa watak Margaret Thatcher, ia turut mendapat tentangan rakyat British yang kurang bersetuju kerana merasakan pelakon Amerika seperti Streep tidak layak untuk membawakan watak tokoh penting dari negara mereka.

Sentimen kerakyatan itu bagaimanapun langsung tidak mengubah pendirian penerbit dan pengarah filem berkenaan untuk terus memilih Streep.

Streep tetap optimis walaupun menjadi satu-satunya pelakon Amerika dalam filem tersebut.

"Saya mengambilnya sebagai sesuatu yang positif dan belajar daripada mereka yang ada sebahagiannya tidak pernah saya ketahui sebelum ini. Membintangi filem The Iron Lady hakikatnya telah membuka lembaran baru untuk saya," jelasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: