PENGERANG - “Daripada orang awam, di sini saya diajar bagaimana menjadi seorang tentera, tambahan pula ayah adalah seorang pesara tentera yang secara tidak langsung menjadi inspirasi buat saya untuk menjadi sepertinya,” kata penerima Anugerah Perajurit Muda Terbaik Keseluruhan Wanita, Rosni Nani Anak Tanjung, 22, atau Nani yang berasal dari Sibu, Sarawak.
Menurutnya, dia tidak berkesempatan berhubung dengan keluarga memberitahu berita gembira ini, tetapi sempat memaklumkan melalui surat.
“Meskipun tanpa kehadiran keluarga, namun saya amat gembira dan terharu kerana terpilih menerima anugerah ini,” katanya.
Anak pertama daripada lima beradik ini menerima anugerah yang disampaikan Panglima Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM), Laksamana Tan Sri Abdul Aziz Jaafar sempena Perbarisan Tamat Latihan Perajurit Muda TLDM 206/2011 di KD Sultan Ismail, Tanjung Pengelih, di sini, semalam.
Pada majlis sama, Abdul Aziz turut menyampaikan Anugerah Perajurit Muda Terbaik Keseluruhan Lelaki kepada Muhammad Taufek Kamarudin, 21.
Manakala, bagi anugerah lain iaitu Perajurit Muda Terbaik Kawad dimenangi Mohamad Hazem Hakimi Mohd Azhar, 22; Perajurit Muda Terbaik Akademik, Mohd Izham Mohd Rodi, 22; Perajurit Muda Terbaik Sukan Lelaki, Mohd Faddley Lusing, 21; dan Perajurit Terbaik Sukan Wanita, Nursyazwani Anuar, 20.
Abdul Aziz berkata, TLDM akan terus membuka peluang buat semua anggota barunya mempertingkatkan tahap akademik ke peringkat yang lebih tinggi bagi melayakkan mereka menikmati tangga gaji permulaan yang lebih baik mengikut Skim Baru Perkhidmatan Awam (SBPA) yang bakal dilaksanakan.
Menurutnya, bagi anggota yang mempunyai Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bakal memperoleh gaji sebanyak RM1,080 iaitu kenaikan gaji hampir 20 peratus iaitu RM193.02 berbanding gaji lama, RM886.98 sebulan mengikut SBPA.
“TLDM sentiasa memberi peluang kepada anggotanya untuk meningkatkan tahap akademik ke peringkat lebih tinggi selaras dengan SBPA yang menekankan aspek kelayakan akademik dalam pemberian gaji dan kenaikan pangkat.
“Dalam hal ini, TLDM sudah melaksanakan tindakan awal apabila kelayakan memasuki perkhidmatan ini ditingkatkan daripada Penilaian Menengah Rendah (PMR) kepada SPM,” katanya.
Selain itu, Abdul Aziz turut mengingatkan perajurit muda yang akan memulakan tugas masing-masing agar sentiasa memelihara dan menjaga disiplin selain menghindari diri daripada terlibat dalam kegiatan negatif.
Monday, March 5, 2012
Ayah jadi inspirasi kecemerlangan Nani
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: