SEJAK akhir-akhir ini, pembikin animasi tempatan mula meraih tempat di hati penggemar-penggemar animasi antarabangsa. Hasil karya pembikin animasi itu mula ditayangkan di rangkaian antarabangsa sekali gus memartabatkan industri animasi tempatan.
Terbaharu, syarikat Third Rock Creation Sdn Bhd. yang mempunyai status Koridor Raya Multimedia (MSC) berjaya mendapat tempat di Nickelodeon Channel melalui animasi bersiri Cingkus Blues.
Cingkus Blues yang memaparkan kisah pengembaraan dua sahabat baik, Cing dan Kus merupakan animasi 26 episod dengan durasi 11 minit.
Cing merupakan seekor kucing biru yang suka melenting dan ego dengan slanga Britain, manakala Kus pula seekor tikus yang sentiasa mengambil berat tentang Cing.
Ketua Pegawai Eksekutif Third Rock Creation Sdn. Bhd., Sheikh Raheem berkata, siri animasi Cingkus Blues turut memperkenalkan beberapa destinasi pelancongan di dalam negara bagi setiap pengembaraan dua sahabat baik itu.
“Sejak hari pertama, penekanan kami adalah untuk membangunkan kandungan animasi yang dapat memenuhi kehendak pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Kami telah memulakan pembikinan siri animasi Cingkus Blues pada tahun 2008 lagi dan amat berbesar hati kerana ia ditayangkan di saluran Nickelodeon,” katanya dalam satu kenyataan akhbar.
Selain daripada Cingkus Blues, Third Rock Creation turut dalam pembikinan projek animasi baharu iaitu Soccerbugs.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Pembangunan Multimedia (MDeC), Datuk Badlisham Ghazali berkata, Cingkus Blues yang dibangunkan Third Rock Creation membuktikan satu lagi kejayaan industri animasi tempatan apabila mendapat pengiktirafan peringkat antarabangsa.
“Ia sangat menggalakkan apabila sekali lagi melihat kematangan dalam pembangunan kandungan kreatif tempatan.
“Saya sangat yakin Malaysia akan membangun sebagai hab kreatif di peringkat tempatan dan antarabangsa,” kata beliau optimis.
Siri animasi Cingkus Blues telah ditayangkan di saluran Nickelodeon pada 18 Februari lalu.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: