
BOLEH dikatakan setiap pengeluar kenderaan massa mempunyai kereta rakyat. Ia merujuk kepada kereta yang murah, praktikal dan tahan lasak.
Antara contoh model sebegitu ialah Proton Saga, Perodua Kancil, Honda Civic, Toyota Corolla, Volkswagen Beetle dan MINI.
Namun, seiring dengan penjenamaan dan reputasi yang diraih, model-model itu (kecuali Saga) menjadi tidak masuk akal dari segi teknologi dan paling penting, harganya.
Model yang dahulunya menggunakan konsep binaan yang mudah sekarang semakin rumit dengan sistem elektronik dan pelbagai teknologi canggih, hinggakan harganya sudah tidak mesra golongan marhaen.
Disebabkan oleh strategi pemasaran dan peredaran zaman juga, ada nama asal sesebuah model terus dibuang. Kancil kini dinamakan Viva, Corolla pula ditambah namanya dengan Altis.
Lebih dahsyat Beetle dan MINI. Jentera itu sudah menjadi jenama premium dan jauh lari daripada konsep asal pembinaannya sebagai kereta rakyat. Civic pula bukan lagi kereta biasa-biasa tetapi sudah jadi kereta golongan eksekutif berada.
Berikutan senario itu, maka muncullah satu vakum dalam pasaran kenderaan murah. Sudah namanya orang berniaga, peluang yang ada itu harus direbut. Justeru, pengeluar-pengeluar tadi menghasilkan pula model baru bagi mereplika kejayaan model-model terdahulu.
Honda menghasilkan City, Toyota dengan Vios dan Volkswagen (VW) dengan model terbaharu up!. Walaupun di negara kita harga City dan Vios terletak kemas dalam kategori mahal, namun hakikatnya tiada model lain yang lebih murah di dalam barisan produk kedua-dua syarikat tersebut.
Harganya tinggi kerana polisi cukai kerajaan. Namun secara peribadinya, saya lebih kecewa dengan VW dan BMW yang kini memiliki MINI. Mereka telah secara sengajanya menolak model kegemaran sedunia iaitu Beetle dan Cooper ke dalam pasaran premium.
Semangat Beetle klasik
Lebih kurang 20 tahun lalu, seorang saudara saya mempunyai sebuah model MINI. Sementara jiran saya yang kerjanya membaik pulih komputer secara sambilan pula memiliki Beetle. Bukan setakat Beetle, malah dia juga mempunyai sebuah VW Combi.
Dengan harga terkini yang berlegar-legar pada ratusan ribu ringgit, tidak hairanlah jika model-model tersebut tidak lagi mampu dicapai oleh orang-orang biasa.
Namun baru-baru ini VW dilihat sebagai cuba untuk melihat ke belakang dengan memperkenalkan model up!.
Model itu saya kira mengambil kembali semangat Beetle klasik yang ringkas. Harganya pula bermula dari bawah paras GBP8,000 (RM40,074) suatu yang saya kira masih lagi mesra rakyat.
Up! sebenarnya merupakan sebahagian daripada siri model Volkswagen Group New Small Family. Memandangkan VW adalah syarikat induk kepada pengeluar lain seperti SEAT dan Skoda, maka masing-masing mempunyai versi up! yang tersendiri iaitu Mii dan Citigo.

Selain itu, VW turut hadir dengan model konsep GT up!. Model itu adalah varian berprestasi up! yang dikatakan diinspirasikan daripada model Golf GTI.
GT up! mempunyai penggayaan sporty dengan gril sarang lebah yang lebar serta ekzos berkembar pada kiri dan kanan bampar belakang. Gril yang lebar pada up! adalah lebih besar berbanding model up! standard yang berfungsi untuk lebih udara memasuki bahagian enjin yang dikatakan berpotensi untuk mencapai lebih 100PS.
Bahagian bamparnya yang luas pula diposisikan salur yang berfungsi untuk mengalirkan udara bagi menyejukkan brek hadapan. Pada salur masuk udara tersebut dipasangkan pula lampu LED siang hari (daytime running lights).
Tema sporty GT up! diteruskan pada pintu belakang yang diwarnakan hitam kilat, roda aloi bersaiz 17 inci dengan tayar lebar bersaiz 195mm. Bagi menambah tahap kestabilan, kereta dipasangkan spoiler bumbung. Sementara peresap (diffuser) belakang pula dikombinasikan sekali dengan muncung ekzos berkembar.
Ruang kabin GT up! tidak kalah ciri sportynya. Tempat duduk penumpang dan pemandu mempunyai warna antrasit (arang batu) yang dikontrakan dengan panel tengah bercorak kotak-kotak warna biru dengan bayangan model GTI.
Papan pemuka yang berwarna hitam kilat pula turut dikontrakan dengan bulatan berwarna biru pada corong penyaman udara, manakala pemandu pula disediakan stereng tiga jejari yang dibalut kulit.
Kepada mereka yang berminat, masih tidak pasti sama ada up! akan dibawa masuk atau tidak ke pasaran tempatan. Model GT up! pula hanyalah kereta konsep sahaja. Dengar kata, ia menerima respon hangat sewaktu dipamerkan di Pameran Kenderaan Frankfurt baru-baru ini.
Walau bagaimanapun, pelanggan di United Kingdom sudah boleh menempah varian up! tiga pintu bersesaran 1.0 liter. Harganya bermula kira-kira GBP7,995 bersamaan dengan RM40,100. Macam ini barulah kena dengan maksud Volkswagen iaitu kereta rakyat!
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: