Saturday, November 5, 2011

Mitsubishi Pajero Exceed


PENAMPILAN Pajero yang moden dan tetap kekal dengan imej rugged.


SUV bersaiz besar bukan untuk semua orang. Selain harganya yang mahal, tidak ramai juga yang sanggup membayar kos cukai jalannya yang tinggi setiap tahun. Biarpun begitu, permintaan terhadapnya tetap ada. Atas sebab itu jugalah, banyak pengeluar yang terus menawarkan produk tersebut walaupun jumlah jualan bulanannya tidaklah sebesar mana.

Kini, tidak keterlaluan jika dikatakan bahawa segmen itu dilihat lebih dimonopoli oleh tawaran daripada jenama Eropah yang menekankan aspek kemewahan. Volvo tampil dengan Volvo XC90. Sementara BMW kekal popular bersama X5. Itu belum dikira dengan model-model seperti Mercedes-Benz ML350, Volkswagen Toureg, Audi Q7 atau Porsche Cayenne.

Pesaing dari Jepun nampaknya tidak mahu ketinggalan. Jadi, para pengguna boleh memilih beberapa model yang ditawarkan. Walaupun pilihannya agak terhad, misalnya Mazda CX9, Nissan Murano dan Lexus RX350, ia tetap mempunyai peminatnya tersendiri.

Kalau diikutkan, segmen SUV sebegitu sudah ada sejak tahun 1980-an lagi di Malaysia. Waktu itu, model-model seperti Isuzu Trooper dan Mitsubishi Pajero cukup terkenal.

Kalau memandunya, anda sudah boleh dikelaskan sebagai tauke balak atau kontraktor yang berjaya. Kedua-dua model itu disaingi rapat oleh Toyota Land Cruiser yang turut pernah dipasang dalam negara (sama seperti Mitsubishi Pajero).

Pemilikan Trooper, Land Cruiser dan Pajero juga dilihat menjadi satu trend ketika itu. Nasib Pajero nampak lebih baik apabila banyak agensi kerajaan menjadikannya sebagai kenderaan rasmi mereka.

Saya sendiri pernah berulang-alik menaiki Pajero untuk pergi menghadiri tugasan ketika bekerja di Radio Televisyen Malaysia (RTM) satu ketika dahulu. Memanglah Pajero itu tidak seselesa kebanyakan model SUV yang saya sebutkan tadi, tetapi ia tidak pernah kalah kalau terpaksa meredah laluan sukar termasuklah memanjat pembahagi jalan jika keadaan memaksa.


BUMBUNG panoramik yang boleh dibuka dan ditutup dengan hanya menekan satu butang.


Cukai import tinggi

Populariti Pajero seakan terhenti seketika pada pertengahan tahun 1990-an. Antara punca utamanya ialah apabila kerajaan mula mengenakan cukai cukai import yang tinggi ke atas kenderaan pacuan empat roda.

Tiada pilihan, banyak pengeluar termasuk Mitsubishi terpaksa memberi fokus kepada segmen lain terutama sedan bagi memastikan kelangsungan jenama di pasaran yang mencabar ini.

Tanpa disangka-sangka, pengedar kenderaan Mitsubishi di Malaysia, Mitsubishi Motors Sdn. Bhd. (MMM) melancarkan generasi keempat Pajero pada lewat tahun 2010.

Jangan keliru dengan model Pajero Sport pula. Pajero Sport menggunakan platform dan enjin diesel yang sama dengan trak pikap Triton, malah saiznya juga lebih kecil.

Sedangkan Pajero merupakan satu 'makhluk' berbeza. Ia memiliki sejarah dan senarai kemenangan yang panjang dalam perlumbaan Rali Dakar. Diimport sepenuhnya dari Jepun, Pajero varian Exceed itu didatangkan dengan enjin petrol 3.8 liter V6.

Kuasa yang mampu dijananya mencecah 250PS, sementara tork maksimumnya ialah 329Nm. Tekan sahaja pedal minyak, kuasanya boleh dirasai secara serta-merta walaupun pada mata kasarnya, kenderaan itu nampak begitu besar.

Penghasilan kuasa itu diagih sebaiknya oleh kotak gear automatik lima kelajuan INVECS-II bersama ciri Sports Mode. Memandangkan enjinnya yang besar, janganlah anda terlalu berharap ia boleh memberi penjimatan minyak secara tidak munasabah.

Pajero mengekalkan penampilan tubuhnya yang berkotak-kotak. Nampak sangat rugged dan maskulin, jurutera Mitsibishi berjaya mengekalkan ciri asas sebuah Pajero dan menyuntik elemen moden kepadanya.


UNIT audio Rockford Acoustic Design menawarkan kualiti audio yang memuaskan.


Jika bahagian hadapan kelihatan gagah dengan padanan lampu utama HID, bampar dan gril radiator, penampilan bahagian belakang Pajero menyerlah menerusi penutup tayar serta gugusan lampu dalam perumah berwarna jernih.

Masuk ke dalam kabin, Pajero menawarkan ambien mewah menerusi tempat duduk dibalut kulit berwarna hitam, kemasan kayu pada stereng, papan pemuka dan perumah tuil gear.

Bagi memberikan kualiti hiburan terbaik, jentera itu dipasang dengan sistem audio Rockford Acoustic Design bersama 12 unit pembesar suara. Pemandu juga dibekalkan dengan pelbagai maklumat berguna seperti penggunaan bahan api, kompas, suhu luar kabin dan mamcm-macam menerusi paparan digital yang terletak di bahagian atas unit audio.

Beberapa hari memandu Pajero, cuma ada satu yang saya tidak gemar mengenainya. Mentang-mentang tubuhnya besar, setiap sudutnya dipasang dengan alat pengesan.

Memang bagus supaya anda tidak mencalarkan kereta mahal itu, tetapi kalau ia tetap berbunyi dengan kuat ketika mahu keluar dari kawasan parkir yang sempit, ia pastinya menjengkelkan dan boleh membuatkan sesiapa sahaja menjadi panik.

Walaupun sarat dengan peralatan dan berpenampilan mewah, Pajero tetap berpegang dengan DNAnya yang maskulin serta tidak gentar untuk meredah apa jua bentuk laluan yang terbentang di hadapannya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: