Sunday, November 13, 2011

Tiket Badai Semalam 4 malam pertama habis dijual


Aksi para pelakon termasuk Fizz Fairus dan Erra Fazira pada pementasan teater Badai Semalam di Istana Budaya, Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 12 Nov. - Teater Badai Semalam mendapat sambutan menggalakkan apabila kesemua tiket bagi menyaksikan naskhah itu yang dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya mulai semalam telah habis dijual untuk empat malam berturut-turut.

Ketua Pengarah Istana Budaya, Mohamed Juhari Saarani berharap, sokongan para peminat teater Badai Semalam akan berterusan memandangkan naskhah adaptasi novel nukilan Khadijah Hashim itu akan dipentaskan sehingga 20 November ini.

"Badai Semalam dipentaskan 14 kali dari semalam hingga 20 November ini dan pada setiap pementasan, Panggung Sari mampu menampung sehingga 1,200 penonton.

"Jualan tiket pada hujung minggu paling laris, manakala tiket-tiket bagi menyaksikan persembahan pada Selasa, Rabu dan Khamis masih dijual tetapi untuk tiket berharga RM50 ia sudahpun habis dijual," katanya kepada Mingguan Malaysia semalam.

Jelas Juhari, jualan tiket teater itu cepat habis kerana ia sebuah karya daripada novel terkenal yang pernah dijadikan teks bagi peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia selain menampilkan ramai pelakon popular.

Beliau berkata, Aaron Aziz antara pelakon yang menjadi tarikan penonton di samping Erra Fazira yang melakonkan watak utama sebagai Mazni dalam pementasan sempena sambutan Bulan Bahasa Kebangsaan itu.

"Aaron mempunyai ramai peminat terutamanya wanita berdasarkan bilangan penonton yang datang menyaksikan teater ini 90 peratus berusia 40 tahun ke atas," ujarnya selepas berakhirnya pementasan malam pertama teater itu.

Badai Semalam dengan durasi pementasan hampir dua jam itu yang diarahkan oleh Khairunazwan Rodzy menampilkan ramai pelakon terkenal antaranya Datin Paduka Umie Aida yang melakonkan watak Cik Rohana, Fizz Fairuz (Zaki) dan Emelda Rosmila (Cik Mahani).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: