Sunday, November 13, 2011

Gemilang 25 tahun Ruth Sahanaya




DUA puluh lima tahun yang penuh gemilang. Mungkin itu kata yang sesuai menggambarkan kehebatan penyanyi yang seorang ini. Dalam usia yang sudah begitu matang, Ruth Sahanaya bukan lagi sebarangan artis.

Dia bukan lagi artis serpihan yang hanya datang bertandang mencari tempat. Namanya kekal kukuh di Malaysia sampaikan pernah mengadakan siri konsert beberapa tahun yang lalu.

Kalau ada yang masih ingat, konsert 3 Diva yang menggabungkan dirinya bersama Krisdayanti dan Titi Dwijayati meninggalkan kesan bukan sedikit kepada seluruh khalayak peminatnya.

Lembayung kerjaya seninya itu begitu hebat untuk dilalui oleh mana-mana anak seni. Selama itu juga mungkin sudah tidak terhitung budi yang ditabur oleh penghibur tanah seberang ini kepada pencinta dirinya.

Peluang bertemu dengan penyanyi kelahiran Bandung, Indonesia baru-

baru ini berlangsung dalam suasana yang harmoni. Biarpun baru pertama kali bersua muka, ternyata Ruth cukup kaya dengan budi bahasa.

Mungkin nilai itu yang meletakkan Ruth masih kekal bertahan sebagai penyanyi yang disegani. Tidak seperti sesetengah penyanyi lain yang mula lupa diri, tidak ada istilah besar kepala yang mengaburi fasa perjalanan kerjaya seninya itu.

Segala-galanya ditanya pada Ruth. Segala-galanya juga dijawab dengan baik oleh diva dari seberang ini. Namun tumpuan lebih terarah pada banyak isu persembahan besar sempena 25 tahun penglibatannya dalam dunia seni dan isu ‘sengketa’ antara dua negara ini.

Saat ini hatinya cukup berbunga-

bunga. Peluang untuk membuat Konsert 25 Tahun Ruth Sahanaya di Kuala Lumpur pada 17 Disember depan bakal menjadi kenangan terindah buat penyanyi ini.

“Sebelum ini saya sudah membuat dua konsert besar di Indonesia dan Singapura. Lantas apabila berpeluang untuk ke Kuala Lumpur pada bulan hadapan menjadikan hati saya cukup seronok.

“Saya tahu ramai peminat saya di sini yang menantikan persembahan besar saya. Nah, ini mungkin boleh menjadi tanda terima kasih saya kepada semua peminat yang tidak pernah jemu-

jemu menyokong saya selama ini.

“Sudah 25 tahun saya menabur budi menghiburkan ramai orang. Rasanya ini memang masa yang cukup tepat buat saya ke Kuala Lumpur,” luah Ruth yang popular dengan lagu Kaulah Segalanya.

Namun, janji penyanyi itu tidak akan ada konsep yang sama akan dimainkan kali ini. Jika di Indonesia dan Singapura sudah menyaksikan kehebatannya beraksi, di Kuala Lumpur nanti juga pilihan lagunya juga akan berbeza.

Tidak sekadar hanya menyasarkan konsert yang berskala besar semata-mata, Ruth tidak pernah menolak untuk terlibat dalam undangan yang lebih bersifat peribadi.

“Saya tidak pernah memilih undangan. Bagi saya kecil atau besar sesuatu persembahan itu bukan satu masalah yang besar memandangkan semua orang perlu dihiburkan.

“Ada orang hanya mahu membuat persembahan yang besar-besar. Persembahan yang mesti dapat liputan meluas tetapi saya tidak begitu. Cukuplah peminat saya menghargai usaha saya, itu sudah memadai.

“Saat melihat peminat bertepuk tangan dan menyanyi bersama saya sudah cukup untuk memuaskan hati saya. Tapi sejujurnya saya tidak pernah meletakkan apa-apa syarat untuk kepuasan sendiri.

“Apa yang paling penting mereka terhibur dengan persembahan saya dan akhirnya mereka puas,” luah Ruth yang sudah memiliki 15 buah album lagi.

Melihatkan satu demi satu pencapaian besar yang pernah diraih olehnya, Pancaindera tertanya-tanya apakah perkara lain yang masih belum dicapai oleh penyanyi yang lahir pada 1 September 1966 ini.

Dalam nada yang santai, Ruth menjelaskan yang dia tidak pernah mengharapkan apa-apa. Dia juga bukan manusia yang bercita-cita besar tetapi hanya mengikut laluan hidupnya.

Apa yang dikecapi disyukuri olehnya. Namun untuk mengatakan dia harus begitu, begini, Ruth bukan orangnya.

“Yang paling penting saya bersyukur dengan segala-galanya. Punya peminat yang ramai dan ada keluarga yang bahagia sudah membuat saya gembira,” katanya Ruth yang akan membuat persembahan di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.

Menariknya, hasil jualan tiket konsert yang dinaungi Mantan Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamed itu akan disalurkan terus kepada beberapa badan tertentu yang dipilih.

Tiket-tiket boleh didapati bermula dengan harga RM128 hingga RM1,500 boleh didapati di cawangan Rock Corner Subang Parade, Mid Valley, KLCC, The Curve dan Khadijah Kitchen’s Restaurant Petaling Jaya, Selangor.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: