Friday, November 25, 2011

Subsidi tampung kos


SKIM Subsidi Diesel Nelayan yang diperkenalkan LKIM merupakan langkah terbaik membantu nelayan menangani masalah kenaikan harga petrol dan diesel.


DALAM aktiviti penangkapan ikan, diesel dan petrol merupakan komponen utama dan sangat penting merangkumi 70 peratus kos keseluruhan operasi bot.

Sebab itu, jika berlaku kenaikan harga bahan api, ia pasti akan membebankan golongan nelayan sekali gus memberi kesan terhadap aktiviti penangkapan ikan.

Kos yang meningkat akan menyebabkan ramai pengusaha menghentikan operasi atau mengurangkan bilangan perjalanan ke laut. Ia juga bakal menyumbang kepada masalah pengangguran.

Kesan daripada itu, bekalan ikan akan berkurangan. Secara tidak langsung menyebabkan kenaikan harga kepada pengguna.

Bukan setakat itu, negara juga terpaksa mengimport bekalan ikan demi memenuhi keperluan tempatan.

Lebih buruk lagi, ia akan menjejaskan pertumbuhan industri pemprosesan produk berasaskan hasil laut yang sememangnya bergantung kepada pendaratan industri perikanan tempatan.

Bagi menyelesaikan masalah itu, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) memperkenalkan Skim Subsidi Diesel Nelayan pada Januari 2006.

Objektifnya untuk membantu menampung sebahagian kos operasi menangkap ikan oleh nelayan serta menstabilkan pendapatan mereka.

Peringkat awal pengenalan skim tersebut, ia disasarkan kepada golongan nelayan pantai yang menggunakan enjin sangkut.

Ketika itu, nelayan yang layak akan diberi keistimewaan membeli diesel atau petrol pada harga RM1 seliter berbanding hari ini yang berharga RM1.25 seliter.

Bagi memastikan penyaluran subsidi sampai kepada golongan sasar, LKIM telah membangunkan sistem e-Nelayan untuk memantau dan mengawalselia pelaksanaan Skim Subsidi Diesel dan Petrol Nelayan.

Perisian dan perkakasan pada sistem berkenaan akan mencatatkan segala aktiviti jual beli diesel dan petrol di pusat jualan.

Nelayan-nelayan yang layak akan diberi kad pintar yang akan merekod nama pemilik, nombor vesel, kuota yang layak dan maklumat-maklumat peribadi berkaitan.

Sistem berkenaan mempunyai kelebihan kerana ia mampu mencatatkan butir-butir terperinci pembelian seperti lokasi transaksi, waktu dan jumlah yang digunakan secara masa nyata.

Bagi tujuan itu, semua pusat jualan telah dibekalkan dengan peranti digital mobiliti dikenali sebagai ST4e untuk membaca dan merekodkan maklumat daripada transaksi kad pintar.

Sepanjang tempoh pelaksanaan skim tersebut, LKIM telah mengeluarkan 40,000 kad pintar kepada vesel dan sampan yang layak.

Keuntungan hasil jualan minyak diesel melalui Persatuan Nelayan pula akan dinikmati secara bersama oleh nelayan-nelayan melalui pulangan dividen, program bantuan pendidikan anak-anak nelayan, insurans dan tabung kecemasan.

Sepanjang tahun 2006 hingga 2010, lebih RM100 juta keuntungan telah diperolehi oleh persatuan-persatuan nelayan terlibat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: