Friday, November 25, 2011

Hab pengedaran ikan air tawar


LKIM terus mengorak langkah dalam tranformasi pemasaran dengan membangun hab pengedaran dan pengumpulan utama ikan.


Permintaan terhadap ikan berkualiti menyebabkan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengambil pendekatan serampang dua mata iaitu membina atau menaiktaraf infrastruktur termasuk bantuan sistem peralatan dan logistik serta menggalakkan penyertaan usahawan akuakultur, pemasar dan pengguna.

LKIM terus mengorak langkah dalam transformasi pemasaran dengan membangunkan hab pengedaran dan pengumpulan utama ikan sebagai pelengkap kepada pemasaran ikan air tawar berasaskan sumber dijamin selamat dan berkualiti.

Bermula tahun ini dengan peruntukan RM1.5 juta, LKIM membangun Hab Pengedaran Ikan LKIM Bangi, Kuantan, Kuala Terengganu dan Pekan.

Lokasi dipilih berdasarkan kedudukan strategik dari segi pertumbuhan ekonomi dan penduduk dengan kuasa membeli dan permintaan tinggi. Dengan infrastruktur, logistik dan kemudahan disediakan, hab LKIM bersedia membuat bekalan pukal kepada pasar raya besar.

LKIM melibatkan pengusaha dan usahawan pemasar seperti Persatuan Nelayan Kebangsaan (NEKMAT), Persatuan Nelayan Negeri Kedah (NEKAD), Persatuan Nelayan Negeri Terengganu (PENENTU), Persatuan Nelayan Negeri Pahang (PENERPA), Persatuan Nelayan Negeri Sarawak (PENESA), Persatuan Nelayan Kawasan Kuantan (PNKK), Persatuan Nelayan Kawasan Pekan (PNKP), Anak Syarikat LKIM Asas Ombak, Pan Nelayan Sdn. Bhd dan Usahawan Pemasar Daerah Pekan.

Mereka meningkatkan pengedaran produk akuakultur dari ladang kepada pengguna dan digiatkan dengan rangkaian pemasaran berdasarkan matlamat dan kehendak pengguna. LKIM juga mempergiatkan promosi di samping meningkatkan maklumat pemasaran kepada penternak, pemproses, pengeksport dan pengimport.

Hab pengedaran dan pengumpulan LKIM dilengkapi dengan pelbagai kemudahan termasuk bilik sejuk, sistem tangki simpanan ikan hidup, akuarium dan lori pengangkutan ikan hidup.

Hab pengedaran berfungsi sebagai:

* Hab transit bekalan kepada pelanggan berpotensi seperti pasar raya dan restoran

* Hab pengredan semula mengikut pasaran pelanggan.

* Penyebaran maklumat pemasaran.

* Pertemuan pengeluar dengan pemasar.

Hab pengumpulan hasil akuakultur dibina di kawasan ladang untuk:

* Mengumpul produk dihasilkan pengeluar

* Menyediakan produk bernilai

* Penyebaran maklumat pemasaran

* Melaksanakan amalan lepas tuai

* Penemuan antara pengeluar dengan pemasar.

LKIM berjaya merealisasi sokongan pemasaran ikan air tawar melalui inisiatif menaiktaraf infrastruktur dengan membekal peralatan mengikut keperluan serta mempromosi penyertaan usahawan akuakultur, pemasar dan pengguna dan sebagai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Malaysia bagi tahun 2011.

Sasaran pengendalian sebanyak 1620 metrik tan setahun untuk tiga hab pengedaran dan 720 metrik tan untuk satu hab pengumpulan dicapai melalui pemasar sedia ada dan tahun ini LKIM merancang membangunkan dua lagi hab di Kampar dan Sibu serta tumpuan kepada tiga hab sedia ada di Bangi, Pekan dan Kuala Terengganu.

LKIM akan menaik taraf perkhidmatan sedia ada untuk memberi perkhidmatan lebih baik.

Tambahan kepada sedia ada, LKIM berusaha memberi pinjaman kewangan sebagai modal kepada usahawan untuk membesarkan perniagaan. LKIM juga akan mengadakan kempen agresif yang menggabungkan usaha promosi dan menyertai pameran berkaitan sejajar untuk mewujudkan kesedaran dan pendidikan kepada masyarakat ke arah makanan sihat.

Isu seperti persijilan dan pengesahan kualiti, keperluan sokongan pembiayaan untuk operasi serta bekalan tidak mencukupi dan tidak konsisten dapat diatasi melalui kerjasama semua pihak dan agensi terlibat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: