|
|
SEBUAH bangunan dengan kombinasi warna kelabu, merah dan putih tersergam megah di bandar Maitland yang terletak di New South Wales, Australia.
Di hadapan bangunan itu tertera perkataan Men's Shed, satu lokasi yang sudah lama dianggap sebagai 'kuil' bagi lelaki Australia di bandar tersebut. Meskipun dahulu saiznya agak kecil seperti sebuah kawasan di belakang rumah tetapi, kini ia semakin membangun.
Apa yang menarik, premis tersebut menempatkan ruang untuk kaum lelaki melakukan kerja-kerja pertukangan yang dilengkapi dengan bengkel kayu dan logam serta pelbagai peralatan untuk berkebun.
Tetapi menurut ahli majlis Hunter Valley, Marty Leist, kewujudan Men's Shed mampu menyelamatkan golongan lelaki yang telah bersara dan menganggur daripada kesepian di samping menggalakkan mereka untuk bekerja dan kembali bersosial bersama rakan-rakan sebaya.
"Berada dalam komuniti ini membuatkan kami berasa seperti melangkah menjadi lelaki yang baru dalam usia emas sebegini.
"Kesemua lelaki di sini pernah mengharungi hidup yang mencabar dan kini mereka telah menemui kebebasan yang dicari serta boleh melakukan apa sahaja yang diinginkan.
"Apa yang penting, beban yang terpikul di bahu mereka sudah tiada lagi, sebaliknya mereka gembira hidup bersama komuniti yang ada," kata Leist kepada AFP di Maitland Men's Shed yang terletak di pekan Hunter Valley, 160 kilometer ke utara Sydney.
Berkembang di Australia
Bermula dengan 12 bangsal lelaki sejak ditubuhkan lima tahun lalu, kini sudah terdapat 600 bangsal yang telah berdaftar dengan Mens Shed di seluruh Australia. Pertubuhan itu dinaungi oleh Tim Mathieson, pasangan kepada Perdana Menteri Australia, Julia Gillard.
Populariti jenama tersebut dapat dilihat apabila beberapa bangsal turut membuka pintu mereka kepada wanita.
Bagaimanapun di Maitland ia merupakan pusat kegiatan dengan gergaji dan pengimpal apabila sekumpulan kecil warga emas berusaha menyiapkan kenu Maori gergasi. Ia adalah projek impian seorang lelaki tempatan yang meninggal dunia sebelum dia berpeluang untuk menyiapkannya.
Suasana di dalam bangsal tersebut meriah dengan pelbagai bunyi. Daripada bunyi bising peralatan pertukangan atau sesekali hilai tawa kumpulan lelaki tersebut.
Men's Shed beroperasi di bawah moto Shoulder to Shoulder (Bahu ke Bahu) dan Presiden Men's Shed Maitland, John Hill mengatakan elemen praktikal amat penting dalam usaha membuka mata penduduk tempatan.
"Lelaki yang hadir ke sini kebanyakan tidak mempunyai keyakinan diri yang tinggi. Justeru, menjadi tanggungjawab kami untuk membina semula keyakinan mereka untuk meneruskan kehidupan.
"Akhirnya mereka sendiri akan sedar bahawa hidup ini perlu diteruskan dan bermakna. Mereka akan sedar dalammeniti usia emas mereka tidak perlu hanya duduk berdiam diri dan menanti waktu untuk meninggal dunia," jelas Hill.
Jerry Cassidy, seorang juruteknik telekomunikasi yang telah bersara, datang ke bangsal tersebut untuk mencari teman selepas kematian isteri selain anak-anak yang sudah dewasa meninggalkan rumah. Sejak itu, dia langsung tidak menoleh ke belakang lagi.
"Di sini, anda akan mula menggunakan tangan dan bekerja mengikut kehendak sendiri. Orang yang biasanya sangat pendiam dan jarang bergaul, apabila tiba di sini akan berubah menjadi sebaliknya.
"Mereka akan mula bekerja dan berkomunikasi dengan sesiapa yang ada. Lama-kelamaan, kami sudah seperti satu keluarga," katanya.
Ceramah kesihatan
Selain itu, pihak pengurusan turut menganjurkan seminar kesihatan termasuk ceramah mengenai kanser prostat, jantung, diabetes dan darah tinggi.
Malah, ada juga isu-isu sensitif yang jarang diperkatakan lelaki termasuk kepada isteri mereka dibincangkan secara terbuka bersama komuniti.
Semua perkara itu secara tidak langsung memberi kebaikan kepada mereka terutama dalam menjaga kesihatan diri.
"Kami pernah mempunyai beberapa orang ahli yang disangka akan mati sewaktu mula-mula tiba di sini, tetapi masih lagi hidup hingga sekarang. Doktor yang merawat mereka turut hairan dan berkata, 'saya tidak tahu apa yang terjadi kepada kamu, tetapi teruskan apa yang kamu lakukan sekarang'.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: