Thursday, November 3, 2011

Raja Perlis kurnia Pingat Jaya Cemerlang kepada empat mahasiswa USM


TUANKU Syed Sirajuddin Putra Jamalullail (tengah) bersama Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil gembira bersama penerima Pingat Jaya Cemerlang di Istana Arau, Perlis, semalam.


ARAU 2 Nov. - Raja Perlis, Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail hari ini berkenan menyampaikan Anugerah Pelajaran Diraja Majlis Raja-Raja (Pingat Jaya Cemerlang) kepada empat mahasiswa Universiti Sains Malaysia (USM) di Istana Arau di sini.

Baginda selaku Canselor USM menyampaikan anugerah tersebut kepada Mohammad Rahim Kamaluddin, T. Ramanathan, Karen Vou Kai Rou dan Nur Izzati Amir Hamzah, kesemuanya berusia 24 tahun.

Penganugerahan itu turut disaksikan oleh Raja Perempuan Perlis, Tuanku Fauziah Tengku Abdul Rashid; Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail dan Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Lailatul Shahreen Akashah Khalil.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Seri Dr. Md. Isa Sabu.

Penganugerahan tersebut diberikan sebagai menghargai kecemerlangan mereka dalam pengajian sehingga mengharumkan nama USM.

Sementara itu, Nur Izzati yang merupakan anak kedua daripada empat beradik dan berasal dari Pulau Pinang, menyifatkan doa dan sokongan ibu bapa dalam membantu menyediakan suasana pembelajaran kondusif sebagai faktor mendorong kejayaannya.

Menurut graduan Sains Gunaan Biologi itu, suasana selesa ketika belajar dan pengambilan makanan seimbang serta motivasi berterusan daripada ibu bapa menjadi pembakar semangatnya.

Seorang lagi pelajar, Mohammad Rahim yang menyambung pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Criminology, berpendapat, sikap gemar membantu rakan-rakan serta aktif dalam aktiviti kokurikulum banyak membantu dirinya untuk maju.

Antaranya, Mohammad Rahim pernah memegang jawatan Exco dalam Persatuan Sains Kesihatan dan Setiausaha Persatuan Kebudayaan India.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: