Wednesday, November 9, 2011

PERODUA semak unjuran jualan

pix_gal0
Syarikat sasar jualan 185,000 unit berikutan banjir di Thailand

PERUSAHAAN Otomobil Kedua Sdn Bhd (PERODUA) sekali lagi menyemak sasaran jualannya tahun ini kepada 185,000 unit daripada 190,000 unit sebelum ini berikutan gangguan rantaian bekalan komponen susulan banjir di Thailand.
Ia adalah semakan kali kedua dibuat pengeluar kenderaan nasional itu selepas gempa bumi dan tsunami di Jepun Mac lalu memaksanya mengurangkan sasaran jualannya kepada 190,000 unit berbanding sasaran awal 195,000 unit.
Pengarah Urusannya, Datuk Aminar Rashid Salleh, berkata kumpulan menjangkakan masalah banjir di Thailand itu akan menjejaskan aktiviti pengeluarannya susulan negara itu adalah antara pusat utama bekalan komponennya.

“Walaupun kesan banjir di Thailand kepada PERODUA tidaklah terlalu besar, namun ia mampu menjejaskan pengeluaran kami kerana ada beberapa komponen tertentu diimport dari negara itu.

“Berikutan itu, PERODUA menyemak sekali lagi sasaran jualannya tahun ini kepada 185,000 unit.

“Bagaimanapun, pencapaian sasaran berkenaan bergantung kepada kepantasan kumpulan mencari alternatif dalam menangani masalah itu,” katanya selepas penyampaian hadiah GP Joran di Kuala Lumpur, semalam.
Aminar berkata, PERODUA kini meninjau beberapa negara jiran lain, termasuk Indonesia dan Filipina bagi mencari sumber bekalan menggantikan komponen yang diimport dari Thailand.

“Bulan ini masih belum ada masalah dalam aktiviti pengeluaran kami, tetapi apa yang membimbangkan adalah pada Disember ini.

“Sebab itu, kami kini giat meninjau beberapa tempat lain bagi mencari opsyen terbaik menggantikan komponen dari Thailand, sekali gus dapat memastikan aktiviti pengeluaran berjalan dengan lancar dan dapat memenuhi tempahan yang dibuat pelanggan,” jelasnya.

Sementara itu, Aminar berkata, majoriti daripada jualan syarikat itu dijangkakan daripada Myvi, diikuti Viva dan Alza.

“Bagi tempoh 10 bulan pertama tahun ini, Myvi mencatatkan jualan 66,000 unit, manakala Viva 50,000 unit dan Alza 30,400 unit.

“Bersandarkan kepada prestasi ini, saya menjangkakan Myvi menyumbang 50 peratus kepada keseluruhan jualan tahun ini, diikuti Viva sebanyak 30 peratus dan Alza 20 peratus,” katanya sambil menambah meskipun Alza adalah penyumbang terkecil, namun model itu kini menguasai 29 peratus pasaran jualan kenderaan pelbagai guna di Malaysia.

Mengenai Myvi baru, Aminar berkata PERODUA menerima 54,000 unit tempahan sejak jualannya dibuka 4 Jun lalu dengan 34,000 unit sudah diserahkan kepada pelanggan.

Beliau berkata, daripada 54,000 unit itu, 42,000 unit adalah untuk varian 1.3 liter sementara baki 12,000 unit untuk 1.5 liter.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: