Wednesday, November 9, 2011

Bangkok terus bah sebulan lagi

  • Foto

    YINGLUCK mengagihkan bekalan makanan kepada mangsa banjir di daerah Laksi, Bangkok.

  • Foto

    SEORANG penduduk Bangkok menjual but getah dekat terusan Bang Sue ketika ibu kota Thailand terus dilanda banjir.

Angka korban banjir meningkat 527, Yingluck batal hasrat ke sidang APEC

BANGKOK: Banjir di Bangkok diramalkan berterusan sebulan lagi dan dilaporkan mula memasuki kawasan Soi Yothin Pattana 3 menuju kediaman Perdana Menteri, Yingluck Shinawatra berhampiran lebuh raya Ramintra-Ekkamai di daerah Lat Phrao.
Menteri Tenaga Thailand, Pichai Naripthaphan, berkata Bangkok berkemungkinan terus dibanjiri sehingga sebulan tetapi turut meramalkan paras air menurun pada pertengahan bulan depan.
Banjir itu juga memaksa Perdana Menteri Thailand, Yingluck Shinawatra membatalkan kehadiran dalam sidang Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) di Hawaii hujung minggu ini.

Pengumuman berkenaan dibuat ketika angka kematian daripada bencana sejak tiga bulan lalu meningkat kepada 527 orang dan banjir semakin menenggelamkan ibu negara Thailand.

Yingluck yang pertama kali berhadapan dengan krisis menguji kepimpinannya merancang untuk memberi taklimat ringkas kepada pemimpin APEC mengenai krisis berkenaan.

Tetapi, beliau membuat keputusan untuk menghantar timbalannya, Kittirat Na-Ranong yang juga Menteri Perdagangan ke APEC. Yingluck juga akan berbincang dengan Kabinetnya sama ada untuk menghadiri satu perhimpunan pemimpin Asia Tenggara di Bali, minggu depan.

Akhbar The Nation melaporkan, banjir yang kian buruk semalam memaksa lebih ramai penduduk Bangkok berpindah selain turut mengancam terputusnya laluan utama Rama II. Arahan berpindah terbaru dikeluarkan kepada penduduk di Bang Chan di daerah Klong Sam Wa, di Bangkok.

Sehingga kini arahan berpindah membabitkan 15 daripada 50 daerah di Bangkok. Banjir disifatkan amat serius di mana sekurang-kurangnya 12 daerah menyaksikan semua penduduk dinasihatkan meninggalkan kediaman. Bagaimanapun, tidak semua penduduk setuju berpindah.

Gabenor Bangkok, Sukhumbhand Paribatra berkata kira-kira 800,000 penduduk memilih untuk terus tinggal di kediaman mereka yang teruk dilanda banjir.

“Kami cuba membantu mereka dengan menghantar barangan bantuan,” katanya.

Sementara itu, Bangkok Post melaporkan, Pasukan Operasi Bantuan Banjir (FROC) menubuhkan sebuah panel bagi menyiasat dakwaan bahawa bekalan bantuan yang diperuntukkan kepada mangsa banjir terlalu mahal.

Jawatankuasa tujuh ahli dipengerusikan oleh setiausaha sementara perdagangan Yangyong Phuangrach dilantik oleh pengarah FROC, Pracha Promnok yang mahu keputusan diperoleh dalam masa tiga hari.

Siasatan adalah berikutan dakwaan luar biasa selepas aduan melalui media sosial dan parti pembangkang, Parti Demokrat mengenai harga terlalu tinggi bagi beg bantuan yang bernilai 800 baht (RM81) setiap satu.

Kebanyakan penduduk tidak percaya barangan yang kebanyakan adalah makanan dalam tin berharga terlalu tinggi. Beg bantuan bernilai 800 baht itu dikatakan sama kandungannya dengan beg bantuan yang dihasilkan sendiri FROC bernilai 300 baht (RM30) setiap satu.

Yingluck yang bimbang mengenai berita berkenaan berkata, sebarang perbuatan salah tidak sepatutnya berlaku ketika beribu-ribu rakyat Thailand menderita banjir.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: