Sunday, November 13, 2011

Perang gelombang frekuensi


PENYAMPAI Sinar FM yang dibarisi wajah-wajah otai antara pemangkin kepada kekuatan stesen itu sebagai radio nombor satu.


SEKALI lagi diumumkan sebagai stesen radio nombor satu dengan jumlah mencecah 4.2 juta pendengar, pasukan Sinar FM selayaknya berbangga dengan pencapaian itu.

Senarai Pengukuran Pendengar Radio Nielsen yang diumumkan baru-baru ini menjelaskan, radio Hot FM dengan 3.6 juta pendengar berada di tempat kedua manakala Era FM berada di tangga ketiga dengan 3.55 pendengar keseluruhan.

Tidak mengenepikan stesen-stesen radio swasta lain serta puluhan radio bawah kendalian Radio Televisyen Malaysia (RTM), perlumbaan dunia radio di tanah air sangat kompetitif. Namun di sebalik persaingan menguasai gelombang frekuensi itu, impak paling ketara ialah naik-turun cita rasa serta pengkaryaan bahan muzik industri seni suara tempatan.

Pada satu sisi yang lain, dominasi Sinar FM yang menggunakan tagline Muzik Retro Terbaik itu dilihat sebagai petanda bahawa karya muzik generasi baharu kurang mendapat penerimaan pendengar. Tiga orang kuat radio, Rostam, Adifashla dan Seelan berbicara santai mengenai perkara itu.

Melihat kedudukan stesen radio anda, bagaimana keselesaan dan apa strategi yang dirancang pada masa hadapan?

SEELAN PAUL (S): Tidak akan ada sesiapa yang selesa. Di stesen Hot FM, kita merasakan ini ialah pertempuran di udara untuk setiap hari. Malah sebenarnya kita tidak pernah selesa dengan apa sahaja kedudukan yang diterima. Setiap hari kami bertempur. Apa yang penting ialah pengisian muzik, kandungan atau intipati yang cuba disampaikan. Bukan sahaja di radio. Saluran Internet dan kempen di luar juga penting. Pelbagai cara kami guna untuk mendekati pendengar.

ADIFASHLA (A): Perlu kerja lebih keras dan beri yang terbaik. Pendengar dijadikan meter atau panduan untuk radio kami. Radio Era memang banyak program yang melibatkan pendengar. Kami cuba rapat dengan pendengar dan didik mereka dengar Era bukan sebab hadiah. Contohnya baru-baru ini kami jadikan 11 pendengar sebagai deejay sempena tarikh 11 November.

ROSTAM (R): Itu semua berbalik kepada kitaran dalam trend pendengar kita. Kalau kedudukan itu tidak dijaga sekejap sahaja ia boleh berubah. Jadi kita tidak leka dan harus sentiasa ada kajian terhadap perubahan siapa pendengar kita dalam satu-satu masa.

Adakah mungkin lagu-lagu sekarang gagal menarik pendengar hingga membuatkan Sinar FM diikuti hampir dua peratus rakyat Malaysia?

S: Saya kurang pasti tentang itu tetapi untuk Hot FM yang mempunyai sasaran pendengar bawah umur 35 tahun, kita masih nombor satu dalam segmen itu. Saya rasa lagu yang kami putarkan sesuai dengan pasaran.

R: Radio retro menduduki tangga pertama, itu sudah menyampaikan satu pernyataan. Kalau di pasaran luar, tidak ada radio stesen retro mendapat tempat pertama. Mungkin sekarang trend pendengar suka dengar lagu-lagu lama. Mungkin juga industri muzik dengan lagu-lagu baharu sukar menangkap selera pendengar. Melihat satu sisi lain, ada peningkatan lagu baharu berbahasa Inggeris dan menunjukkan bahawa lagu baharu Inggeris lebih menarik. Orang Malaysia juga sebenarnya adalah golongan yang gemarkan elemen nostalgia. Pasaran kita lain daripada orang lain.


AZNIL HAJI NAWAWI bersama team Pagi@Era dalam satu pertemuan bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad.


Pendapat kalian tentang lagu-lagu sekarang?

S: Lagu-lagu kini banyak perubahan, ikut trend semasa dan ada evolusi. Malah saya melihat artis atau pengkarya baharu meletakkan usaha yang lebih dan jitu terhadap kerja atau naskhah mereka.

R: Mungkin lagu-lagu baharu ini tidak cukup kuat untuk menarik minat pendengar. Tidak seperti pada awal tahun 2000 di mana lagu-lagu baharu mendapat perhatian.

Pandangan kalian tentang persaingan sengit radio untuk menarik perhatian pendengar.

S: Saya melihat ini satu persaingan yang sihat. Ini bukan pertempuran seketika tetapi sebenarnya setiap hari. Antara radio, kami bekerjasama. Radio sebahagian daripada industri dan kita semua memang cuba buat yang terbaik.

A: Saya rasa persaingan itu okey. Malah di Era kami perlu bekerja dengan lebih keras, tidak ambil cuti untuk fokus kepada kerja, raya pun kena kerja. Lihat sahaja Aznil yang bekerja keras. Dia idola kami di Era.

R: Persaingan radio sangat menarik. Kita memberi pilihan kepada pendengar dalam bersaing sesama sendiri. Perlu ada identiti dan berkembang. Juga penting untuk sentiasa bersedia.

Kesan iklan terhadap pendengar?

S: Iklan yang bagus dengan skrip yang baik akan menarik minat pendengar. Semua medium pun sama, bukan hanya di radio. Ini semua bergantung kepada kualiti sesebuah iklan itu. Iklan juga kandungan kepada sesebuah radio.

A: Pendengar kini tidak bising berbanding dahulu walaupun iklan banyak dalam radio.

R: Iklan juga macam lagu, kalau mantap orang akan dengar. Perlu ikut konsep radio.

Adakah deejay masa kini mempunyai daya kreativiti yang bagus dan bagaimana kalian melihat evolusi penyampaian deejay?

S: Personaliti deejay tidak perlu berubah tetapi pengisian penyampaian itu kena berubah. Perlu ikut pasaran, kaji selidik dan perlu sentiasa relevan. Dahulu memang deejay perlu ada 'suara' tetapi untuk sekarang lebih kepada bakat. Dengan adanya laman web dan televisyen Internet, saya rasa pendengar yang melihat deejay ke udara lebih mementingkan bakat berbanding suara.

A: Untuk kami, setiap hari ada rancangan persediaan dan perlu mengulang kaji intipati yang mahu dikeluarkan atau diperkatakan nanti. Daripada segi kreativiti, kita berlawan sesama sendiri dengan cara yang sihat. Malah kadang kala kami melakukan 'air-check' untuk mengelak kami menjadi syok sendiri di radio.

R: Pengetahuan deejay sekarang perlu banyak sebab banyak akses yang boleh mereka dapat untuk segala informasi. Walaupun pangkalan data muzik Melayu mempunyai had tetapi mereka perlu tahu. Tidak ada alasan untuk tidak berpengetahuan. Trend sekarang, suara bukan segalanya.


SELAIN muzik, stesen radio harus kreatif dalam setiap slot bersama penyampai.


Sejauh mana telusnya rating yang dikeluarkan oleh agensi?

S: Memang kena percaya kerana ia dilakukan secara meluas di peringkat dunia. Perlu percaya masa jatuh dan masa naik rating sesebuah radio. Stesen radio perlu percaya dengan satu jenis pemeriksaan atau pengukuran yang dijalankan.

R: Agensi tersebut mempunyai kredibiliti.

A: Rating adalah seperti sebuah peperiksaan. Setahun ada dua kali kaji selidik dan seperti kata Rostam, memang mengujakan. Memberi motivasi untuk bekerja dengan lebih kuat.

Ada suara mendakwa penyanyi baharu sukar tembusi radio swasta. Terangkan bagaimana pemilihan dijalankan?

S: Pendengar ialah pengawal kualiti kami. Hot FM memberi peluang kepada lagu-lagu tempatan dan pengkarya baharu melalui segmen-segmen yang disediakan. Contohnya untuk lagu baru, kami ada segmen Kita Punya. Malah kita juga ada acara-acara secara langsung dengan pengkarya seperti membawa mereka bertemu syarikat rakaman serta mengadakan bengkel. Ini jenis sumbangan yang diberikan oleh pihak radio.

A: Konsep kami adalah memainkan lagu-lagu terkini. Tetapi kami juga memainkan lagu-lagu baru pada pukul 12 tengah malam hingga 6 pagi. Bukannya tidak ada ruang cuma dilebihkan kepada lagu-lagu terkini. Kami sebagai deejay tidak boleh sesuka hati menyiarkan lagu baharu kerana ini semua kerja eksekutif muzik.

Radio dianggap mencorak muzik atau trend semasa. Sejauh mana kebenarannya?

S: Saya merasakan bahawa radio adalah pemangkin untuk trend tetapi bukan perintis. Kita bagi platform atau punca untuk sesebuah lagu menjadi kuat dan diterima, tetapi ada masanya, radio yang memulakan trend muzik semasa. Trend boleh bermula daripada mana-mana medium. Kena peka dan cepat tangkap dengan trend yang bergerak.

A: Ada betulnya. Contohnya Era memainkan lagu Najwa Latiff yang bertajuk Cinta Muka Buku secara berulang-ulang dan kini menjadi salah satu lagu trend. Kita terpaksa bersaing dengan laman Facebook, YouTube dan radio-radio lain. Kita perlu pantau selera pendengar dan radio merupakan media yang paling berpengaruh buat khalayak.

R: Pernyataan itu benar untuk radio lagu Melayu. Memang dari dulu begitu, maka, berlakunya kebanjiran lagu-lagu klon. Contohnya ada zaman trend lagu-lagu Indonesia atau pun grup indie, itu adalah satu trend. Tetapi trend muzik juga boleh menjadi bersifat bermusim.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: