ABIR bersama suami dan dua anak lelakinya bangkit daripada lena pada musim sejuk yang julung-julung kali dirasainya sejak menjadi pelarian Syria di Lebanon. Lokasi yang didiami keluarga malang itu dikenali sebagai Wadi Khaled iaitu sebuah kawasan pergunungan berdekatan dengan sempadan utara Syria.
Wanita itu kemudiannya mengunci pintu belakang. Dia segera menanggalkan hijabnya yang berwarna hitam dan duduk bersama dua anaknya di atas tilam empuk. Hidup sebagai pelarian membuatkan keluarga ini hanya mampu berkongsi satu bilik kepunyaan sebuah sekolah terbiar yang terletak di sebuah perkampungan di Mashta Hammoud. Lokasi itu mempunyai pemandangan semula jadi yang cukup indah.
"Percayakah kamu bahawa saya tidak mampu membelikan baju tebal untuk anak-anak saya? Semua pelarian di sekolah ini bersedia dan hanya memikirkan tentang musim sejuk yang bakal tiba. Namun, saya sebenarnya memikirkan tentang nasib kami yang masih belum boleh pulang, sedangkan musim sejuk makin tiba," kata wanita yang berusia 29 tahun itu memulakan perbualan.
Abir sedikit pun tidak menoleh ke arah wartawan ketika berbicara. Sebaliknya, dia sibuk menyalakan penunu bunsen untuk mendidihkan kentang untuk kedua-dua anaknya yang berusia empat dan dua tahun.
Sejak rejim Presiden Bashar al-Assad melancarkan tindakan keras ke atas penentang prodemokrasi pada bulan Mac lalu, lebih 3,580 penduduk Syria mendaftar sebagai pelarian dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UN) di utara Lebanon.
Ketinggalan pelajaran
Dalam pada itu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Orang Pelarian (UNHCR) menjangkakan 900 orang daripada jumlah pelarian itu adalah mereka yang berumur di antara empat hingga 17 tahun yang masih memerlukan pendidikan di sekolah.
"Melihat keadaan itu, Menteri Pendidikan Lebanon bersetuju untuk membenarkan kanak-kanak Syria ini berdaftar di sekolah-sekolah awam dan UNHCR akan membayar yuran tuisyen mereka," kata Jean Paul Cavalieri, wakil pembantu UNHCR di Lebanon.
Namun, kepada para pelarian ini, masalah yang mereka hadapi lebih sukar daripada segala yang tercatat di paparan kertas.
Salah seorang daripadanya yang hanya mahu dikenali sebagai Nazha berkata, dia agak gementar kalau-kalau anak lelaki dan dua anak perempuannya akan berdepan dengan masalah diskriminasi di sekolah.
Paling menakutkan Nazha ialah kemugkinan anak kesayangannya akan diculik oleh penguatkuasa Syria di Lebanon.
"Saya takut kepada mereka tidak kira pangkat, jadi saya tidak menghantar anak-anak ke sekolah," kata wanita yang berusia 35 tahun itu. Anak lelaki Nazha sepatutnya sudah memulakan persekolahan sejak beberapa bulan lalu.
Seperti pelarian-pelarian lain, Nazha sangat yakin bahawa rejim Assad mempunyai proksi yang kuat di Lebanon. Itu semua ekoran kerajaan negara itu didominasi oleh kumpulan militan Syria dan disokong Iran Hezbollah.
"Saya gerun setiap kali suami pergi ke luar untuk bersiar-siar. Saya sentiasa takut rejim (Syria) atau sekutunya menemui dia," kata Abir.
Sekurang-kurangnya 600 rakyat Syria memasuki Lebanon secara persendirian di antara 1 hingga 7 September lalu. Namun lebih ramai yang tersekat di sempadan.
"Kita mempunyai laporan-laporan keselamatan yang menyatakan beberapa bahagian Syria telah mengetatkan kawalan dan ada banyak yang mencuba untuk memasuki sempadan tetapi tidak berjaya," kata Jean Paul.
Kebanyakan pelarian yang berjaya merentas masuk datang dari Heet, Tal Kalakh dan Homs dikesan melalui sempadan haram. Mereka terlebih dulu merentas melalui tanah berbatu-batan sepanjang Sungai Kabir, tambahnya lagi.
Bunyi tembakan
Sejak kebelakangan ini, beribu-ribu pelarian telah menggunakan laluan itu dan seringkali pendengaran mereka dijamu dengan bunyi tembakan di setiap penjuru.
Cerita pelarian ini amat memilukan. Ada antara pelarian hanya mampu membawa bekalan asas namun tidak kurang juga 'berjuang' dengan sehelai sepinggang.
Kebanyakan pelarian mendapatkan perlindungan daripada saudara-mara mereka di Lebanon.
Kepada Abir, segalanya dilakukan secara bersendirian. Dia memohon bantuan daripada PBB atau daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) di negara tersebut.
Di Sekolah Mashta Hammoud, majoriti kanak-kanak tidak mandi selama beberapa hari dan berkaki ayam.
Kanak-kanak ini akan diberi beberapa permainan untuk mengisi masa lapang mereka. Ada yang melukis peta bandar-bandar di Syria atas kertas kadbod. Mereka juga memiliki perasaan yang aneh. Apabila kedengaran batu jatuh, mereka memikirkan peperangan akan meletus. Peperangan membawa maksud, akan ada kematian.
PBB menganggarkan lebih 2,700 rakyat Syria telah dibunuh sejak pertengahan Mac lalu iaitu ketika bantahan meletus. Kebanyakannya adalah orang awam.
Beberapa pelarian yang ditemuramah berkata, mereka cukup takut sekiranya konflik itu akan meleret-leret untuk satu jangka masa yang panjang. Ia akan menjadi lebih parah, jika kuasa Barat tidak campur tangan dengan memaksa Assad keluar.
Kepada Abir, meninggalkan ibu bapanya dan tinggal di rumah yang mempunyai dua bilik tidur di Tal Kalakh ialah satu-satunya pilihan terbaik selepas adik- beradik lelakinya yang juga kembar seiras lesap dalam satu bantahan tiga bulan lalu.
Salah seorang daripada kembar berkenaan cedera dan retak tulang belakang, tapi umurnya masih panjang. Seorang lagi dijumpai di bilik mayat hospital tempatan dan telah dikebumikan dalam masa 24 jam sebelum Abir melarikan diri ke Lebanon.
"Anak saya ketakutuan. Anak saya yang tua cepat berpeluh hingga katilnya basah. Mereka akan menjerit dan bersembunyi dalam bilik apabila mendengar bunyi tembakan.
"Dunia perlu tahu bahawa rakyat Syria mahu melepaskan diri daripada terus terkandas dalam peperangan," kata Abir yang menahan air mata dan dengan bangga menunjukkan gambar adik- beradik lelakinya yang disimpan dalam telefon bimbit.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: