|
TERATAK tiga tingkat milik ibu kepada tiga cahaya mata, Aliza Abu Bakar, 38, pada malam itu riuh rendah dan sesak dengan tetamu yang tidak putus-putus hadir bagi meraikan kehadiran ahli keluarga baharu Aliza.
Beberapa khemah didirikan di pekarangan rumah memuatkan deretan juadah makanan bagi menjamu tetamu yang hadir memeriahkan majlis cukur jambul dan akikah putera ketiga Aliza, Ajwad yang selamat dilahirkan pertengahan Ogos lalu.
Orang luar yang sekadar lalu lalang di situ pasti akan menyangka majlis tersebut merupakan majlis pertunangan kerana dekorasi dan persediaan bagi menyambut kelahiran Ajwad dilaksanakan penuh meriah.
"Alhamdulillah, ini merupakan rezeki Allah buat saya sekeluarga, sebelum ini saya tidak pernah membuat majlis sebegini untuk anak-anak terdahulu, jadi oleh kerana pertama kali mengadakan majlis cukur jambul, saya mahukan ia istimewa," tutur usahawan wanita itu ketika ditemui di majlis tersebut di Taman Melawati, Ulu Kelang, Selangor.
Seperti majlis cukur jambul lain, majlis buat Ajwad turut merangkumi marhaban, selawat ke atas nabi dan doa kesyukuran. Namun, istimewanya ia turut diselitkan dengan bacaan berzanji oleh beberapa orang tokoh agama tempatan.
|
|
Sambil tetamu meneruskan selawat, Ajwad didukung mengelilingi tetamu yang ada bagi memberi peluang buat mereka menggunting beberapa helai rambut bayi itu sebelum amalan tahnik (belah mulut) di mana sedikit madu diletakkan di lelangit Ajwad.
Kesemua upacara itu kelihatan klise dan bukan lagi asing dalam konteks budaya Melayu melibatkan cukur jambul, namun jelaskah kita akan makna serta tujuan perkara-perkara itu diadakan?
Mengikut kefahaman Aliza, majlis cukur jambul bertujuan menzahirkan kesyukuran kepada Allah atas cahaya mata yang dikurniakan dan pada masa yang sama berkongsi rasa gembira itu bersama-sama orang ramai.
"Ia sebenarnya terpulang kepada individu, tetapi bagi saya apa sahaja tujuannya, ia mestilah dilaksanakan dengan hati ikhlas kerana anak merupakan anugerah Tuhan.
"Akikah contohnya, ada orang mendermakan daging tersebut kepada fakir miskin dan ada juga yang menjamu tetamu yang hadir ke majlis akikah tersebut, jadi ia sebenarnya tidak banyak beza," jelas Aliza.
Tradisi biasa Melayu
Pelakon dan juga ibu kepada seorang anak, Sari Yanti Mohamad Nazari, 27, juga berkongsi pandangannya terhadap majlis cukur jambul berdasarkan pengalamannya menjalankan majlis sebegitu Oktober tahun lalu.
Walaupun kini dia sedang sarat mengandung anak kedua, majlis buat putera sulungnya, Barr Al Aliy, 1, yang diadakan di Restoran Tajine, Kuala Lumpur masih segar dalam ingatan.
Sama seperti Aliza, Sari turut mengisi majlis cukur jambul tersebut dengan marhaban serta bacaan berzanji, cuma dia turut mendapatkan khidmat pemain gendang bagi menyesuaikan tema Arab buat majlis tersebut.
"Pada saya, cukur jambul merupakan tradisi biasa orang Melayu dan bertujuan memperkenalkan anak yang baru lahir kepada keluarga dan saudara-mara.
"Selain itu, ia juga merupakan pendekatan kita untuk memanjatkan rasa syukur dan terima kasih kepada Allah kerana anugerah yang diberikan," ujar Sari.
Bagi upacara akikah pula, Sari hanya mengupah orang bagi melaksanakannya dengan menyedekahkan sembelihan dua ekor kambing itu kepada golongan yang memerlukan.
Namun, di sebalik kefahaman itu semua, wujud pengetahuan tentang cukur jambul dan akikah yang perlu diketahui semua orang terutama masyarakat Melayu yang beragama Islam.
Jangan terkejut jika dikatakan rata-rata orang hanya menyifatkan cukur jambul sebagai adat Melayu yang dicipta sendiri penduduk nusantara dan tidak dipraktikkan Rasulullah SAW.
Seorang pendakwah, Muhamad Riduan Zainal Abidin, 29, mendedahkan bahawa upacara cukur jambul sebenarnya telah diriwayatkan dalam hadis riwayat Muslim. Rasulullah sendiri menyarankan agar bayi yang baru dilahirkan dicukur kepalanya.
Memandangkan nabi sendiri menggalakkan perkara itu, maka secara tidak langsung ia terletak sebagai sunnah yang wajar diikuti. Bagaimanapun, berdasarkan hadis tersebut, bayi tersebut perlu dicukur kepalanya pada hari ketujuh selepas kelahiran.
Cukur kepala
"Dahulu, cukur jambul dipanggil cukur kepala kerana bayi tersebut perlu dicukur habis rambutnya.
"Namun, kini masyarakat akan menggunting sedikit sahaja sebelum ibu bapa bayi tersebut mencukur habis rambut anaknya pada kemudian hari.
"Menurut hadis, rambut bayi yang dicukur itu perlu ditimbang dan berat rambut tersebut perlu dinisbahkan dengan emas dan nilai tersebut kemudiannya disedekahkan kepada fakir miskin," terang Riduan.
Setelah jelas bahawa cukur jambul merupakan sunah nabi, timbul pula persoalan apakah rasional di sebalik upacara tersebut, apakah hikmah yang diperoleh individu yang melaksanakannya?
Tambah Riduan, cukur jambul sebenarnya bertujuan membuang rambut bayi yang baharu lahir itu kerana mengandungi kotoran yang tidak sihat bagi tumbesaran bayi.
"Selama sembilan bulan bayi tersebut berada di dalam perut ibunya, tempoh tersebut sudah tentu membuatkan rambut bayi tersebut bercampur dengan pelbagai bahan asing.
"Menerusi cukur jambul, ia dapat membersihkan kekotoran tersebut dan hikmahnya sudah tentulah memperoleh keberkatan dan bayi tersebut membesar dengan sihat," tutur Riduan yang turut mengatakan bahawa cukur jambul dahulu hanya dilaksanakan ibu bapa bayi tersebut sahaja tanpa sebarang majlis.
Menyentuh konsep cukur jambul hari ini, Riduan menyatakan tiada salahnya majlis besar-besaran diadakan asalkan perkara asas serta niat melakukannya betul.
Kekeliruan yang timbul berhubung status cukur jambul hingga ada yang menyatakan ia sekadar budaya. Akui Riduan, ia mungkin disebabkan beberapa pengisian upacara dalam majlis cukur jambul hari ini lebih kepada adat Melayu.
|
|
"Pada asalnya, cukur jambul tidak memerlukan marhaban dan bacaan berzanji, tetapi ia diadakan di negara kita untuk memeriahkan majlis.
"Ia tidak salah tetapi jangan menganggapnya sebagai perkara bidaah hanya kerana ia tidak dilakukan nabi kerana sebenarnya budaya dan sunnah itu telah bergabung membentuk ibadah," jelasnya lagi.
Keberkatan akikah
Akikah pula yang sememangnya diketahui umum merupakan sunat muakad yang bertujuan mendapatkan keberkatan hidup daripada Allah juga sering kali dilakukan serentak bersama majlis cukur jambul.
Ia juga dituntut nabi agar dibuat pada hari ketujuh selepas kelahiran bayi, kata Riduan. Daging akikah tersebut akan dinisbahkan seperti mas kahwin dan seperti biasa ia perlu disedekahkan kepada fakir miskin.
Dua ekor kambing afdal bagi bayi lelaki dan seekor kambing bagi bayi perempuan perlu disembelih mengikut hukum Islam bagi upacara akikah. Bagaimanapun terdapat pendapat mengatakan bahawa daging akikah itu tidak boleh dimakan ahli keluarga bayi tersebut.
"Ada orang ingat makan daging akikah keluarga sendiri haram sedangkan tiada hukum yang menyatakan tentang perkara itu.
"Tiada salahnya untuk ahli keluarga atau pun individu yang melakukan akikah itu sendiri untuk menjamah daging tersebut tetapi sewajarnya ia diagihkan kepada orang ramai," ujar Riduan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: