Wednesday, November 16, 2011

Malcon bantu tingkatkan kualiti air di Bamyan


sistem yang dibekalkan oleh Malcon Isaf 2 mampu menghasilkan air bersih lima liter seminit.


SEPANJANG tempoh enam bulan kontinjen kedua Operasi Interim Sokongan dan Bantuan Nasional ke Afghanistan (Malcon Isaf 2) berada di wilayah Bamyan, Afghanistan, pelbagai projek kemanusiaan telah dilaksanakan yang merangkumi aspek kesihatan dan juga pendidikan.

Bagaimanapun, projek yang paling memberi kesan kepada penduduk di wilayah berkenaan ialah projek kawalan kualiti air.

Malcon Isaf 2 yang berada di negara bergolak itu sejak 26 April lalu mula mengesan masalah yang dihadapi oleh penduduk di wilayah Bamyan apabila mereka mudah diserang penyakit.

Hasil kajian serta pemerhatian anggota kontinjen berkenaan mendapati puncanya adalah bekalan air yang tidak bersih yang digunakan oleh penduduk di wilayah tersebut untuk aktiviti seharian mereka.

Sumber air tidak bersih itu telah menyebabkan penduduknya mudah dijangkiti kuman dan menyebabkan penyakit mudah menyerang.

Atas rasa tanggungjawab sebagai kontinjen yang memikul tugas melaksanakan misi kemanusiaan di kawasan berkenaan, Malcon Isaf 2 telah melaksanakan projek kawalan kualiti air yang merupakan inisiatif kontinjen itu sendiri.

Pakar Kesihatan Awam Malcon Isaf 2, Dr. Arshil Moideen berkata, menerusi projek berkenaan, kontinjen Malcon Isaf 2 pada awalnya telah membina empat prototaip sistem penapisan air yang mengunakan 100 peratus barangan tempatan seperti tong dan arang yang sangat murah.

Katanya, sebelum mengaplikasikan sistem berkenaan dalam kehidupan penduduk di wilayah Bamyan, kajian secara terperinci telah dilaksanakan oleh pihaknya bagi memastikan sumber air yang bakal digunakan nanti benar-benar bersih.

"Kami menjalankan kajian secara terperinci dan membina empat prototaip sistem penapisan ini pada peringkat awal untuk menguji sejauh mana keberkesanannya menapis air dan menghasilkan sumber air bersih untuk kegunaan harian.

"Ternyata usaha kami tidak sia-sia apabila sistem penapisan yang dibina menggunakan barangan tempatan yang murah mampu memproses air yang mulanya tidak bersih menjadi air bersih serta berkualiti.

"Apa yang lebih membanggakan kami ialah sistem berkenaan mampu memproses air bersih dengan kadar yang cepat iaitu sekitar lima liter seminit berbanding sistem yang diguna pakai di peringkat antarabangsa iaitu 1.5 liter seminit, ini merupakan kejayaan terbesar Malcon Isaf 2.

"Kosnya pula sangat rendah. Kami hanya menggunakan barangan tempatan seperti tong air, arang dan juga menggali pasir untuk mendapatkan sumber air sebelum ia diproses menjadi bersih. Sistem tersebut bukan sahaja murah, malah ia juga mudah untuk dibina sendiri oleh penduduk tempatan," katanya ketika ditemui pada majlis menyambut kepulangan kontijen Malcon Isaf 2 di Pangkalan Udara Subang baru-baru ini.

Menurut Arshil, setakat ini sebanyak 20 sistem penapisan air itu telah dibina oleh pihaknya sebelum pulang ke tanah air dan 10 daripadanya telah dipasangkan di sekolah-sekolah di wilayah berkenaan bagi memudahkan penduduk mendapatkan bekalan air bersih.

"Kami telah mengajar penduduk kaedah untuk membina sistem berkenaan dan kami berharap mereka akan mengaplikasikannya. Kini tugas meluaskan pemasangan sistem berkenaan di wilayah tersebut dipikul pula oleh Malcon Isaf 3 yang menggantikan kami.

"Kami sangat berharap projek ini berjaya mengubah keadaan penduduk di wilayah tersebut. Semasa kami tiba di wilayah itu dahulu, kami terkejut melihat sumber bekalan air yang digunakan penduduk tidak bersih. Mereka sebelum ini banyak bergantung kepada sumber air perigi walaupun airnya tidak bersih.

"Malah ada juga kanak-kanak menggunakan air parit sebagai air minuman. Ini tidak boleh dibiarkan berterusan kerana khuatir akan memudaratkan kesihatan mereka. Jadi, kami sangat berharap projek ini akan berjaya dan mengubah kehidupan penduduk di sana," jelasnya.

Sementara itu, Arshil berkata, kontinjen Malcon Isaf 2 yang terdiri daripada 40 anggota itu juga berjaya menghalang penularan bakteria Brucellosis yang telah menyebabkan beberapa kematian di kawasan berkenaan.

Katanya, bakteria yang dijangkiti daripada haiwan peliharaan itu mudah merebak kepada manusia sekiranya persekitaran yang didiami kotor.

"Seperti yang dinyatakan sebelum ini, penduduk di wilayah Bamyan miskin, jadi mereka hidup dalam persekitaran yang tidak bersih menyebabkan bakteria berbahaya seperti Brucellosis mudah merebak kepada mereka daripada haiwan peliharaan seperti lembu.

"Ketika kami tiba di sana, kami mendapati bakteria itu telah menyebabkan tiga kematian dan 687 jangkitan terhadap penduduk. Jadi, kami perlu mengambil tindakan segera bagi menghentikan penularan wabak bakteria itu.

"Kecekapan pasukan perubatan yang segera menjalankan pemeriksaan kesihatan dan memberi bantuan perubatan kepada penduduk di sana menyebabkan bakteria itu berjaya dikawal. Selain itu, 30,000 haiwan peliharaan penduduk juga telah divaksin untuk mengelakkan penyebaran bakteria berbahaya itu," ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: