Wednesday, November 16, 2011

Kenangan manis untuk karyawan senior


SHILA Amzah dan Jaclyn Victor yang ternyata teruja dengan kemenangan mereka.


MALAM Anugerah Industri Muzik Ke-18 (AIM 18) bukan hanya menyaksikan kecemerlangan Datuk Sheila Majid tetapi juga ‘kebangkitan’ penyanyi lelaki tersohor negara, Anuar Zain.

Meskipun pada awalnya Anuar dikhabarkan tidak dapat menghadiri acara tersebut kerana terlibat dengan persembahan di Kuching, Sarawak, namun kehadiran Anuar pada malam itu memberikan signifikan tersendiri.

Seperti mana yang diramal ramai pihak, Anuar menang mudah bagi kategori Persembahan Vokal Lelaki Terbaik Di Dalam Lagu menerusi karya Edry Abdul Halim, Sedetik Lebih.

Apatah lagi, nama Anuar sudah lama tidak tercalon dalam AIM selepas kali terakhir memenangi kategori itu pada tahun 2003.

Bertemu dengan Anuar selepas majlis berakhir, penyanyi lelaki pujaan ramai itu menyifatkan kemenangannya itu sebagai kejayaan manis untuknya.

Apatah lagi baginya, lagu Sedetik Lebih bukanlah sebuah karya yang mudah untuk dinyanyikannya lantaran ia merupakan lagu yang begitu kompleks.

“Sedetik Lebih merupakan sebuah lagu yang cukup indah dan secara peribadi, saya juga menggemarinya. Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada saya malam ini walaupun perlu bersaing dengan bakat-bakat muda.

“Bagi saya, setiap calon yang bertanding dalam kategori Persembahan Vokal Lelaki Terbaik memiliki keistimewaan dan kelebihan tersendiri.

“Malah, saya juga cukup kagum dengan bakat yang dimiliki oleh mereka yang berjaya menonjolkan identiti serta gaya persembahan masing-masing,” jelas Anuar yang baru muncul dengan album terbaharunya, Anuar Zain yang memuatkan lagu popular masa kini, Cinta Harus Memiliki.

Mengulas tentang kejayaan lagu Sedetik Lebih yang memenangi kategori Lagu Pop Terbaik pula, Anuar menyifatkan ia adalah kejayaan bersama dengan Edry serta abang-abangnya, Norman dan Yusry.

Selain Anuar, komposer terkenal, Johan Nawawi juga menarik perhatian ramai apabila buat permata kalinya memenangi kategori Lagu Nasyid Terbaik bagi lagu Pedoman nyanyian isterinya, Nora bersama V.O.U.

Begitu juga dengan penyanyi versatil, Adibah Noor yang diiktiraf dengan trofi Lagu Pop Etnik Terbaik bagi lagu Joget Tak Senang Hati ciptaan Mohariz Yaakup dan Azalea.

Malam AIM 18 juga mencatatkan momen paling indah buat bekas orang kuat EMI, Beh Suat Pheng, 68, yang menerima pengiktirafan untuk Anugerah Sri Wirama.

Sesungguhnya pengiktirafan yang diberikan kepada Suat Pheng atau lebih dikenali sebagai Mrs. Beh di kalangan artis dan pihak media adalah bertepatan sekali.

Sumbangannya dalam industri selama hampir empat dekad memartabatkan industri muzik tempatan menerusi karya yang dihasilkan oleh artis naungan EMI Malaysia sepanjang dia mentadbir syarikat rakaman ternama itu.

Antaranya Allahyarham Puan Sri Saloma, Uji Rashid, Datuk D.J. Dave, M. Sani, Datuk Sharifah Aini, Ella, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad, Anita Sarawak, KRU dan ramai lagi.

“Saya tertanya juga mengapa begitu lama baru saya diberikan dengan pengiktirafan ini (ketawa). Apa pun saya benar-benar terharu dengan pengiktirafan ini dan terima kasih kerana memilih saya sebagai penerima kali ini,” seloroh Mrs. Beh sewaktu ditemui selepas acara berakhir.

Sebagai orang lama yang banyak menggerakkan industri sehingga pernah mengecapi zaman kegemilangan, Mrs. Beh tidak menafikan evolusi muzik sangat ketara hari ini.

Malah, dia sendiri sudah menjangkakan industri muzik bakal berdepan dengan perubahan drastik yang benar-benar merubah senario pasaran muzik dunia.

Semuanya itu kata Mrs. Beh, dapat dilihat sendiri berdasarkan pengalamannya menerusi evolusi muzik dari piring hitam, catridge, kaset, cakera padat sehinggalah ke proses muat turun seperti mana hari ini.

“Biar orang berkata muzik akan berkubur tetapi bagi saya ia akan tetap hidup. Apa yang berubah hanyalah perkembangan teknologi dan cara untuk menikmati muzik hari ini yang sudah jauh berbeza,” ujar Mrs. Beh yang pernah diberi jolokan Iron Lady industri muzik tempatan ini optimis.

Perubahan ‘baru’ AIM

SESUATU yang pelik terjadi pada malam itu sewaktu lagu Penakut diumumkan sebagai pemenang untuk Lagu Terbaik.

Mana tidaknya. Sewaktu Datuk M. Nasir mengumumkan nama pemenang, tiada visual calon-calon lain yang bertanding untuk kategori itu.

Walhal pada tahun-tahun sebelumnya, pemilihan calon Lagu Terbaik adalah daripada rangkuman pemenang lagu-lagu terbaik mengikut genre.

Tiba-tiba tahun ini, nama pemenang terus diumumkan sekali gus menimbulkan tanda tanya kepada semua pihak.

Sewaktu sidang akhbar soalan itu diajukan kepada Pengerusi Bersama Jawatankuasa Penganjur AIM 18, Rosmin Hashim yang memberitahu keputusan itu dibuat adalah sebagai pembaharuan untuk tahun ini.

“Bermula tahun ini, pemenang Lagu Terbaik dipilih daripada semua lagu yang layak bertanding. Tiada lagi mengikut genre muzik seperti mana lazimnya.

“Penjurian juga dilakukan berasingan dan mana-mana lagu yang bertanding berpeluang memenangi kategori Lagu Terbaik tanpa perlu mengambil kira lagu yang telah memenangi kategori genre.

“Dalam pada itu, RIM yang kali pertama menganjurkan AIM tahun ini menyifatkan ini adalah AIM yang terbaik. Kami cukup berpuas hati dengan kelancaran majlis dan keseluruhannya,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: