Friday, November 18, 2011

Hero Parit Jawa

Eman Manan
Eman Manan
Kualiti pelakon bergantung kepada naskhah skrip dan kerja pengarah

WAJAH yang serius dan nama besarnya dalam industri menyebabkan timbul debaran dalam hati untuk menemubualnya. Sehari sebelum pra tonton supertelefilem Parit Jawa berlangsung, otak ligat berputar soalan apa mahu diajukan kepada aktor bernama Eman Manan ini, supaya kelihatan bersedia apabila bertemunya.
Namun selesai pra tonton hampir dua jam, penulis mengatur langkah menyapa lelaki berkemeja kemas itu. Aktor itu menyambut lembut dan penuh hormat, sekali gus hilang segala salah sangka dan debaran. Sudah namanya orang filem dan aktor hebat, berbual dengan Eman Manan umpama melihat seorang penyajak sedang rancak melafazkan bait-bait ayat. Karektornya di luar dan dalam kaca televisyen tidak banyak beza, serius tetapi ramah.

Sedikit slanga jawa kedengaran, barangkali watak Arman selaku abang sulung dalam telefilem Parit Jawa yang bakal menemui penonton di Astro Box Office pada Disember nanti sedang meresap dalam dirinya.

Parit Jawa arahan Tunku Mona Riza tidak memerlukan pelakon cantik atau aktor kacak untuk membantu memantapkan telefilem ini. Atau rumah besar, kereta besar dan mekap tebal. Semua itu tiada dalam Parit Jawa, namun masih berjaya mengusik hati penonton hanya dengan berbekalkan lakonan hebat.

Selain Eman Manan sebagai abang sulung, telefilem yang menjalani penggambaran di Muar, Johor itu turut membariskan pelakon hebat lain seperti Ruminah Sidek, Namron, Zahiril Adzim, Safura, Khaty Azean dan ramai lagi.
Lakonan Eman sebagai Arman cukup rencah, warna dan rasa. Penghayatannya sebagai abang sulung yang sentiasa berfikir untuk menyelamatkan tanah milik keluarga mereka hingga sesuatu yang buruk menimpa dirinya menyentuh emosi penonton.

Namun kata pelakon yang baru saja menerima anugerah Pelakon Lelaki Terbaik, Anugerah Skrin (ASK), pelakon memerlukan pengarah dan naskah yang baik untuk membantu mereka menyerlah sebagai seorang pelakon.

Katanya penuh falsafah, dia tidak suka menilai hasil kerja orang lain kerana lebih senang mencari kekurangan diri sendiri.

“Saya selalu dengar orang bercakap mengenai profesionalisme. Jika kita berharap orang lain menjadi terbaik, ia perlu bermula dengan diri kita sendiri terlebih dulu. Saya perlu memulakan langkah profesional supaya orang lain juga akan menjadi seperti kita.

“Saya lebih suka menilai kerja sendiri daripada menilai kerja orang. Saya hanya mahu mengucapkan selamat datang kepada pelakon baru. Saya kira karyawan dulu sudah boleh berlapang dada untuk meninggalkan industri kerana kehadiran pelapis baik lelaki ataupun wanita. Tetapi saya ingin menasihatkan mereka supaya siapkan diri mereka dengan ilmu, bakat saja tidak mencukupi.

“Kehebatan seseorang pelakon itu seperti saya katakan memerlukan pengarah dan naskah yang bagus. Pengarahlah yang bertanggungjawab mendandan karakter seorang pelakon itu, tetapi industri kita kekurangan pengarah yang besar,” katanya.

Menerima tawaran melakonkan watak berketurunan Jawa satu cabaran buat Eman, dia hanya sempat mempelajari bahasa Jawa dalam tempoh singkat. Justeru pinta Eman, jangan dinilai pertuturan Jawa nya tepat atau tidak kerana bukan bahasa yang mahu di angkat tetapi semangat kejawaan itu yang cuba diangkat dalam Parit Jawa.

Sekalipun kata Eman, dia tidak punya hak untuk menilai hasil lakonan seseorang, namun aktor ini sempat menitip pesanan yang mungkin menarik dan boleh diambil pemain wayang generasi baru.

“Jangan tengok gemuk atau kurus, cantik atau tidak penampilan di televisyen, sebaliknya lihatlah kepada persembahan anda. Ketahuilah inti pati lakonan dan persembahan sendiri sama ada betul atau tidak. Jangan hanya melihat kepada fizikal dan kecantikan semata-mata apabila lakonan anda ditayangkan,” katanya.

Artis bertanggungjawab jaga moral

SEBAGAI anak seni yang sudah berkecimpung lebih 20 tahun dalam dunia lakonan, Eman Manan sudah masak benar dengan asam garam dan sepak terajang dunia seni.

Pelakon yang cukup dikenali dengan karektor tersendiri ini, tidak menyalahkan sesiapa apabila nilai moral artis sering dijadikan bualan masyarakat.

Katanya, walaupun artis bukan pejuang moral tetapi moral mereka memang dinilai. Oleh itu, artis harus tahu menjaga batas moral mereka.

Sama juga halnya apabila ditanya adakah media bersalah sekiranya bertanyakan hal-hal peribadi kepada artis, walhal mereka hak milik masyarakat. Jawap Eman, media dan artis tidak ubah seperti ayam dan telur.

“Kenapa makan bersuap di lokasi kalau tidak mahu diceritakan (pasal) makan bersuap. Seorang artis harus bijak apabila menjawab soalan. Saya sendiri tidak pernah melarikan diri apabila diwawancara. Kalau saya diam, itu juga bagi saya masih sebuah jawapan.

“Tapi media juga harus menyediakan ruang yang memberangsangkan. Janganlah terlalu menjurus kepada soalan berbaur peribadi tetapi berikan juga laporan seimbang mengenai kerjaya,” katanya yang masih sendiri selepas 11 tahun hidup menduda.

Tatkala diusik-usik soal rumah tangga, aktor itu hanya mampu tersenyum. Seraya berseloroh, soalan ini paling mencabar untuk dijawab.

“Berikan saya sedikit masa dan ruang. Sukar untuk menjawab soalan ini kerana perkahwinan memerlukan persediaan. Kita perlu bersedia, sudah bertemu wanita yang kita suka dan sayang. Hanya selepas itu kita boleh berkahwin,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: