Sunday, February 20, 2011

Wadah pengerat hubungan

LIHAT...antara kemahiran yang menarik perhatian.
LIHAT...antara kemahiran yang menarik perhatian.

DI tengah kesibukan kota dengan kenderaan pelbagai saiz bertali arus, terselit sekumpulan penunggang basikal yang selesa menggunakan kenderaan dua roda itu untuk bergerak ke mana-mana.

Dengan menggunakan basikal berwarna-warni, kelibat mereka menarik perhatian bukan saja pengguna jalan raya, malah orang sekeliling.


Lebih menarik, mereka bukan menggunakan basikal biasa, sebaliknya jenis 'fixed gear' yang tidak mempunyai brek.

  • Foto

    LAIN...basikal jenis ‘freestyle’ sesuai untuk melakukan trick atau aksi.

  • Foto

    MENCABAR...memerlukan latihan dan pengalaman.

  • Foto

    AKSI...pelbagai trick boleh dilakukan menggunakan basikal ‘fixed gear’.

Barisan anak muda ini yang menamakan kumpulan mereka Croszline dan Wild Dogs Brigade menjadikan aktiviti berbasikal sebagai wadah mengeratkan hubungan sesama mereka.


Mengikut sejarahnya, basikal itu dulunya ditunggang untuk perlumbaan di velodrome, namun diguna secara meluas oleh golongan penghantar surat (messenger) di Amerika Syarikat.


Ahli Croszline, Zulkifli Muhammad Ghazali, 30, berkata penggunaan basikal 'fixed gear' ini semakin mendapat perhatian sejak kebelakangan ini.

Katanya, tidak hanya memperoleh keseronokan berbasikal secara berkumpulan, aktiviti ini secara tidak langsung seakan-akan satu senaman.


"Jika dilihat di negara lain seperti Amerika Syarikat, Jepun dan China, berbasikal menjadi sebahagian daripada budaya mereka, namun di negara kita ia jarang dilihat."Apabila dinilai kembali, aktiviti basikal tidak memerlukan kos tinggi kerana penunggang hanya perlu memberi perhatian kepada tayar," katanya.


Ditubuhkan kira-kira empat tahun lalu, Croszline dianggotai 15 ahli manakala Wild Dogs Brigade 12 ahli.


Katanya, basikal ini ada dua jenis iaitu 'freestyle' dan 'mash' yang mana perbezaannya dapat dilihat dengan ketara menerusi saiz tayarnya.


Menurutnya, 'freestyle' lebih sesuai digunakan untuk melakukan pelbagai aksi atau 'trick' dan menggunakan tayar lebih besar daripada biasa.


Jenis 'mash' pula lazimnya digunakan untuk melakukan perjalanan jauh kerana ia lebih fleksibel dan ringan.


Apabila diberitahu basikal ini tidak mempunyai brek, pasti ramai tertanya-tanya bagaimana penunggang memberhentikannya.


Zulkifli berkata, 'suis' utamanya terletak pada pedal pengayuh kerana ia berfungsi mengawal kelajuan, termasuk memberhentikan basikal.


"Pengendalian basikal ini lebih mencabar kerana ia memerlukan teknik 'pull and push', di mana kedua-dua pedal perlu diseimbangkan untuk berhenti.


"Selain itu, ia memerlukan tenaga lebih berbanding menunggang basikal biasa kerana kaki tidak sempat 'berehat', sebaliknya penunggang perlu sentiasa mengayuh bagi menggerakkannya," katanya.


Biasanya mereka menunggang di sekitar Kuala Lumpur pada hujung minggu, yang mana kegiatan itu turut menjadi platform untuk ahli kumpulan bertanya khabar dan berbincang.


Ingin sesuatu yang lebih mencabar dan menarik, kedua-dua kumpulan ini sering melakukan kayuhan ke luar Kuala Lumpur yang membabitkan jarak jauh.


Secara tidak langsung ia menguji ketahanan mental dan fizikal penunggang untuk menamatkan kayuhan sehingga sampai ke destinasi.


"Baru-baru ini kami berkayuh ke Kuala Terengganu sejauh lebih 500 kilometer yang memakan masa hampir seminggu.


"Walaupun tidak semua berjaya menamatkan kayuhan, ia berjaya mencapai matlamat dan perjalanannya menyeronokkan," katanya.


Melihat kumpulan mereka yang kelihatan 'kecil' berbanding pengguna jalan raya lain, timbul tanda tanya di benak hati, tidak bahayakah mereka menunggang basikal di jalan sibuk di bandar raya ini.


Namun bagi Zulkifli, jika dihitung risiko dan bahaya, ia ada di mana-mana dan semua terdedah kepada risiko sama.


Baginya, sebagai pengguna, mereka berhak diberi peluang sama rata untuk menggunakan kemudahan jalan raya.


"Memang tidak dapat dinafikan sesetengah pengguna jalan raya lain seakan-akan menutup sebelah mata mengenai kehadiran kami hinggakan adakalanya memandu kenderaan secara berbahaya dan mengancam keselamatan kami.


"Bagaimanapun, kami sentiasa mengambil langkah keselamatan sepatutnya, termasuk memasang lampu pantulan, supaya kehadiran kami disedari," katanya.


Menariknya, mereka mengadakan kayuhan beramai-ramai pada Jumaat terakhir setiap bulan yang dipanggil 'Critical Mass' yang bertujuan menyedarkan pengguna jalan raya lain bahawa mereka juga berkongsi jalan sama.


Biasanya mereka melakukan kayuhan mengelilingi bandar raya dan sejak aktiviti ini dijalankan, pengguna jalan raya boleh menerima kehadiran mereka.


Katanya, aktiviti berbasikal ini bukan hanya untuk keseronokan semata-mata, tetapi ia juga satu cara beriadah dan untuk kekal sihat.


Malah, katanya, untuk memiliki sebuah basikal tidak memerlukan kos tinggi kerana ia boleh dibeli sekitar harga RM900 hingga RM1,700 bergantung pada jenis dan kualiti basikal.




>INFO
> Basikal 'fixed gear' atau 'fixie' digunakan oleh golongan penghantar surat di Amerika Syarikat
> Mula mendapat perhatian di negara ini sekitar 2006
> Tidak mempunyai brek dan memerlukan teknik 'pull and push' untuk memberhenti dan memperlahankan basikal
> Kumpulan Croszline dan Wild Dogs Brigade antara kumpulan basikal 'fixed gear' di negara ini yang dianggotai 27 anak muda
> Melakukan kayuhan di sekitar Kuala Lumpur pada hujung minggu
> Pada Jumaat terakhir setiap bulan, mereka melakukan aktiviti kayuhan beramai-ramai yang dipanggil 'Critical Mass' sebagai mesej kepada pengguna jalan raya lain bahawa mereka juga berkongsi menggunakan jalan raya sama
> Untuk maklumat lanjut, sila layari wilddogsbrigade.wordpress.com dan croszline.blogspot.com


>PROFIL
NAMA: Khirunnizam Mohd Lani
UMUR: 33 tahun
ASAL: Gombak, Selangor
PEKERJAAN: Sukarelawan
KUMPULAN: Wild Dogs Brigade

MENGAYUH basikal dalam jarak jauh sehingga beratus kilometer menjadi kebiasaannya kerana baginya ia lebih mencabar.

Justeru apabila diberitahu mengenai jelajah ke Kuala Terengganu, dia antara individu terawal mengesahkan penyertaannya.

"Mengayuh basikal dalam jarak jauh mempunyai cabaran tersendiri kerana penunggang perlu bersedia daripada segi mental dan fizikal.

"Malah kita perlu bijak menjangkakan apa juga kemungkinan yang timbul sepanjang kayuhan," katanya.

Menurutnya, berdepan kebocoran tayar adalah perkara biasa bagi penunggang basikal, oleh itu selain teknik mengayuh, penunggang perlu dilengkapkan dengan ilmu mengganti dan menampal tayar bocor.

"Sepanjang jelajah ke Kuala Terengganu, saya tidak berdepan kejadian menyukarkan dan semuanya berjalan lancar.

"Walaupun ramai rakan mengangkat bendera putih di pertengahan jalan, namun itu tidak mematahkan semangat saya untuk menamatkan jelajah," katanya.

Menurutnya, mereka bukan saja mengadakan jelajah di dalam negara tetapi turut melangkaui sempadan dengan berkunjung ke negara jiran, Singapura untuk merasai persekitaran berbeza.


>PROFIL
NAMA: Suliza Sahrani
UMUR: 21 tahun
ASAL: Puchong, Selangor
PEKERJAAN: Penyelia
KUMPULAN: Wild Dogs Brigade

DIA satu-satunya bunga di dalam kumpulannya, namun itu sedikitpun tidak membuatkan dia berasa janggal biarpun mungkin ada orang memandang serong.

Baginya, berbasikal memberinya kepuasan dan keseronokan di samping dijadikan senaman yang dapat mengekalkan stamina.

"Saya tidak peduli apa orang cakap apabila melihat saya bergaul dengan rakan lelaki dalam aktiviti 'fixed gear' asalkan saya tidak melakukan sesuatu yang salah.

"Bagi saya, mereka boleh berkata apa saja. Ini minat saya dan saya tidak akan mengenepikannya hanya semata-mata mahu menutup mulut orang," katanya.

Baru kehilangan basikal kesayangannya Disember lalu, Suliza kini giat mengumpul wang untuk mendapatkan basikal baru.

"Sejak aktiviti ini menjadi hobi saya kira-kira setahun lalu, hidup saya bagaikan tiada serinya jika tidak mengayuh.

"Entah mengapa, saya seolah-olah ketagih untuk menunggangnya walaupun terpaksa meminjam basikal rakan," katanya sambil tersenyum.

Menurutnya, berbasikal juga seakan-akan dapat menjadi terapi untuk meredakan tekanan dihadapi.


>PROFIL
NAMA: Mohd Mustaqim Baharum
UMUR: 26 tahun
ASAL: Desan Pandan, Kuala Lumpur
PEKERJAAN: Kerani
KUMPULAN: Croszline

BERBASIKAL ke tempat kerja mungkin dianggap janggal kerana ia bukan budaya di negara ini, namun ia tidak bermakna tiada orang menjadikan basikal sebagai kenderaan utamanya.

Bagi anak muda ini, berbasikal jauh lebih praktikal berbanding menggunakan kenderaan lain kerana ia lebih mesra alam.

"Saya tidak perlu pening kepala untuk memikirkan kos bahan api yang terpaksa ditanggung kerana ia tidak memerlukan bahan itu.

"Malah penyelenggaraannya jauh lebih murah dan mudah kerana saya hanya perlu memberi perhatian kepada keadaan tayarnya," katanya.

Menurutnya, walaupun dia lencun dibasahi peluh sebaik ke tempat kerja, itu semua bukan masalah besar.

"Saya ada cara untuk menyegarkan diri sebelum memulakan tugas, iaitu mandi terlebih dulu sebaik sampai di tempat kerja.

"Mungkin bagi sesetengah orang ia meremehkan, namun saya dapat rasakan badan bertambah sihat apabila mengeluarkan peluh," katanya.

Aktif bermain bola sepak, anak muda ini menganggap berbasikal sebagai alternatif baginya untuk kekal cergas walaupun dikekang dengan kesibukan kerja.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: