Sunday, February 20, 2011

Mengenang jasa anbia

RUMAH ALLAH...Masjid Umawi.
RUMAH ALLAH...Masjid Umawi.

KUNJUNGAN kali pertama, namun cukup membuatkan penulis terngiang-ngiang untuk kembali ke sana lagi sewaktu mengikuti pakej menziarahi ulama dan sejarah Islam di Syria, Jordan dan Mesir. Tidak kenal maka tak cinta, pakej anjuran Pusat Khidmat Sosial Islam (Yayasan Paksi) dari 4 hingga 13 Disember lalu mahu mendekatkan rombongan seramai 49 orang itu betapa jasa dan keringat para anbia usah dilupakan walau berlainan benua.

Menyedari ulama adalah pewaris nabi, pakej diberi nama Pakej Ziarah Hijjaz ini jelas mendukung tinggi perjuangan ulama muktabar di bumi anbia, sekali gus menyaksikan destinasi pertama pakej ialah Syria, yang sememangnya sinonim dengan pelbagai rentetan sejarah Islam berkurun lamanya.


Pesawat Kuwait Air yang kami naiki mendarat di Lapangan Terbang Damsyik jam 10.30 pagi pada 4 Disember dengan cuaca dingin. Selaku ketua rombongan, pengalaman ketika saya belajar di Syria pada awal 1990-an memudahkan urusan imigresen di lapangan terbang dan ia berjalan lancar.

  • Foto

    KENA CUBA...kedai manisan dan ‘ole-ole’ di Syria.

  • Foto

    INDAH...laman Masjid Umawi.

  • Foto

    ABADI...penulis (dua dari kanan) bergambar kenangan di depan kedai manisan dan cenderahati di Syria.

Sebelum ini ada kumpulan pelancong dari tanah air kita dihalang memasuki negara itu, di mana saya percaya segala-galanya berpunca daripada kegagalan berurusan dengan Kementerian Pelancongan Syria.


Kunjungan pertama kami bertemu Prof Dr Syeikh Abd Latif Soleh al-Farfur yang juga guru pengajian Talaqqi di Universiti Damsyik.


Dalam majlis ini, Prof Abd Latif, tokoh ilmuan Islam terkemuka juga ahli jawatankuasa Pusat Kajian Fiqh Sedunia, menganugerahkan sanad hadis dan Ijazah Toriqat kepada saya dan Ijazah Satu Sabad Hadis kepada semua peserta pakej.

Hari kedua, peserta menziarahi makam insan yang rapat dengan Rasulullah SAW termasuk isteri baginda, Ummu Habibah dan Ummu Salamah selain sahabat baginda Bilal bin Rabah, tukang azan Rasulullah.


Di sebelah petang pula, rombongan dibawa menziarahi masjid tertua dalam sejarah Islam di Syria, iaitu Masjid Umawi yang terletak di pasar tertua dalam Tamadun Arab, Pasar Hamidiyah.Hari ketiga menyaksikan rombongan dibawa membeli-belah sekitar Kota Damsyik di samping melawat muzium perang dan kawasan berdekatan. Tidak ketinggalan kami dibawa menziarahi makam pejuang terkenal, Solahuddin al-Ayubi.


Hari keempat, rombongan mendaftar keluar daripada hotel awal pagi sebaik selepas sesi tazkirah dan dibawa menaiki bas ke Jordan.


Dalam perjalanan, rombongan singgah di bandar Busro, di mana Rasulullah SAW datang berdagang ketika diberi modal oleh Saiditina Khatijah bersama dengan bapa saudaranya Abu Talib.


Peserta juga dibawa ke tempat persinggahan Rasulullah, di mana pendita Yahudi melihat Muhammad adalah pemuda yang akan memimpin ummah di hari kemudian.


Selepas melawat Busro, peserta terus ke Nawa untuk menziarahi makam ulama terkenal dalam mazhab Syafie, iaitu Imam Nawawi ra.


Ahli rombongan berdoa dan tahlil ringkas di makam beliau yang unik apabila berada di bawah sebatang pokok besar. Penduduk Nawa menceritakan pokok itu ranting dan dahannya terukir kalimah tauhid menyebabkan penduduk mengambil ranting dan dahannya.


Perjalanan diteruskan ke sempadan Syria-Jordan dengan bas Yutong buatan China yang membawa rombongan tiba di Hotel Reo Jordan jam 10 malam. Apabila bangun solat Subuh, cuaca sangat sejuk, iaitu di bawah paras 0 darjah Celsius. Selesai solat, peserta terus ke dewan makan hotel untuk sesi tazkirah dan taklimat lawatan di Jordan.


Hari pertama rombongan ke Laut Mati, kubu lama Jordan, masjid negara Jordan dan singgah bazar cenderamata di perjalanan balik dari Laut Mati.


Makan tengah hari peserta dihidangkan dengan masakan Melayu di sebuah pengusaha restoran di Jaras yang berlatar belakang kebun zaitun di kawasan pergunungan, sekali gus membangkitkan selera ahli rombongan, tambahan pula sudah lima hari tidak menjamah masakan Melayu.


Lawatan terakhir ialah di makam Nabi Syuaib as pada hari berkenaan. Pada sebelah malamnya pula diadakan pertemuan dengan tokoh ulama Jordan, Syeikh Hassan al-Saqof di Dewan Suraya di hotel penginapan. Majlis diserikan lagi dengan dendangan nasyid oleh seorang pelajar Malaysia di Jordan yang juga bekas ahli kumpulan nasyid Sautul Atfal.


Keesokannya lawatan diteruskan ke Muktaah. Sudah tentu destinasi pertama ialah di kawasan peperangan Muktah. Taklimat diadakan di tapak peperangan supaya terasa betapa hebatnya pejuang kalangan sahabat Rasulullah SAW. Seterusnya menziarahi makam para syuhada sekitar Muktah, antaranya Jaafar bin Abi Tolib, Zaid Harithah dan Abdullah Ibn Rawahah.


Solat Zohor dan Asar secara jamak dan qasar pula diadakan di Masjd Abdullah Ibn Rawahah yang bersebelahan makamnya. Selesai ziarah para syuhada, makan tengah hari di Restoran Arab dengan hidangan masakan Arab iaitu Kabsah. Pengalaman makan masakan Arab dengan hidangan satu pinggan berlauk ayam sangat menyelerakan, tetapi jemaah tidak mampu menghabiskannya berikutan hidangan yang cukup banyak ala Arab.


Perjalanan kemudian diteruskan ke sebuah bazar baru di Amman untuk membeli cenderahati tetapi disebabkan perbezaan nilai mata wang yang ketara, ia terasa sangat mahal. Satu dinar Jordan bersamaan RM4.50. Rombongan tiba di hotel menghampiri waktu Maghrib dan selepas makan malam di hotel, acara bebas dengan kebanyakan mereka bersiar-siar di sekitar gerai berhampiran masjid.


Keesokannya, ahli rombongan mendaftar keluar awal dari hotel untuk melawat makam Abdul Rahman bin Auf dan terus ke lapangan terbang di Kaherah, Mesir. Penerbangan dengan Royal Jordan. Pesawat RJ 505 mendarat tepat jam 6.45 petang waktu Mesir dengan rombongan disambut kenalan lama Khairul Anuar di Kaherah, Akhi Zahari.


Rombongan kemudian terus dibawa ke hotel di kawasan Jizah berdekatan Piramid dengan destinasi pertama dilawati keesokannya ialah Piramid yang menjadi mercu tanda Mesir.


Selepas itu rombongan dibawa ke kilang minyak wangi dan diikuti kilang kristal. Nyata ahli rombongan teruja dengan kristal Mesir yang unik dan harganya yang murah. Di sebelah petangnya selepas makan tengah hari, rombongan dibawa menyusuri Sungai Nil dengan sesi tazkirah diadakan dalam bot menceritakan sejarah Sungai Nil.


Selepas itu rombongan dibawa ke bazar tertua di Mesir iaitu Bazar Khan al-Kalili. Hari kedua di Mesir, rombongan dibawa ke Iskandariah dengan Istana Raja Faruk destinasi pertama kami. Melihat keindahan Laut Mediterranean di pinggir Istana Raja Faruk yang digulingkan nun di hujung lautan adalah Itali. Suasana sangat menarik dengan cuaca begitu dingin sekali.


Selepas itu sesi pertemuan dengan ilmuan besar Mesir iaitu As-Syeikh Muhammad al-Kittanu, seorang Muhaddis di Iskandariah yang dihormati. Banyak nasihat diberikan olehnya.


Rombongan kemudian dibawa melawat Makam Nabi Deial dan Loqman al-Hakim dengan solat Zohor dan Asar secara jamak di Masjid Imam Busoiri.


Makan tengah hari pula di Restoran Samak Al-Sobirin di pinggir lautan. Hidangan ikan bakar segar ala Arab sangat menyelerakan dengan sup sotong Arab. Perjalanan pulang ke Kaherah diteruskan. Sepanjang perjalanan dua jam setengah dihiasi dengan pemandangan kebun zaitun, anggur, kurma dan lain-lain. Hari terakhir di Mesir, sebelah paginya melawat makam Imam Syafie dan masjid pertama di Mesir iaitu Masjid Amr Ibn Asr. Seterusnya singgah di depan Universiti Al-Azhar untuk sesi bergambar.


Rombongan dibawa ke Lapangan Terbang Kaherah untuk penerbangan pulang dengan pesawat Kuwait Air. Sepanjang perjalanan di tiga negara yang menjadi bumi para nabi selama 13 hari nyata cukup bermakna, terutama pertemuan dengan ulama di negara berkenaan.


Perancangan dibuat untuk melawat tiga lagi negara yang terkenal dengan sejarah Islam, dan ia boleh dilayari melalui suhbahtravel.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: