Wednesday, February 9, 2011

Unit Grafik PDRM banggakan pasukan


ABD. Latif mempamerkan kemahirannya dalam mengukir polistirena.


MUNGKIN ramai yang menganggap, hiasan pada pentas atau pameran pada setiap program anjuran Polis Diraja Malaysia (PDRM) adalah hasil tangan syarikat-syarikat swasta yang diupah.

Namun jangan terkejut jika diberitahu, segala reka bentuk hiasan yang cantik itu sebenarnya digubah dan hasil titik peluh anggota PDRM sendiri.

Malah, bukan setakat dalam majlis melibatkan PDRM, pereka-pereka hiasan dan grafik yang terdiri daripada anggota polis itu sebenarnya turut terlibat dalam ‘sentuhan’ yang lebih besar seperti majlis santapan diraja.

Antara anggota yang terlibat dalam kerja tersebut ialah Sub Inspektor (SI) Abd. Latif Yahaya, kini bertugas sebagai SI Tatatertib di Muzium PDRM yang terletak berhampiran Masjid Negara.

Tanpa kemahiran dan kreativiti, Abd. Latif mungkin tidak dapat menjawat jawatan tersebut sehingga dia ditugaskan di unit tatatertib ketika ini.

Namun dua perkara itulah yang membawa beliau menghasilkan ratusan perhiasan dan rekaan untuk pelbagai majlis sejak tahun 1983.

Menurut Abd. Latif, 52, kreativiti dan kemahiran yang ada padanya diwarisi oleh ibu bapanya.

“Ibu saya bekerja sebagai tukang jahit manakala bapa saya tukang kayu dan nelayan.

“Semasa membantu emak, dia akan minta saya melihat jahitan bentuk bunga pada pakaian selain terpaksa menggunting bentuk bunga yang akan dijahit.

“Manakala kerja pertukangan pula saya warisi daripada bapa saya ketika membantu dia menyiapkan sesuatu kerja,” katanya ketika ditemui Gaya Polis baru-baru ini.

Berbekalkan kemahiran yang ada, Abd. Latif ketika diterima sebagai polis pada tahun 1980, mencuba nasib dengan memohon jawatan sebagai penolong pereka grafik dan pertukangan.

Selepas dua tahun menanti, beliau akhirnya diterima ke jawatan tersebut pada 17 Februari 1983 dan ditukarkan ke Muzium PDRM.

Sejak itu bermulalah karier beliau sebagai pereka grafik dan pertukangan yang mana semua perkara perlu dilakukan secara manual tanpa sebarang peralatan elektronik seperti komputer yang ada sekarang.

Tugas sebagai pereka grafik

Meskipun tanpa sebarang bantuan mesin pada tahun tersebut, kreativiti yang ada pada beliau dan tiga lagi rakan setugas sudah mencukupi untuk mereka melaksanakan tugas dengan cemerlang.

Selain penyediaan pentas biasa, beliau turut terlibat dengan pembinaan astaka, replika tatu PDRM, pentas mesra bakti, pentas mesra rakyat dan latar belakang.

“Pada zaman itu kalau kita hendak sediakan pentas yang menarik ia memerlukan kreativiti yang tinggi kerana tiada contoh yang boleh didapati di Internet.

“Bukan setakat itu, tetapi untuk menghasilkan reka bentuk yang dikehendaki kami akan menggunakan polistirena dan mengukir bahan itu dengan pisau sayur,” ujarnya.

Selain itu, beliau berkata, antara yang mencabar tugasnya adalah penghasilan latar belakang bagi sesuatu majlis seperti majlis santapan diraja, teater muzikal, majlis pecah tanah balai polis baru, festival tari menari dan sayembara puisi.

Dalam menghasilkan latar belakang berkenaan, Abd. Latif dan rakan terpaksa melukis mewarna gambar yang dikehendaki seperti istana lama, potret-potret, pemandangan dan tema majlis sebelum menghasilkan latar belakang sebenar.

Sebelum melukis di atas papan, mereka akan mendapatkan ilham atau gambaran tepat mengenai objek tersebut sebelum menilai saiz yang sesuai.

Cabaran seterusnya ketika mewarnai objek berkenaan kerana ada di antaranya terlalu besar seperti replika balai polis baru.

“Dengan menggunakan warna seperti cat, kami akan mula mewarna tanpa melakukan kesilapan kerana ia akan menjejaskan persiapan kelak.

“Ia juga tidak akan dilakukan oleh seorang anggota tetapi dua atau tiga, oleh itu apabila penyambungan dilakukan ia mestilah sama,” katanya.

Cara kerja secara manual semakin ditinggalkan seawal tahun 2000 apabila, unit berkenaan mula menerima komputer sebagai pembantu.

Walaupun kemudahan elektronik banyak mengambil alih tugas manual, kreativiti masih bergantung kepada idea manusia.

Sebelum menghasilkan sesuatu corak yang dikehendaki, Abd. Latif dan rakan-rakan terpaksa membayangkan corak yang sesuai bagi sesuatu majlis atau latar belakang.

Jelasnya, apabila sesuatu rekaan itu dipastikan barulah komputer akan digunakan untuk menghasilkan rekaan tepat.

“Komputer juga banyak membantu kerana jika pihak atasan tidak setuju dengan corak yang dicadangkan ia dapat ditukar dengan mudah,” ujar beliau.

Setelah hampir 30 tahun berkecimpung dalam menghasil grafik dan reka bentuk, Abd. Latif kemudian dinaikkan pangkat sebagai SI sebagai penghargaan kepada khidmatnya.

Namun beliau masih diperlukan dalam mendapatkan idea, kreativiti dan pandangan oleh anggota baru.

Malah, beliau juga sering dijemput menjadi juri dalam kursus grafik yang diadakan oleh PDRM.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: