Wednesday, February 9, 2011

Bahayakan diri untuk selamat mangsa bencana


Muhammad abdullah (kiri) dan rakan setugas, Zulainizam Zulkefli sentiasa bersedia memberi bantuan ketika diperlukan.


PERNAHKAH anda menonton filem The Guardian lakonan pelakon lelaki Hollywood terkenal, Ashton Kutcher?

Filem yang mendapat sambutan hangat daripada penonton di seluruh dunia itu mengisahkan tentang rintangan serta dugaan yang terpaksa ditempuhi oleh seorang anggota pasukan penyelamat maritim semasa menjalankan tugasnya menyelamatkan mangsa yang terperangkap di lautan.

Watak-watak pasukan penyelamat daripada filem tersebut sedikit sebanyak menggambarkan cabaran serta bentuk tugasan yang perlu digalas oleh Laskar Kanan Maritim, Muhammad Abdullah dan juga Laskar Kelas 1 Maritim, Zulainizam Zulkefli.

Kedua-duanya merupakan anggota pasukan perenang penyelamat Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM) yang bertanggungjawab menjalankan tugas-tugas menyelamat serta mencari mangsa yang terperangkap di lautan negara.

Pasukan yang ditubuh pada 2008 itu setakat ini telah mempunyai tiga anggota senior dan juga tujuh orang lagi sedang menjalani latihan untuk diserap ke dalam unit tersebut.

Menurut Muhammad, unit yang baru berusia dua tahun itu masih kekurangan ahli dan sedang dalam proses untuk menambah bilangan anggotanya berdasarkan pertambahan tugasan yang perlu dilakukan.

Katanya, setakat ini hanya dia dan dua lagi anggota merupakan ahli rasmi unit tersebut dan sering tidak menang tangan semasa menjalankan tugas.

“Setakat ini, saya dan dua orang lagi anggota yang merupakan kumpulan pertama unit ini menjalankan tugas-tugas penyelamatan di kawasan laut Semenanjung Malaysia.

“Kami masih tidak dapat menyampaikan bantuan ke kawasan perairan di Sabah dan Sarawak kerana kekurangan anggota serta kelengkapan,” kata bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) itu kepada Utusan Malaysia ketika ditemui baru-baru ini.

Bagaimanapun Muhammad berkata, jika tiada sebarang masalah, tujuh anggota yang sedang menjalani latihan akan diserapkan ke unit tersebut tidak lama lagi.

Tambahnya, ia akan mengurangkan sedikit bebanan yang ditanggungnya dan dua lagi rakannya bagi memastikan bantuan dapat dihulurkan ke kawasan perairan seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak.

“Kami juga difahamkan tiga lagi helikopter akan dibekalkan untuk unit ini tidak lama lagi. Ia merupakan helikopter penyelamat yang banyak digunakan oleh skuad penyelamat maritim di Eropah.

“Setakat ini unit kami mempunyai dua buah helikopter yang menjadi pengangkutan utama ketika menjalankan tugas dan penambahan tiga lagi helikopter ini, adalah langkah yang tepat memandangkan anggota unit ini juga akan bertambah,” jelasnya.

Sepanjang menjadi anggota yang merintis kepada pembentukan skuad perenang penyelamat APMM, terdapat banyak pengalaman manis dan pahit yang dilalui oleh Muhammad dan Zulainizam.

Menurut Muhammad, sejak unit itu ditubuhkan, dia telah menjalankan banyak tugas menyelamat di beberapa kawasan perairan di Semenanjung Malaysia seperti di Pantai Timur, Selat Melaka dan Johor.

Katanya, tugas yang paling mencabar bagi beliau sejak menyertai skuad tersebut adalah ketika operasi mencari mayat mangsa kemalangan kapal di Port Dickson.

Menurutnya, dia terpaksa turun ke tengah-tengah laut di perairan Port Dickson dan mengangkat mayat mangsa yang telah tenggelam selama tiga hari.

“Ia menjadi cabaran yang getir kepada saya kerana mayat tersebut telah kembang kerana tiga hari tenggelam di dalam laut dan saya pula ditugaskan untuk membawanya naik ke helikopter untuk dibawa ke hospital.

“Selain itu, kami juga menghadapi cabaran tersendiri semasa menjalankan tugas terutamanya dari segi cuaca. Kami bertugas tidak kira masa dan cuaca, apabila diperlukan kami akan segera bertindak walaupun dalam keadaan hujan atau angin kencang,” katanya.

Kemalangan

Tambah Muhammad pula, dia nyaris mengalami kemalangan teruk semasa menjalankan tugas apabila kepalanya hampir-hampir terhantuk ke bahagian kapal yang rosak di tengah laut.

Katanya, ia disebabkan angin yang kencang semasa dia turun dari helikopter untuk membantu membawa mangsa yang terperangkap keluar daripada kapal.

Bagi Zulainizam pula, cabaran yang paling besar semasa menjalankan tugas selain cuaca dan situasi tugasan seperti kapal terbakar atau terlibat dalam kemalangan adalah bagaimana membawa peralatan menyelamat itu sendiri.

Menurutnya, setiap penyelamat akan diturunkan daripada helikopter beberapa meter dari tempat kejadian bagi memudahkan proses menyelamatkan mangsa tetapi di situlah cabaran sebenar bermula.

“Kami perlu berenang sambil membawa pengusung seberat 44 kilogram bersama pelbagai kelengkapan lain yang ada pada kami.

“Lebih-lebih lagi apabila keadaan hujan dan laut berombak menyebabkan tugas kami semakin mencabar. Situasi ini mungkin nampak seperti mudah dan biasa sahaja tetapi sebenarnya ia boleh mendatangkan bahaya kepada kami,” katanya.

Zulainizam menambah, bilangan anggota yang terhad menjadikan tugas semakin mencabar kerana setiap anggota perlu sentiasa bersiap sedia walaupun pada hari cuti bagi memastikan ada pelan sokongan sekiranya berlaku kecemasan.

“Bayangkanlah pada satu ketika saya sudah berada di depan rumah selepas pulang bekerja tetapi mendapat panggilan mengatakan berlaku kecemasan dan anggota yang sepatutnya bertugas telah ditugaskan untuk memberi bantuan di kawasan lain.

“Mahu tidak mahu saya berpatah balik dan tidak sempat masuk ke rumah pun,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: