Friday, February 18, 2011

Syarikat bas setuju pindah TBS-BTS


TERMINAL TBS-BTS yang serba lengkap dan moden di Bandar Tasik Selatan, Kuala Lumpur.


KUALA LUMPUR - Isu pemindahan pengusaha bas ekspres ke Terminal Bersepadu Selatan-Bandar Tasik Selatan (TBS-BTS) yang berlarutan semenjak 1 Januari lalu selesai apabila semua pengusaha bas bersetuju untuk berpindah ke terminal itu pada 1 Mac ini.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata, semua pengusaha bas ekspres yang beroperasi menghala ke selatan sudah bersetuju untuk berpindah ke TBS-BTS.

"Setakat ini, tiada yang tidak setuju kerana mereka tahu Terminal Sementara Bukit Jalil (TSBJ) akan ditutup, maka tiada alasan untuk mereka tidak berpindah," katanya ketika dihubungi Bernama semalam.

Menurut Syed Hamid, semua pengusaha bas akan mencabut undi untuk pembahagian kaunter bagi mengelakkan rasa tidak puas hati dalam kalangan mereka.

Sementara itu, Presiden Persatuan Pengusaha Bas Seluruh Malaysia (PMBOA), Datuk Mohammad Ashfar Ali berkata, ahli persatuan itu sudah setuju sebulat suara untuk berpindah ke TBS-BTS.

"Semua masalah sudah selesai... sekarang kami dalam proses untuk mengundi dapatkan kaunter," katanya.

Beliau berkata, perkembangan itu akan membawa kebaikan kepada kedua-dua belah pihak iaitu pengusaha bas dan pengguna bas ekspres.

Yang Dipertua Persatuan Pengusaha Bas Ekspres Semenanjung Malaysia (Pembawa), Tajuddin Mohd. Yunus pula berkata, segala masalah melibatkan penjualan tiket yang menjadi 'duri dalam daging' pihak pengusaha bas dan TBS-BTS sudah terlerai.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: