PADANG TERAP - Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin dianugerahkan sayap penerjun apabila berjaya menamatkan kursus ahli paracut statik dan penerjunan di Zon Gugur, Padang Sanai di sini semalam.
Khairy merupakan antara 101 anggota tentera dan askar wataniah yang berjaya menghabiskan kursus ahli paracut statik tahap satu iaitu kursus asas penerjunan.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Rembau menamatkan latihan tersebut dengan membuat terjunan pertama menggunakan payung terjun sebelum disusuli peserta lain dari pesawat CN-235 pada ketinggian 304.8 meter.
Aksi cemerlang Khairy disaksikan sendiri bekas Perdana Menteri yang juga bapa mertuanya, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isteri, Tun Jeanne Abdullah, isterinya, Nori Abdullah bersama dua anak mereka serta ibunya, Datuk Rahmah Abdul Hamid.
Menurut Khairy, beliau berasa puas kerana berjaya menamatkan kursus asas tersebut dan seterusnya menerima anugerah sayap penerjun yang disematkan sendiri mantan Perdana Menteri itu.
"Selepas menjalani kursus selama lima minggu dengan membuat lapan kali terjunan termasuk dua kali penerjunan bersama alatan, saya akhirnya berjaya menerima sayap penerjun yang merupakan salah satu kemahiran dalam ketenteraan," katanya pada sidang akhbar di sini semalam.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: