Friday, February 18, 2011

Saya bukan diva! - Ifa


IFA RAZIAH


PASTI ramai sudah sedia maklum mengenai kontroversi hamburan kata-kata yang boleh diklasifikasikan sebagai kesat dikeluarkan Ifa Raziah menerusi laman web sosial Twitternya terhadap seorang individu baru-baru ini.

Antaranya Ifa menyarankan supaya individu itu tidak terus menyalak seperti anjing berikutan kenyataan individu tersebut dalam rancangan Melodi di TV3 pada 30 Januari lalu yang kononnya turut mengaitkan Ifa.

Ia lalu mencetuskan kisah ‘perang Twitter’ Ifa. Walaupun Ifa sendiri enggan menyebut siapakah individu terbabit, namun desas-desus mengatakan individu itu ialah Safura Yaacob yang pernah terbabit dalam kes saman di mahkamah dengan Ifa.

Menurut Ifa, kata-kata di Twitter itu dikeluarkan kerana emosinya terganggu setelah letih pulang dari Singapura atas urusan kerja dan melihat paparan yang ditonton menerusi Melodi, Ifa terus menjadi berang.

Semasa berjumpa dengan Ifa pada sidang media Astro Warna (saluran 132) bagi mempromosikan program barunya kelmarin, Kosmo! mengambil peluang menemubual Ifa bagi memperjelaskan isu tersebut.

Kosmo!: Kenapa beri komen begitu di Twitter? Ramai yang sudah gelarkan Ifa artis mulut cili, boleh komen?

IFA: Nak gelar Ifa mulut cili, ia tidak memberi kesan yang mendalam pada Ifa. Sekarang ini dunia berteknologi, kebanyakan masyarakat kini buat luahan perasaan di dalam laman web sosial seperti Twitter, Facebook, blog dan sebagainya. Nak dibandingkan zaman dahulu yang hanya gunakan diari sahaja. Tetapi, sebenarnya teknologi juga ada kebaikan dan keburukan. Apa yang saya lakukan itu adalah luahan perasaan saya dalam laman web Twitter kepunyaan saya.

Apa sebenarnya yang membuatkan Ifa terlalu marah?

Saya pada masa itu memang sangat marah. Mana tidaknya. Sembilan jam saya duduk di dalam kereta perjalanan pulang dari Singapura ke rumah (di Kuala Lumpur) setelah sebulan di sana. Tiba di rumah, saya pun ingin melihat perkembangan melalui televisyen. Apabila saya menonton Melodi, kebetulan isu itu dibicarakan. Apabila mendengar artis tersebut mengeluarkan kenyataan yang kes mahkamah kami sudah selesai, saya terus menjadi tidak puas hati. Saya fikirkan dari sudut mana kes itu selesai? Itulah yang menaikkan terus kemarahan saya sehingga melakukan perkara sedemikian.

Oleh itu, saya ingin meminta maaf kepada semua kerana kegagalan saya mengawal emosi pada masa itu. Saya terlepas cakap dan saya akui itu kelemahan saya pada masa itu.

Dalam laman Twitter saya, walaupun ada yang bertanya pada siapa saya tujukan kemarahan tersebut, saya tidak pernah menjawab persoalan itu. Saya pun manusia, memang tidak lari daripada melakukan kesilapan. Mana mungkin saya marah secara tiba-tiba, mesti bersebab. Selain itu juga, saya agak kecewa kerana mereka hanya keluarkan apa yang buruk, tetapi tidak pula yang baik.

Komen Ifa tentang isu bergaduh dengan peminat?

Pada keesokan harinya, saya pergi makan bersama rakan artis, yang kebetulan mengambil gambar kami dan muatnaikkan ke dalam Twitter. Dengan meletakkan judul gambar makan bersama diva-diva, ada pula peminat yang memberi komen dengan mengatakan ‘Diva perasan, diva suam-suam kuku’.

Secara elok saya bertanyakan kepada peminat tersebut kepada siapa ayat tersebut dirujuk dengan mengatakan tidak perlu biadab sangat. Jawabnya, pada kami semua peminat-peminat yang layak digelar diva adalah Datuk Siti Nurhaliza sahaja, Ifa Raziah tidak layak!

Saya pun balasnya dengan mengatakan saya tidak minta segala gelaran yang diberikan. Apabila saya bertanyakan apa masalah dia dengan saya, dia menjawab dengan biadab.

Ramai rakan artis yang turut memberi komen dengan bertanyakan kemarahan saya tersebut. Saya menyatakan yang saya mahu ajar peminat supaya jangan biadab dengan artis Malaysia, walaupun mereka tidak suka dengan artis tersebut.

Saya pun membuat rumusan supaya suka hati mereka sama ada mahu gelar saya ratu suntik atau sebagainya. Setelah itu, semuanya menjadi elok semula dan itu sahaja isu sebenarnya. Kami saling bermaaf-maafan dan dia pula telah menjadi pengikut saya di Twitter. Pada mulanya kami bergaduh, kini diakhiri dengan kemaafan. Itu tidak pula ditunjukkan di media massa.

Adakah Ifa akan ambil tindakan?

Tidak sama sekali. Orang bodoh sahaja akan ambil serius tentang perkara ini. Lama-kelamaan orang akan lupa. Saya sedikit pun tidak ambil hati terhadap sesiapa.

Saya sebenarnya bukan seperti itu, saya juga manusia yang punyai hati dan perasaan. Saya juga punyai keluarga, jadi saya faham akan perkara itu.

Saya juga telah memohon maaf di dalam laman web sosial saya. Jadi, biarlah ia berlalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: