Friday, February 18, 2011

Bukan serang, bukan perang




SUDAH lama tidak kedengaran cerita tentang artis wajah kacukan yang satu ini. Dahulu, dia lebih dikenali sebagai penyanyi bersama kumpulan pop wanita Elite.

Namun, kini selepas bergelar isteri kepada Salyo Priyanto dan ibu kepada Adam Aryasenna Notosoemarsono, setahun enam bulan, karier Sasha Saidin lebih terarah kepada bidang lakonan dan pengacaraan.

Namun, buat pertama kali dalam sejarah kerjaya Sasha sebagai anak seni, dia dihambat gosip yang kurang enak. Kononnya dia tidak sehaluan dengan orang produksi dalam program wanita kelolaannya berjudul Bella yang bersiaran di ntv7.

Malah, gosip itu turut keluar di Internet yang mendakwa ibu Sasha telah menyerang penerbit program tersebut di pejabat selepas Sasha mengadukan perasaan tidak puas hatinya itu.

Sasha yang ditemui pada majlis penyampaian cek program Serasi Bersama baru-baru ini menjelaskan kedudukan sebenarnya dalam program Bella.

"Saya bukan disingkirkan tetapi saya yang mengambil keputusan untuk mengundur diri kerana tidak menandatangani kontrak.

"Sebenarnya ini hanyalah isu kecil, saya tidak sangka pula ia menjadi besar. Saya tidak bergaduh atau berperang dengan siapa-siapa, saya tidak tahu cerita itu datang dari mana, cuma saya rasa lebih baik untuk saya undur diri," katanya.


SASHA ditemani suami dan anaknya pada majlis penyerahan cek kepada wakil rumah kabajikan Shelter - Hope For Children baru-baru ini.


Disoal lagi, jika tidak timbul sebarang masalah, masakan Sasha mengambil keputusan untuk mengundur diri daripada program yang turut dikendalikan oleh Elaine Daly dan Daphne Iking itu sedangkan dia telah bersiaran sebanyak enam episod itu.

"Saya tidak pernah berkecil hati tetapi sukar untuk saya menerimanya apabila terdapat orang yang mengarahkan saya untuk menjadi seseorang yang bukan saya di hadapan kamera.

"Saya telah beritahu pihak produksi yang personaliti saya begini, jika mahu sama dengan pengacara yang lain nanti tidak ada yang istimewanya. Bila mereka tidak dapat terima personaliti saya, saya tidak kisah.

"Oleh itu, daripada jadi hipokrit baik saya undur diri, tambahan ketika itu mereka minta saya untuk tandatangani kontrak dan saya tidak menandatanganinya.

"Bagi saya kontrak tidak berbaloi kerana saya pentingkan kepuasan ketika bekerja, jadi lebih baik ambil langkah keluar dan teruskan hidup," balasnya.

Tambahnya lagi, meskipun jodohnya dengan program Bella tidak panjang tetapi dia tetap berterima kasih kepada pihak produksi yang memberi peluang untuknya menimba pengalaman sebagai pengacara program mereka.

"Saya akui ketika mula-mula mendapat tawaran untuk menjadi pengacara Bella, saya sangat teruja, tidak sangka pula jodoh saya dengan program ini tidak panjang.

"Sungguhpun begitu, saya tidak mahu bermusuh dengan siapa-siapa kerana industri seni dan penyiaran Malaysia tidak besar mana. Pusing-pusing kita tetap akan jumpa muka yang sama, jadi saya harap Bella akan terus sukses," katanya lagi.

Menganggap ada hikmah di sebalik apa yang berlaku, rezeki Sasha semakin murah apabila dia ditawarkan untuk menjadi pengacara program bual bicara di RTM dan kini sedang menjalani rakaman.

"Benda yang lepas saya tidak mahu fikir lagi biarlah ia berlalu. Saya mahu teruskan hidup seperti biasa dan alhamdulillah saya mendapat tawaran untuk menjadi pengacara sebuah program bual bicara di RTM," ujarnya penuh optimis.


MAHU melupakan kontroversi yang melanda dirinya, Sasha menganggap ada hikmah di sebalik apa yang telah berlaku.


Tidak kisah populariti

Meskipun sudah lama berkecimpung dana dunia seni, Sasha yang kini berusia 35 tahun tidak kisah dengan populariti yang dikecapinya asalkan dia memperoleh rezeki yang halal.

Disebabkan itu, Sasha tidak kisah apabila dia satu-satunya artis yang menyertai Cabaran 14 Hari Pantene dan hanya memenangi tempat kedua ketika diumumkan pada Anugerah Skrin lalu.

Menurut Sasha, dia sudah lama memiliki rambut panjang dan sudah lama berangan-angan untuk menjadi gadis Pantene.

"Saya menyertai Cabaran 14 Hari Pantene sebagai seorang model, selain memang saya sudah lama berminat untuk menjadi gadis Pantene, hadiah yang ditawarkan juga agak lumayan.

"Jadi, saya rasa tidak salah untuk saya mencuba kerana ia dinilai bukan daripada populariti tetapi rambut saya," ujarnya.

Kumpul RM2,000

Dalam program Serasi Bersama yang disiarkan Astro Ria, sebanyak RM44,500 telah berjaya dikumpul oleh selebriti yang menyertai program tersebut, manakala Sasha dan suaminya berjaya mengumpul RM2,000 untuk disumbangkan kepada rumah kebajikan Shelter - Hope For Children.

"Saya dan suami rasa seronok kerana dapat menyumbangkan sesuatu kepada badan kebajikan. Walaupun itu bukan wang kami tetapi kami dapat membantu dengan menyertai program ini.

"Bagi saya ia sebuah program yang bagus kerana peminat dapat saksikan sendiri gelagat artis pujaan mereka bersama pasangan masing-masing selain mengeratkan lagi hubungan suami isteri," tuturnya.

Program yang dikendalikan oleh pengacara terkenal Aznil Nawawi dan Sharifah Shahira itu merupakan sebuah rancangan berkonsep permainan yang melibatkan pasangan suami isteri selebiriti.

Setiap pasangan berusaha memenangi wang tunai untuk didermakan kepada badan kebajikan yang terpilih berdasarkan kuiz mengenai pasangan masing-masing.

Selepas 15 episod bersiaran, berkemungkinan besar program yang mencetuskan fenomena itu akan diteruskan ke musim yang kedua.


KENANGAN. Sasha dan suami ketika menyertai program Sehati Berdansa musim kedua pada tahun 2008.


Menurut Pengurus Saluran Astro Ria, Azlin Reza Azmi Serasi Bersama musim pertama agak mencabar buat tenaga produksi kerana tetamu yang dijemput masih tidak mengetahui konsep permainan.

"Ramai yang takut rahsia perkahwinan akan didedahkan dan memalukan mereka tetapi apa yang terjadi adalah sebaliknya.

"Suasana santai membuatkan program itu menarik, semua yang menyertai program ini gembira dengan hasilnya dan mereka mempunyai masa yang seronok ketika sesi rakaman berlangsung," katanya lagi.

Tambahnya, pada musim kedua pihaknya cuba mendapatkan Erra Fazira dan Datuk Siti Nurhaliza untuk menyertai program Serasi Bersama.

"Kami mendapat banyak maklum balas yang mahukan mereka berdua, Erra sepatutnya sertai Serasi Bersama musim pertama tetapi disebabkan jadual yang padat, rancangan itu terpaksa ditangguhkan. Kami akan cuba yang terbaik termasuk cuba menambah jumlah duit kemenangan," ulasnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: