Friday, February 4, 2011

RL5 tampil lawak pelbagai


BLACK (kanan) dan One merupakan anggota kumpulan Kopi O yang tersingkir pada saingan Gelanggang Raja Lawak 5 minggu keempat Jumaat lalu.


SAMA seperti bidang muzik yang mempunyai pelbagai rentak lagu, begitu juga halnya dengan pertandingan Raja Lawak musim kelima (RL5) yang menampilkan gaya lawak yang berbeza-beza di kalangan pesertanya.

Gelanggang RL5 yang disiarkan setiap Jumaat pukul 9 malam itu menampilkan para pesertanya yang bukan sahaja datang dari merata tempat, tetapi gaya lawak mereka juga berbeza di antara satu sama lain.

Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani berkata, pendekatan itu dilakukan bagi memastikan para penonton tidak berasa bosan dengan gaya persembahan lawak yang ditampilkan menerusi saluran Astro Prima.

“Setiap peserta RL5 mempunyai karekter dan gaya berlawak yang berbeza di mana ia mengikut kecenderungan masing-masing. Selain mampu menggambarkan kecenderungan setiap peserta, cara itu juga akan lebih menarik perhatian ramai.

“Contohnya, minggu lalu kita ada peserta seperti kumpulan Kami yang tampil dengan gaya lawak mereka yang disulami dengan adegan lakonan atau drama. Begitu juga dengan Kopi O yang tersingkir pada minggu keempat ini.

“Kopi O tampil dengan gaya lawak yang dikenali sebagai silent comedy atau komedi senyap. Mereka tidak banyak menggunakan dialog tetapi lebih kepada pergerakan yang lucu,” katanya kepada Hits baru-baru ini.

Pada pertemuan selepas berakhirnya Gelanggang RL5 di Hulu Klang, Selangor itu, Nizam turut menyatakan itu adalah kelainan yang cuba ditampilkan dalam pertandingan yang mencungkil bakat-bakat pelawak baru itu.

Namun, beliau tidak menafikan pertandingan yang memilih para pemenangnya 100 peratus daripada undian khidmat pesanan ringkas (SMS) itu mempunyai risiko tersendiri menerusi konsep jenaka yang dipersembahkan para pesertanya.

“Saya katakan risiko apabila para peserta cuba menampilkan lawak yang kurang popular atau tidak difahami oleh para penonton. Ia mungkin akan menyebabkan penonton bosan dan kurang untuk mengundi mereka.

“Dalam hal ini pendekatan terbaik ialah memilih lawak yang mudah difahami jalan ceritanya dan isu-isu yang dipaparkan juga relevan dengan situasi yang sedang berlaku ketika ini. Kalau tidak ia akan membosankan para penonton,” ujarnya.

Pada Gelanggang RL5 minggu keempat Leman mendapat SMS tertinggi 18.3 peratus, Nazmi (12.9 peratus), Man (12.7 peratus), R2 (12 peratus), Lucky (10.1 peratus), Balas (9.7 peratus), Epy (9.6 peratus) dan Pukaw (7.6 peratus).

Pada pertandingan minggu itu, kumpulan duo Kopi O yang dianggotai oleh Black dan One telah tersingkir kerana mendapat undian SMS paling rendah sebanyak 7.1 peratus selain mendapat kritikan daripada pengkritik tetapnya.

Kopi O yang dikritik oleh tiga pengkritik tetap RL5 iaitu Afdlin Shauki, David Teo dan Sathiya dan tampil dengan gaya lawak senyap akur dengan keputusan itu biarpun sudah bertungkus-lumus memerah idea untuk pertandingan itu.

Salah seorang anggota Kopi O, Black atau nama sebenarnya Syariwan Joir, 28, berkata, dia juga tidak berkecil hati apabila disingkirkan daripada pertandingan itu kerana dikatakan membawa konsep lawak senyap yang agak membosankan.

“Saya akur dengan penyingkiran ini. Kami tidak boleh kata apa kalau orang kata gaya lawak kami membosankan. Ini kerana, kami lebih ke arah lawak yang sebegini.

“Kami tidak nafikan bukannya mudah untuk membuatkan para penonton ketawa hanya berdasarkan gaya pergerakan kami semata-mata. Kami mahu kelihatan lain dalam persembahan lawak kami. Sebab itu kami pilih konsep ini.

“Pada masa sama, kami akui konsep lawak ini berisiko kerana kalau persembahan melalui pergerakan badan dan mimik muka kami tidak menjadi ia akan menyebabkan para penonton susah untuk ketawa,” jelasnya.

Sewaktu ditanya perancangan Kopi O selepas ini, Black berkata dia dan One atau Fakhruddin Mohd. Azmi sanggup berhenti kerja sebagai kakitangan di sebuah resort di Kuala Rompin, Pahang bagi mencuba nasib dalam bidang lakonan.

Ini kerana, katanya, dia yakin mampu mengembangkan lagi bakat Kopi O dalam bidang lawak jenaka dan lakonan selain berharap kerjaya itu akan menjanjikan masa depan yang lebih cerah berbanding sekarang ini.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: