![]() |
| Persembahan menghiburkan dari Ramli Sarip pada majlis pelancaran kempen Kami Prihatin 'Apalah Dosaku' peringkat IPT di UMP, Kuantan, baru-baru ini. |
SUKAR untuk diterjemahkan oleh pemikiran kita sebagai manusia yang waras mengenai isu pembuangan bayi yang begitu membimbangkan kini. Apa lagi perkataan yang sesuai hendak dilontar kepada si polan yang sanggup membunuh darah daging sendiri.
Mengapa tegarnya mereka membuang dan membunuh bayi yang tidak berdosa hasil dari kerakusan nafsu sendiri. Mana hilangnya sifat kemanusiaan yang dipupuk selama ini? Mana hilangnya nilai kasih dan sayang sehingga sinar keimanan dijiwa padam tiba-tiba.
Atas dasar kemanusiaan, selain memaparkan berita-berita mengenai kes pembuangan bayi yang sering berlaku saban hari, Utusan Malaysia mengambil inisiatif mengadakan kempen Kami Prihatin 'Apakah Dosaku 'di peringkat institut pengajian tinggi (IPT).
Dengan kerjasama Astro, Persatuan Karyawan, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Kementerian Pengajian Tinggi dan Universiti Malaysia Pahang (UMP), maka pelancaran kempen berkenaan dijayakan dengan rasminya pada 24 Januari lalu di UMP, Jalan Gambang, Pahang.
Cukup membanggakan, kempen Kami Prihatin 'Apakah Dosaku' turut mendapat sokongan daripada isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang hadir merasmikan majlis yang dihadiri kira-kira 5,000 orang.
Turut hadir Menteri Pembangunan Keluarga, Wanita dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil.
Sepanjang kempen sehari itu, pertandingan lagu puisi yang disertai 13 IPT berjaya menyemarakkan semangat khalayak yang hadir untuk berjuang habis-habisan demi menangani isu pembuangan bayi yang bagai tiada kesudahan ini.
Setiap peserta yang mewakili IPT masing-masing begitu kreatif menghasilkan lirik yang terbaik agar mesej disampaikan dengan berkesan.
Kemuncaknya, lagu puisi berjudul Takut berjaya mengangkat Universiti Utara Malaysia (UUM) sebagai juara keseluruhan.
Karya hasil nukilan ketua kumpulan tersebut Nazirul Mu'izz Azmi, 23, berjaya menambat hati lima juri yang diketuai oleh penggiat seni terkenal, Prof. Madya Dr. Lim Swee Tin.
Kumpulan tersebut berjaya memenangi wang tunai RM3,000, trofi dan sijil penyertaan.
Tiga lagi ahli kumpulan mereka ialah Muhammad Hafeez Zakaria, 23, Mohd Shairi Baharuddin, 23, dan Meor Muhammad Afif Aiman Abu Bakar, 21.
Menurut Nazirul Mu'izz mereka hanya ditubuhkan sebulan sebelum pertandingan ini dan hanya kira-kira tiga minggu sahaja berlatih.
"Kami memang bergiat aktif di UUM namun tidak pernah memasuki pertandingan seperti ini. Ini merupakan kali pertama kami bertanding dan berjaya memenanginya," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Walaupun di UMM mereka agak aktif katanya, namun mereka tidak digabungkan bersama-sama untuk menjadi satu kumpulan.
"Saya memang suka mencipta puisi lebih-lebih lagi puisi kemanusiaan seperti tema pertandingan puisi kali ini.
"Kami lebih tema kemanusiaan sejagat kerana dapat memberi kesedaran kepada orang ramai tentang pelbagai masalah di dunia sekarang," jelasnya.
Tambah beliau, sajak ini merupakan hasil nukilannya sendiri dan lirik lagu direka bersama-sama kumpulannya.
Katanya, masalah pembuangan bayi merupakan masalah yang agak serius di dalam negara.
"Kebanyakan yang membuang bayi ini adalah remaja. Jadi kami sebagai remaja berasa bersemangat untuk bersama-sama dengan Utusan Malaysia untuk menangani masalah ini.
"Harapan kamia adalah dengan lontaran puisi oleh kami ini akan menyemarakkan semangat para mahasiswa untuk menangani masaalah ini," katanya.
Manakala tempat kedua menjadi milik Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dengan karya bertajuk Seperti inikah dunia?
Karya hasil nukilan Faiz Aziz, 25, dan melodi yang dicipta khas oleh Mohd. Juhairi Mohd. Junaidi, 20, berjaya meruntun hati khalayak.
Gabungan empat pelajar daripada Kelab Kebudayaan USIM ini ternyata membuahkan hasil apabila mereka berjaya membawa pulang wang tunai sebanyak RM2,000, sebuah trofi dan sijil penghargaan.
Mohd. Junaidi, Alauddin Yahaya, 25, Mohd. Shukri Sahari, 22, dan Hakimi Mohamad, 21, tidak menyangka akan beroleh kemenangan melalui percubaan pertama ini.
Menurut Mohd. Junaidi, mereka hanya berlatih seminggu sebelum hari pertandingan dan tidak meletakkan kemenangan sebagai keutamaan.
"Sebaliknya, kami hanya mahu menyampaikan mesej kepada penonton terutama remaja agar mereka berfikir dengan sebaik-baiknya sebelum bertindak terutama dengan gejala pembuangan bayi yang begitu serius pada masa kini.
"Saya nak mereka rasai melalui lagu puisi yang kami sampaikan bagaimana rintihan seorang bayi dari dalam perut ibunya yang dambakan kasih sayang," ujar penuntut Ijazah Sarjana Muda Quran dan Sunnah ini.
Tambahnya yang berasal dari Sabah, mereka mahu masyarakat tahu bahawa bayi yang dilahirkan terlalu berharap dapat hidup sempurna bersama ibu dan ayah.
"Bayi juga punya perasaan yang hanya dizahirkan melalui tangisan. Mereka perlu dibelai dan dikasihi dengan sebaik-baiknya.
"Bukannya mencampakkan mereka ditempat yang tidak sepatutnya seperti tong sampah, mangkuk tandas atau di dalam semak samun," tegasnya.
Katanya, dia berharap melalui lagu puisi yang dipersembahkan, masyarakat akan lebih peka dan lebih prihatin terhadap fenomena yang melanda muda-mudi kini.
Sementara itu, Universiti Malaya berjaya menduduki tempat ketiga dengan lagu puisi bertajuk Suratan Lara dengan membawa pulang wang tunai RM1,000, trofi dan sijil penghargaan.
Antara IPT yang bertanding ialah UMP, Universiti Malaysia Perlis, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Universiti Putra Malaysia, Universiti Pendidikan Sultan Idris, Universiti Teknikal Melaka, Universiti Malaysia Sarawak, Universiti Sains Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia dan Universiti Kebangsaan Malaysia.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: