Thursday, February 17, 2011

Proses menyolek lima jam

PRIYANKA...kerja 20 jam sehari.
PRIYANKA...kerja 20 jam sehari.

MASA 24 jam bagaikan terlalu suntuk buat jelitawan, Priyanka Chopra, 28, kerana ada kalanya dia terpaksa bekerja 20 jam sehari tanpa henti. Namun pengorbanannya sangat berbaloi kerana dia kini antara heroin nombor satu dan sangat berjaya di Bollywood.

Segala projek besar berada dalam genggamannya dan kebanyakan filemnya mendapat kutipan pecah panggung. Maka tidak hairanlah kenapa dia berasakan yang sehari semalam tidak cukup baginya untuk menyelesaikan segala kerja dan pelbagai bentuk promosi yang perlu dihadirinya.

  • Foto

    CEMAS...salah satu adegan SKM.

  • Foto

    BERKESAN...Priyanka berjaya bawak watak Susanna.

  • Foto

    MENARIK...poster Saat Khoon Maaf.

  • Foto

    SERIUS...Priyanka di set penggambaran SKM.

  • Foto

    ADI PUTRA...turut berlakon Don 2.

Filem terbarunya Saat Khoon Maaf (SKM) akan berada di pawagam Jumaat ini. SKM adalah bergenre ‘thriller’ komedi yang turut diterajui tujuh pelakon lelaki, Naseeruddin Shah (suami paling tua), Neil Nitin Mukesh (suami muda), John Abraham, Irrfan Khan, Annu Kapoor, Vivaan Shah dan pelakon Russia, Aleksandr Dyachenko.

Vishal Bhardwaj adalah pengarah filem itu. Asal filem itu diambil dari cerita pendek karya Ruskin Bong berjudul, Susanna’s Seven Husbands.Tarikan utama SKM apabila Ratu Cantik Dunia (2000) itu diberikan watak hitam yang membunuh suaminya sendiri. Agak jarang berlaku juga dalam mana-mana filem Bollywood, menampilkan tujuh hero sekali gus dengan seorang heroin. Situasi itu memberi kelebihan kepada Priyanka yang mendapat perhatian melimpah ruah dan nama watak Priyanka dalam filem itu Susanna Anna-Marie Johannes.Menurut Priyanka, wataknya dan tujuh lagi watak pelakon lelaki itu sama pentingnya untuk menghidupkan jalan cerita.

“Tanpa salah seorang daripada hero itu, SKM tidak akan sempurna. Saya amat gembira dapat berlakon dalam filem ini terutama watak yang saya bawakan. Meskipun tumpuan cerita lebih kepada watak Susanna tetapi tujuh hero itu amat menyokong perjalanan cerita SKM.

“Karakter saya sebagai Susanna bermula dari usia 25 hingga 65 tahun. Sepanjang pertambahan usia saya itu, jurusolek terpaksa mengubah solekan saya banyak kali untuk bersesuaian dengan setiap usia. Watak Susanna sangat berat.

“Untuk menampilkan tujuh wajah saya yang berbeza, Vishal mengupah jurusolek kesan khas dari Hollywood yang menang Anugerah Academy iaitu Greg Cannon. Dia adalah jurusolek untuk filem The Curious Case of Benjamin Button.

“Bahagian yang paling mencabar untuk menyolek wajah saya ketika berusia 65 tahun. Bagi mendapat gambaran yang agak hampir menjelang usia tua saya yang sebenar, Cannon menggunakan gambar nenek saya sebagai rujukan.

“Sepanjang proses itu saya tidak makan dan minum berjam-jam. Proses menyolek saja mengambil masa lima jam. Sebelum hendak disolek saya ke tandas dulu dan saya tidak dibenarkan makan kerana bimbang solekan itu akan rosak. Saya sanggup melalui segala kesukaran itu kerana sangat yakin dengan Vishal.

“Jangkaan saya benar kerana hasilnya sangat memuaskan sehingga ayah saya sendiri tidak perasan wajah saya. Untuk memberi impak yang lebih besar kepada watak Susanna, Vishal juga mahu saya menambahkan berat badan,” katanya.

Tambah Priyanka, Susanna adalah wanita yang baik dan dia membunuh suaminya kerana terpaksa. Jelasnya lagi, penonton akan berasa kasihan dengan watak itu tetapi pada masa sama mereka suka melihatnya menerima balasan. Priyanka tidak dapat bayangkan jika watak itu diberikan kepada aktres lain.

Dalam perkembangan lain, Priyanka berada di negara ini untuk penggambaran filem sekuel, Don 2. Datuk Shah Rukh yang kekal pegang teraju utama filem itu hadir sama bagi menjalani penggambaran filem itu di Melaka, Kuala Lumpur dan Langkawi minggu ini.

Don pertama yang diterbitkan pada 2006, turut dirakamkan di negara ini. Bagaimanapun berikutan kejayaan filem pertama itu, Don 2 dibuat dalam skala yang lebih besar di mana turut mengetengahkan aktor Malaysia, Adi Putra.

Rombongan penggambaran itu seramai 60 orang dan mereka berkampung di Melaka sebelum bergerak ke Kuala Lumpur dan Lang�kawi. SRK yang menerima gelaran Datuk dari Kerajaan Negeri Melaka nyata mengotakan janjinya untuk membuat penggambaran filem di Bandar Bersejarah itu. Mereka akan berada di sini selama sebulan.

“Saya masih kekal pegang watak sebagai Roma dan tidak sabar untuk berlakon dalam Don 2. Saya seronok dapat menjadi keluarga produksi Don 2 kerana saya menyukai filem aksi,” katanya.



PROFIL

NAMA: Priyanka Chopra
TARIKH LAHIR: 18 Julai 1982
TEMPAT DILAHIRKAN: Jamshedpur, Bihar, India
NAMA PANGGILAN: Sunshine , Mimi , Yanka, Priyucka Cobra, The Queen Of Bollywood, Priya
TINGGI: 1.73 meter
BAPA: Kapten Dr Ashok Chopra
IBU: Dr Madhu Chopra
PENDIDIKAN: La Martini�re Girls College, Lucknow, Maria Goretti College, Bareilly dan menyambung pengajian di Boston, Massachusetts, Amerika Syarikat.
CITA-CITA: Ingin menjadi Jurutera Software atau pun Psikologi Jenayah.
HOBI: Mendengar muzik, membaca puisi, novel dan aktif dalam kerja kebajikan.
ANUGERAH: Miss India dan Miss World (2000).
bFILEM PERTAMANYA: Filem India berjudul Thamizhan. Filem seterusnya seperti The Hero, Andaaz, Aitraaz, The Hero, Mujhse Shaadi Karogi, Krrish, Sahib Biwi Aur Ghulam, Kajri, Drona, London Dreams, Qurbani, Chamki Chameli, Love Story 2050, Don, Saat Khoon Maaf, Don 2

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: