TERPEDAYA...mangsa ejen pembantu rumah menceritakan nasib yang menimpa mereka kepada wartawan Harian Metro.
HULU KLANG: “Selepas semua wang deposit berjumlah ratusan ribu ringgit diperoleh, semua amah yang didakwa dari Sabah dan dibekalkan sepasang suami isteri ghaib secara serentak tanpa dapat dikesan,” kata seorang pesara awam yang menjadi mangsa ejen pembantu rumah, baru-baru ini.
Menurutnya, bukan dia seorang menjadi mangsa pasangan suami isteri itu, tetapi juga beberapa jiran dan kenalannya turut ditipu serta mengalami kerugian kerana terpedaya dengan tawaran menarik dijanjikan.
Dia yang menetap di Taman Melawati di sini dan hanya ingin dikenali sebagai Kak Zarah berkata, di kawasan taman perumahannya saja tujuh orang tertipu. Setiap seorang membayar wang pendahuluan RM3,500 bagi seorang pembantu rumah dibawa dari Pulau Gaya, Semporna, Sabah.
“Saya mengenali pasangan suami isteri itu yang mengaku sebagai ejen pembantu rumah pertengahan tahun lalu daripada kenalan yang menggunakan khidmat mereka untuk mendapatkan amah. “Maklum balas daripada kenalan itu mengatakan amah yang mereka bekalkan bagus kerana pandai melakukan kerja rumah, cuma kurang fasih berbahasa Melayu kerana berasal dari kawasan pedalaman dan menggunakan bahasa tempatan mereka sendiri.
“Disebabkan itu, saya dan beberapa rakan tertarik mendapatkan pembantu rumah daripada pasangan terbabit yang dikenali dengan nama Mohamad dan Sarah,” katanya ketika ditemui di rumahnya, semalam.
Zarah berkata, dia bertemu dengan pasangan berkenaan di rumah mereka di Kajang pada Julai tahun lalu dan ditawarkan amah dengan wang pendahuluan hanya RM2,000 serta gaji bulanan sebanyak RM500.
Katanya, selepas bersetuju dengan tawaran itu, pasangan terbabit kemudian memaklumkan mereka sudah ada seorang wanita berasal dari Sabah yang ingin bekerja sebagai amah, tetapi dia perlu menambah RM1,500 lagi kerana kos untuk membawanya ke Semenanjung meningkat.
“Mereka memberitahu perlu tambah duit sebab perlu membelanjakannya untuk kos tiket penerbangan, feri, hotel dan RM1,000 akan diberikan kepada keluarga pembantu rumah itu.“Fikirkan kos itu wajar, saya setuju. Beberapa minggu kemudian, amah bernama Satra berusia 26 tahun mula bekerja dan memang benar dia melakukan tugas dengan baik,” katanya.
Namun, menurutnya, ia tidak bertahan lama apabila pada malam 26 Januari lalu, Satra lesap ketika dia dan keluarga solat Maghrib.
“Pada masa sama, beberapa rakan dan jiran turut menghubungi saya memberitahu pembantu rumah mereka turut menghilangkan diri. Selepas kami bertemu dan berkongsi cerita mengenai kehilangan amah masing-masing, kami pelik kerana pada petang sebelum mereka hilang, semuanya mendapat panggilan telefon daripada seseorang mengaku ahli keluarga meninggal dunia dan perlu segera balik ke kampung.
“Malam itu mereka hilang tanpa memberitahu apa-apa. Kami menghubungi ejen berkenaan tetapi gagal dan selepas itu kami ke rumahnya, namun dimaklumkan jiran, pasangan terbabit berpindah,” katanya.
Menurutnya, jiran berkenaan juga menyatakan ramai lagi mangsa dari ibu negara, Perak dan Negeri Sembilan termasuk VIP datang ke rumah pasangan itu untuk mencari mereka.
“Kami percaya pasangan itu memang merancang menipu dengan menyasarkan sesebuah taman perumahan sebelum lesap bersama pembantu rumah mereka selepas beberapa bulan bekerja dan sebaik mendapat wang deposit mangsa lain.
“Pendedahan ini bertujuan mengingatkan orang ramai agar lebih berhati-hati dengan kegiatan pasangan suami isteri terbabit. Kami juga sudah membuat laporan polis mengenai kejadian itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: