Jason Lo
TUNE Talk Sdn Bhd (Tune Talk), penyedia perkhidmatan telekomunikasi mudah alih paling pantas berkembang di negara ini, mengunjur memperoleh sekurang-kurangnya 1.8 juta pelanggan baru, sekali gus menguasai antara lima hingga 10 peratus pasaran bagi segmen suara menjelang akhir tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Jason Lo berkata, ketika ini syarikat berkenaan mencatat 1.6 juta pengguna aktif.
“Kami yakin mencapai sasaran ditetapkan, lebih-lebih lagi dengan pelbagai pelan pemasaran proaktif termasuk penganjuran konsert artis terkenal seperti Deftones dan Paramore yang membuatkan lebih ramai pengguna kini mengenali Tune Talk yang menawarkan perkhidmatan telekomunikasi mudah alih pada kadar termurah.
“Malah, kami sudah membuktikan Tune Talk semakin diterima ramai dengan begitu pantas hingga muncul penyedia perkhidmatan telekomunikasi mudah alih paling cepat berkembang di negara ini apabila menarik 1.6 juta pelanggan dalam tempoh hanya 18 bulan beroperasi,” katanya kepada Bisnes Metro.
Menurutnya, tahun lalu syarikat itu merekod jualan RM50 juta bagi kad prabayar mudah alih.
“Bagi tahun ini, kami mengunjur jualan bernilai RM250 juta. Sasaran ini realistik dan kami yakin mencapainya berdasarkan pertumbuhan semasa yang kukuh, promosi, acara dan perakuan pelanggan yang semakin meningkat terhadap nilai produk terbabit,” katanya.Dalam perkembangan lain, beliau berkata, pihaknya mensasarkan untuk meningkatkan jumlah kedai jualan eksklusif kad SIM dan prabayar Tune Talk kepada 100 tahun ini.
“Ketika ini, terdapat 50 kedai menjual kad SIM dan prabayar Tune Talk secara eksklusif di seluruh negara dan memilih dua hingga tiga kedai setiap minggu bagi tujuan itu,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: