Friday, February 18, 2011

Persaingan Bintang Popular Di Hard Rock Cafe

Kumpulan Disagree

KUALA LUMPUR: Sepuluh kumpulan muzik tanah air antaranya Disagree, Dead Mushroom, The Azenders, An Honest Mistake bakal bertarung nasib dalam pusingan kelayakan Hard Rock Cafe Kuala Lumpur Battle of the Bands (HRCBB) untuk merebut peluang di festival Hard Rock Calling 2011 di Hyde Park, London pada 24 hingga 26 Jun depan.

Bertempat di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur, pusingan kelayakan itu akan berlangsung Ahad ini bermula pukul 3 petang dan diadili oleh barisan juri yang diketuai Pengarah Urusan Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson.

Empat kumpulan yang terpilih daripada pusingan itu akan mara ke peringkat akhir pada 6 Mac depan.

Pemenang di pertandingan akhir bakal membawa pulang wang tunai RM3,000 dan seterusnya mewakili negara untuk peringkat serantau.

Kumpulan-kumpulan yang terpilih akan disenaraikan dalam laman sesawang www.hardrock.com, sekali gus memberi peluang kepada peminat muzik seluruh dunia untuk mengundi kumpulan kegemaran masing-masing bagi setiap rantau.

Kesemua empat wakil daripada rantau masing-masing akan diterbangkan ke London, mendapat layanan istimewa seperti bintang rock dan berpeluang untuk membuat persembahan di Hard Rock Calling 2011.

The Azenders

Kumpulan yang mendapat undian tertinggi bakal membuat persembahan pembukaan untuk salah seorang daripada bintang-bintang besar yang beraksi pada festival itu.

Sementara kumpulan yang mendapat undian kedua tertinggi pula layak untuk membuat persembahan di Pentas Kedua festival tersebut.

Justeru itu, peminat-peminat muzik tanah air dijemput untuk memeriahkan pusingan kelayakan pada Ahad ini bermula pukul 3 petang di Hard Rock Cafe Kuala Lumpur.

Bayaran masuk adalah sebanyak RM15.

Hard Rock Calling merupakan sebuah festival muzik yang penting di London sejak lima tahun.

Festival tahun ini bakal berlangsung selama tiga hari bermula 24 hingga 26 Jun depan dan mementaskan pelbagai kumpulan muzik daripada seluruh dunia.

Pada festival sebelum ini, kumpulan Aerosmith, Eric Clapton, Neil Young, Paul McCartney, Stevie Wonder, The Who, Pearl Jam, Bruce Springsteen, The Killers dan The Police pernah berkongsi pentas dalam acara tahunan tersebut.

Layari www.hardrockcalling.com untuk maklumat lanjut.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: