![]() |
| SHAHRIZAT Abdul Jalil bersama jurulatih dan pelatih PLKN menunjukkan isyarat 1Malaysia selepas pelancaran program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial di Kem Sri Perkasa, Mantin, Negeri Sembilan, semalam. |
SEREMBAN 17 Feb. - Pelatih Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) akan diberi keutamaan melanjutkan pengajian ke Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Sungai Besi di Kuala Lumpur.
Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN), Datuk Abdul Hadi Awang Kechil berkata, perkara itu dipersetujui Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi selepas mempengerusikan mesyuarat pasca-Kabinet Kementerian Pertahanan semalam.
"Buat masa ini seramai 2,716 permohonan dibuat oleh pelatih dari seluruh negara dan diterima untuk diproses oleh Bahagian Perkhidmatan Anggota, Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.
Abdul Hadi bercakap kepada pemberita selepas pelancaran program Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PKRS) di Kem PLKN Sri Perkasa, Mantin dekat sini hari ini.
Program itu dilancarkan oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil yang turut dihadiri Ketua Pengarang Kumpulan Utusan, Datuk Aziz Ishak.
Serentak dengan pelancaran itu, turut diselitkan slot kempen Kami Prihatin yang menampilkan beberapa artis antaranya Sohaimi Mior Hassan, Heliza dan Aizat dalam konsep berhibur sambil mendidik tentang gejala penderaan kanak-kanak dan pembuangan bayi.
Dalam pada itu, Abdul Hadi menjelaskan, permohonan pelatih PLKN akan diproses terlebih dahulu selain perlu menjalani temuduga khas sebelum dapat diterima masuk ke UPNM.
Tambahnya, bagi fasa pertama, temuduga berkenaan akan dijalankan di beberapa lokasi seperti Kem Terendak, Melaka, selain di Kem Tuanku Syed Sirajudin, Gemas (Tampin) dan Kem Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, dari 17 hingga 13 April depan.
"Pelatih juga perlu memenuhi syarat kelulusan akademik dan kriteria tertentu bagi diterima masuk ke UPNM," katanya.
Dalam pada itu, tambahnya, pelatih yang diterima masuk ke UPNM akan menerima pelbagai kemudahan dan pembiayaan.
"Ini termasuk setiap penuntut tahun pertama akan menerima elaun bulanan sebanyak RM1,123.50. Mereka juga akan diberikan tempat penginapan, yuran pengajian dan pakaian secara percuma termasuk kemudahan pengangkutan," katanya.
Dalam perkembangan lain, Abdul Hadi memberitahu, pihaknya tidak bercadang mengubah atau mengkaji Prosedur Operasi Standard (SOP) PLKN berikutan ada pihak mendakwa ia mungkin menjadi punca kepada kematian pelatih PLKN yang dilaporkan baru-baru ini.
"Pertama sekali saya rasa SOP yang digunakan sebagai modul melatih tidak mempunyai sebarang masalah dan ia tidak menjejaskan keselamatan pelatih.
"Keduanya, punca sebenar kematian yang membabitkan pelatih di Kota Kinabalu serta di negeri ini bukan kelemahan pihak kami," katanya.
Jelasnya, perkara tersebut sebenarnya tidak dijelaskan dengan betul kepada umum dan dakwaan yang mengatakan kematian pelatih itu akibat lambat menerima rawatan adalah tidak benar sama sekali.
"Ini kerana untuk tahun ini seramai lima pegawai ditempatkan di setiap kem di seluruh negara bagi memantau tahap kesihatan pelatih.
"Jika ada pelatih yang benar-benar sakit sudah pasti pegawai berkenaan akan merujuk perkara itu ke pusat perubatan," katanya.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: