Tuesday, February 8, 2011
Pasaran perbankan Islam cerah
Perbankan Islam kini mempunyai pasaran sekitar AS1 trilion (RM3.1 trilion) adalah antara sektor perbankan paling pesat membangun di peringkat antarabangsa. Ciri utama membezakan perbankan Islam dengan sistem konvensional, tiadanya caj faedah dan keuntungan didapati bukan hasil daripada dilaburkan dalam bidang haram seperti arak, judi, pornografi dan sebagainya.
Bagi Malaysia, sektor ini dan takaful Islam berkembang antara 19 dan 25 peratus dalam tempoh enam tahun lalu. Malaysia turut mempunyai aset perbankan Islam sekitar RM122 bilion dan RM6.6 bilion bagi takaful menjadikannya antara terbesar di dunia. Tujuh puluh peratus bon Islam pasaran global dan 40 peratus unit saham amanah Islam berada di Malaysia.
Ramai tidak sedar sistem perbankan Islam negara ini kerap dijadikan tanda aras menentukan pelbagai spesifikasi, kemajuan dan prosedur sistem perbankan di seluruh dunia. Apa dilaksanakan di Malaysia dijadikan rujukan dan kajian kes beberapa laman web kewangan seperti gtNews, selain mendapat penarafan baik daripada syarikat penganalisis kewangan terkemuka dunia, S&P/Moodys
Bentuk terawal aktiviti perbankan Islam diketahui bermula pada September 1963 dengan tertubuhnya Perbadanan Wang Simpanan Bakal-bakal Haji (PWSBH). PWSBH ditubuhkan untuk dijadikan institusi umat Islam membuat simpanan sebagai persediaan mengerjakan ibadat Haji ke tanah suci Mekah.
LTH bank Islam pertama
Pada 1969, PWSBH bergabung dengan Pejabat Urusan Haji membentuk Lembaga Urusan dan Tabung Haji (kini dikenali sebagai Lembaga Tabung Haji (LTH)).
Bank Islam pertama ditubuhkan pada 1983. Pada 1993, bank perdagangan, bank saudagar dan syarikat kewangan mula dibenarkan menawarkan produk dan perkhidmatan perbankan Islam di bawah Skim Perbankan Tanpa Faedah (SPTF).
Bagaimanapun, institusi ini dikehendaki mengasingkan dana dan aktiviti urus niaga perbankan Islam daripada urus niaga perbankan konvensional bagi memastikan tiada percampuran dana.
Perbankan Islam mempunyai tujuan sama dengan perbankan konvensional bagaimanapun, operasinya berlandaskan prinsip Syariah, dikenali sebagai Fiqh al-Muamalat (peraturan Islam di dalam urus niaga).
Prinsip dasar perbankan Islam, perkongsian untung dan rugi serta larangan ke atas riba (faedah).
Konsep Islam sering diguna pakai di dalam perbankan Islam, perkongsian untung (Mudharabah), simpanan (Wadiah), usaha sama (Musyarakah), kos tokok (Murabahah) dan sewaan (Ijarah).
Apabila membicarakan tentang sistem perbankan Islam, secara tidak langsung melibatkan prinsip transaksi berlandaskan Islam. Sejarah membuktikan transaksi Islam dipraktikkan di Tanah Melayu seawal abad ke-16. Prinsip itu dapat dilihat di dalam undang-undang Melaka. Apa yang jelas, kebanyakan negeri ketika zaman sebelum kemerdekaan turut dipengaruhi undang-undang Melaka termasuk melibatkan aspek transaksi Islam sama ada secara langsung atau tidak langsung.
Pelaksanaan undang-undang Islam di negeri itu berterusan sehingga campur tangan Inggeris.
Idea penubuhan perbankan Islam di Malaysia berlangsung secara beransur-ansur.
Penubuhannya adalah hasil pengalaman dilalui beberapa institusi kewangan Islam lain di Malaysia.
Simpanan cara halal
Perbankan Islam ditubuhkan dan berfungsi membolehkan orang Islam menyimpan wang secara beransur-ansur untuk mendorong mereka melibatkan diri dalam bidang penanaman modal dalam lapangan perusahaan, perdagangan, perladangan dan hartanah melalui cara halal di sisi Islam.
Perkembangan perbankan Islam pada akhir kurun ke-19 dan awal kurun ke-20 adalah kesan proses islamisasi berlaku hasil tokoh reformis Islam yang memberi impak kepada masyarakat Islam mengamalkan ajaran Islam secara total dalam kehidupan mereka meliputi soal politik, sosial dan ekonomi.
Dapat dirumuskan di sini perkembangan sistem perbankan Islam di Malaysia adalah berdasarkan dua bentuk utama, institusi perbankan Islam secara total dan konvensional seperti diperkenalkan kerajaan.
Sistem perbankan Islam di Malaysia semakin berkembang dari masa ke semasa. Ini diselaraskan untuk memenuhi aspirasi kerajaan supaya Malaysia muncul sebagai hab perbankan dan kewangan Islam terulung di dunia.
Sumber:
http://syafique.wordpress.com, http://jelajahduniaperbankan.blogspot.com,http://www.yadim.com.my/ekonomi, http://ms.wikipedia.org/wiki/perbankan islam
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: