Tuesday, February 8, 2011

Bank Dunia ramal ekonomi kembali meleset



Bank Dunia meramalkan ekonomi global bakal kembali mengalami krisis kemelesetan seperti yang terjadi pada 2008 didorong faktor kelembapan ekonomi dan kenaikan harga komoditi semakin melambung.

Bank Dunia menjangkakan selepas kitaran pada 2009 dan 2010, proses ekonomi dunia bakal menghadapi fasa kejatuhan pada 2011.

Bank Dunia mengunjurkan ekonomi global akan bertumbuh 3.3 peratus pada 2011, berbanding 3.9 peratus pada 2010.

Selain itu, Bank Dunia turut meramalkan ekonomi negara membangun akan mencatatkan penurunan pertumbuhan 6 peratus tahun ini daripada 7 peratus seperti dicapai tahun lepas.

Namun, angka pertumbuhan dicapai negara membangun itu lebih baik berbanding diramalkan untuk negara maju, dengan pertumbuhan 2.4 peratus pada 2011, menurun berbanding 2010 dengan 3.9 peratus.

“Malangnya, masalah pertumbuhan ekonomi ini belum mengatasi masalah pengangguran dan kelembapan ekonomi di negara paling terjejas akibat kemelesetan,” demikian kenyataan Bank Dunia dalam Global Economic Prospect pada 13 Januari lalu.

“Ketegangan serius dan krisis terdapat dalam ekonomi global pada jangka masa pendek itu merumitkan proses pemulihan ekonomi ke peringkat berbeza,” demikian laporan Bank Dunia.

Risiko terhadap proses pemulihan ekonomi global itu termasuk krisis kewangan pasaran Eropah, pergolakan aliran modal dan kenaikan harga komoditi, makanan dan bahan bakar.

Bank Dunia menyatakan kebimbangan mereka khususnya tentang kenaikan harga komoditi, termasuk makanan dan bahan bakar dicetuskan kelonggaran polisi kewangan di negara maju dan peningkatan permintaan di negara membangun.

“Sekalipun harga makanan utama di beberapa negara membangun belum meningkat seperti apabila dikira dalam bentuk dolar Amerika Syarikat, namun kenaikan itu dapat dirasai beberapa negara miskin.

“Sekiranya harga pasaran antarabangsa terus meningkat, impak kemiskinan dan isu lain yang berkenaan akan semakin meruncing,” kata Bank Dunia.

“Kami sangat prihatin tentang kenaikan harga makanan. Kami melihat beberapa persamaan situasi ini pada 2008, sebelum menjelangnya krisis ekonomi terbabit,” kata Pengarah Bank Dunia, Hans Timmer.

Pada 2008, harga minyak mentah dunia melonjak sehingga AS$147 setong pada bulan Julai, dan menurun serendah AS$30 setong dalam tempoh enam bulan.

Bank Dunia menegaskan, senario lonjakan harga makanan dan minyak mentah pada waktu kelembapan ekonomi sering disebut sebagai stagflasi (keadaan ekonomi mengalami pengangguran dan inflasi secara serentak) dan boleh dielakkan sekiranya bekalan dapat memenuhi permintaan.

Situasi itu berbeza berbanding pada 2008 kerana pasaran bijirin ketika itu lebih strategik dan pelbagai dari industri komoditi,” kata Timmer.

Pada 2008, lonjakan harga komoditi dipengaruhi pelaburan tidak mampu dibayar firma perkhidmatan kewangan, Lehman Brothers pada September.

Ditanya mengenai beza situasi terbabit ketika ini, Timmer hanya berharap bekalan dapat memenuhi permintaan.

“Anda masih mempunyai peluang menghindari kejadian sama daripada berulang ketika krisis 2008, namun jelas kita berada dalam trend peningkatan, akibatnya bertambah serius untuk rakyat dan negara,” katanya.



Krisis kewangan ekonomi dijangka lebih teruk

Krisis kewangan dunia pada 2008 memberi tamparan hebat kepada ekonomi dunia. Pada suku keempat tahun lalu, krisis itu dianggap sebagai permulaan kepada krisis lanjutan lebih serius menjelang tahun ini hingga tahun depan.

Wakil Presiden dan Analis PT Valbury Asia Securities, Nico Omer Jonckheere berkata, proses pemulihan itu hanya bersifat sementara sahaja, dan rakyat di dunia sekali lagi akan menghadapi kemelesetan dan kemerosotan ekonomi.

“Tahun 2008 dan 2009 adalah tahun awal dan tahun pengenalan kepada krisis terbabit. Krisis ekonomi dunia akan bermula pada penghujung tahun lalu dan bertambah tegang pada tahun ini hingga tahun depan.

“Petanda awal kemelesetan ekonomi dunia ini akan mula terlihat bermula suku keempat 2010. Hal ini dikuatkan dengan pertumbuhan ekonomi yang perlahan di Amerika Syarikat dan Eropah sehingga ke saat ini,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, walaupun data pengangguran di Amerika Syarikat semakin bertambah baik, tetapi jumlahnya masih di tahap membimbangkan.

“Kira-kira 54 ribu pekerja hilang pekerjaan. Jumlah pengangguran di sana meningkat 9.2 peratus menjadi 9.6 peratus dan jumlah ini akan meningkat sehingga 11 ke 13 peratus. Krisis ini pastinya bertambah teruk dari 2008,” katanya.

Nico berkata, krisis ekonomi dunia kali ini akan lebih lama dan memerlukan jangka masa lama untuk kembali pulih.

“Sekarang, kami sedang mengumpulkan data tentang mengapa proses pemulihan hanya bersifat sementara dan bila pasaran dunia akan pulih,” katanya berusaha membuat kajian bersama pasukannya untuk mengukuhkan ramalan ini.

Sumber: http://vibizmanagement.com/journal/index/category/financial/1504/0, http://bursa.ariefew.com/dunia-terancam-krisis-ekonomi-terhebat/

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: