Wednesday, February 16, 2011
Pasaran minyak sawit negara cerah
Misi mempromosi minyak sawit ke Pakistan mencatatkan kejayaan besar bukan hanya dalam memperkukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pasaran utama komoditi berkenaan, tetapi membolehkan lebih banyak syarikat tempatan meneroka usaha sama di negara Asia Selatan itu.
Perkara itu diakui Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Tan Sri Bernard Dompok, yang mengetuai misi lawatan tiga hari pada bulan lalu ke Pakistan bagi memeterai perjanjian niaga pada Seminar dan Pameran Perdagangan Minyak Sawit Kedua Malaysia-Pakistan 2011 (POTS 2011).
Menurutnya, terdapat keperluan lebih besar untuk semua pengeluar minyak dan lelemak bagi bekerjasama memenuhi permintaan canggih pengguna dunia semakin meningkat.
Ini akan meningkatkan eksport minyak sawit dan usaha mengeluarkan produk berasaskan minyak sawit, kerana import komoditi itu menguasai lebih 90 peratus import minyak dan lelemak Pakistan.
Persahabatan sebenar dapat dilihat dengan syarikat-syarikat Malaysia menghulurkan sumbangan sebanyak RM1.4 juta kepada mangsa banjir Pakistan.
Peluang perniagaan
Pakistan kini pembeli kedua terbesar minyak sawit Malaysia selepas China. Hasil daripada tarif rendah untuk produk pertanian dan barangan pembuatan mengikut perjanjian perdagangan bebas (FTA) dua hala, import Pakistan berkembang lebih 2.2 juta tan pada 2010 daripada 1.1 juta tan pada 2000.
Ini akan mewujudkan limpahan ekonomi melalui pertambahan aliran masuk pelaburan ke Pakistan dan mewujudkan lebih banyak pekerjaan, yang dilihat penting dalam usaha Pakistan memperluaskan asas ekonominya.
Langkah berkenaan akan menambah nilai kepada industri minyak sawit Pakistan dengan mewujudkan ladang kelapa sawit dan menghasilkan lebih banyak produk hiliran.
Memandangkan pengalaman mereka dalam sektor minyak sawit, saranan Dompok terhadap peserta kedua-dua negara untuk berganding bahu akan meningkatkan interaksi dalam kalangan warga kedua-dua negara.
Terdapat peluang luas untuk diterokai dalam perdagangan minyak dan lelemak, seperti oleokimia, penggunaan biomas dan makanan ternakan.
POTS bertindak sebagai platform penting untuk mengumpulkan peserta minyak dan lelemak dari kedua-dua negara bagi terus mengukuhkan perdagangan dan menangani isu untuk kepentingan bersama.
Pengerusi MPOC, Datuk Lee Yeow Chor berkata, acara berkenaan akan menawarkan peluang untuk menjalin perkongsian serta mengukuhkan apa yang telah wujud.
“Kami berharap kerjasama antara Malaysia dan Pakistan boleh ditingkatkan ke paras lebih tinggi untuk faedah kedua-dua negara,” katanya.
Tidak dinafikan Malaysia memberikan penekanan yang tinggi terhadap pasaran Pakistan.
Konsul Jeneral Malaysia di Karachi, Mohd Khalid Abdul Razak berkata, hubungan antara kedua-dua negara akan mencapai tahap lebih tinggi memandangkan bidang baru kerjasama dijalin, terutamanya antara sektor swasta Malaysia dan Pakistan.
Lokasi strategik
Memandangkan lokasi geografi strategik Pakistan berdekatan Asia Barat dan kuasa membeli yang tinggi negara jiran, terdapat peluang untuk syarikat Malaysia meluaskan kehadiran mereka dalam industri minyak sawit Pakistan.
Pasaran minyak dan lelemak Pakistan berkembang daripada 2.7 juta tan pada 2000 kepada 3.7 juta tan tahun lepas serta minyak sawit menyumbang hampir 50 peratus daripada keseluruhannya.
Tidak dinafikan, industri minyak dan lelemak melalui tempoh menarik dan dinamik dengan permintaan kukuh yang berterusan. Syarikat Malaysia berjaya menjalin usaha sama dengan syarikat Pakistan.
Mereka mewujudkan satu daripada kilang penapis terbesar di Pakistan melalui MAPAK Edible Oil Pte Ltd, dan yang terkini jeti oil cecair di Port Qasim, Felda Westbury Qasim Liquid Cargo Terminal.
Malaysia dapat mengekalkan eksportsnya kerana inisiatif usaha sama dengan Pakistan sekalipun persaingan daripada pembekal minyak sawit dan minyak lain.
Perdagangan dua hala
Perjanjian FTA, dilaksanakan pada 2008 meningkatkan perdagangan dua hala dalam beberapa sektor termasuk minyak sawit dan memberi faedah kepada kedua-dua negara.
Minyak sawit Malaysia menikmati pengurangan tarif sebanyak 10 peratus berkuat kuasa 1 Januari 2008 dan 15 peratus mulai 2010.
Ini merangsang penghantaran minyak sawit Malaysia ke Pakistan.
Perdagangan antara Malaysia dan Pakistan mencecah AS$1.78 bilion (AS$1=RM3.01) pada 2009. Eksport Malaysia pada 2009 ASS$1.63 bilion.
Imbangan dagangan secara konsisten memihak kepada Malaysia.
Buat masa ini, eksport utama Malaysia ke Pakistan melibatkan minyak sawit, produk kimia, barangan elektrik dan elektronik, jentera dan peralatan serta tekstil dan pakaian.
Import utama Malaysia dari Pakistan adalah barangan elektrik dan elektronik, tekstil dan pakaian, bijirin, makanan laut dan peralatan pengangkutan.
Pada 2009, Pakistan adalah rakan dagang Malaysia kedua terbesar dalam kalangan negara-negara Asia Selatan dan rakan dagang ke-21 terbesar kepada Malaysia di peringkat dunia.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: